Artikel

Resipi Mengagihkan Tugas

oleh Helmi pada 23 Jul 2004

Selepas mendapat tugasan, gunalah kaedah “Memotong Kek Harijadi”. Baik, katakan memang tiada pilihan lain melainkan saudara terpaksa melakukan tugas itu. Mungkin kerana faktor kemahiran saudara, ataupun tanggungjawab saudara, ataupun mungkin faktor keluangan dan faktor-faktor lain. Katakan ia adalah satu tugasan berat dan besar yang mesti saudara sempurnakan dalam jangka masa yang tertentu. Sudah pasti ia sangat membebankan bukan?
Jangan bimbang dan jangan khuatir, kerana masih ada ‘resipi agihan tugas’ yang masih boleh disajikan untuk saudara. Saudara masih boleh mengurangkan bebanan saudara dengan membahagi dan mengagihkan tugasan saudara kepada orang lain. Ini bermakna, saudara perlu ‘memecahkan’ tugasan saudara kepada beberapa bahagian dan mengagihkan kepada orang yang sesuai dan layak untuk melakukannya.
Bagaimana hendak memecahkan tugasan saudara yang berat itu? Secara ringkasnya, pertama sekali, saudara hendaklah memahami secara jelas apakah matlamat utama tugasan itu. Kedua, saudara juga hendaklah mengetahui apakah proses-proses yang perlu untuk mencapai matlamat itu, ketiga, kategorikan proses-proses itu, dan keempat pastikan pecahan-pecahan itu dapat mencapai objektif yang disasarkan.
Selepas saudara membuat bahagian-bahagian itu. Apa yang perlu saudara lakukan ialah membuat pengagihan tugas seperti yang kita bincangkan sebelum ini. Saudara perlulah lihat kemampuan saudara untuk melakukannya, dan juga daripada aspek-aspek lain.

Mudah bukan? Tetapi ramai di kalangan kita yang tidak pernah membuatnya, bahkan tidak pernah terfikir hendak membuatnya! Lalu mereka pun mengeluh bahawa merekalah manusia paling sibuk dalam dunia ini. Padahal mereka masih jauh daripada kejayaan, kerana asyik menanggung urusan-urusan yang dapat dikurangkan. Mereka seolah-olah ‘tamak’ dengan setiap apa yang dilonggokkan kepada mereka. “Semua ini milik aku!” Mereka tamak dengan kerja, padahal mereka malas hendak mengerjakannya. Oleh itu saudara, jangan jadi tamak, potonglah kek itu, dan bahagikan kepada mereka di sekeliling saudara.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024