Artikel
Peminat dari Sarawak Teruja Bertemu Pak Latip di PTS
oleh Roziyah pada 28 Sep 2010
Pak Latip bercerita lanjut mengenai karya beliau kepada Tuan Fuad dan Tuan Razylino.
Kerana minat yang mendalam terhadap karya tulisan Tuan Abdul Latip Talip atau lebih dikenali sebagai Pak Latip, dua orang peminat yang berasal dari Sarawak sanggup datang ke PTS bagi bertemu dengan Pak Latip sendiri.
Tuan Fuad bin Adenan yang datang sendiri ke PTS bagi bertemu Pak Latip berkata kisah-kisah sejarah tulisan Pak Latip benar-benar menarik minat beliau membaca buku tersebut hingga ke muka surat yang terakhir.
"Saya minat dengan cerita perang. Saya mula tertarik dengan buku Pak Latip apabila melihat kulit depan buku tersebut. Rekaannya yang unik menarik minat saya bagi mendapatkan buku tersebut. Apabila membacanya saya terus tertarik dengan karya tulisan Pak Latip. Akhirnya saya mendapatkan kesemua buku-buku tulisan Pak Latip," jelas Tuan Fuad.
Setelah membaca buku-buku tulisan Pak latip, beliau turut memperkenalkan buku tulisan Pak latip kepada rakan-rakan terdekat.
Tuan Razylino yang juga sahabat kepada tuan Fuad terus meminati buku tulisan Pak Latip setelah diperkenalkan dengan buku-buku tulisan Pak Latip.
"Saya pada mulanya tidak minat membaca. Namun setelah membaca buku tulisan Pak Latip saya terus tertarik. Sejarah peperangan Islam benar-benar menginsafkan saya," jelas Tuan Razlino.
Minat yang mendalam terhadap buku-buku tulisan Pak Latip menyebabkan mereka berdua mengedarkan buku-buku tulisan Pak Latip di sekitar Samarahan dan Kuching.
"Kami dapati koleksi buku-buku Pak Latip di kedai-kedai buku sekitar Samarahan dan Kuching tidak lengkap. Jadi kami mengambil keputusan mengedarkan buku-buku Pak Latip kepada rakan-rakan terdekat yang ingin membeli buku Pak Latip," jelas Tuan Fuad.
Kepada peminat karya Pak Latip yang berada di sekitar Samarahan dan Kuching dan ingin mendapatkan koleksi buku-buku Pak Latip bolehlah menghubungi Tuan Fuad di talian 013-8009060 dan Tuan Razylino di talian 0138295751.
Tuan Fuad dan Tuan Razylino juga merancang mengadakan promosi bagi memperkenalkan buku-buku tulisan Pak Latip kepada pembaca sekitar Sarawak selain menemukan Pak Latop dengan peminat-peminat beliau di sana.
"Kita merancang mengadakan promosi dan mengumpulkan peminat Pak Latip di sekitar Sarawak. Selain itu kita juga berhasrat menjemput Pak Latip agar dapat bertemu dengan peminat di sana," jelas Tuan Fuad.
Mereka juga mengambil peluang membeli buku-buku terkini tulisan Pak Latip di Bookcafe bagi di bawa pulang ke Sarawak.