Artikel

Penangguhan PBAKL, KLAB sebagai alternatif

oleh Maisarah Hanim Afandi pada 01 Mar 2022

“Hari raya bagi pencinta buku”, begitulah ungkapan yang sering dikaitkan dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Para pembaca, pencinta buku, penerbit dan penjual amat menanti-nantikan pesta buku ini kerana semuanya akan berhimpun di bawah satu bumbung. Kemeriahan pesta buku besar-besaran ini tiada tandingannya. Pembaca dari jauh sanggup bersusah-susah untuk turun menghadirkan diri ke Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur (PWTC) yang merupakan lokasi rasmi PBAKL. Rombongan bas dari sekolah-sekolah juga berbondong-bondong datang ke PWTC.

Akan tetapi, pada tahun 2020 dan 2021, PBAKL terpaksa dilakukan secara dalam talian kerana dunia dilanda pandemik COVID-19. Keadaan ini sedikit sebanyak memberikan tempias negatif pada industri buku. PBAKL secara fizikal dan dalam talian amat berbeza suasananya. Besarlah harapan jika PBAKL 2022 dapat dilangsungkan secara fizikal dan merancakkan semula industri buku di Malaysia.

Bagai kaca terhempas ke batu buat pencinta buku tatkala menerima perkhabaran bahawa PBAKL 2022 terpaksa ditangguhkan. PBAKL 2022 yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 7 hingga 21 Februari 2022 terpaksa ditangguhkan ke tarikh baru, 3 hingga 12 Jun 2022 untuk memberi laluan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Pusat Pemberian Vaksin Mega (Dos Penggalak) bermula pada 15 Januari hingga 15 Mac 2022. Berita penangguhan ini amat mengejutkan pemain industri buku dan pembaca. Ramai yang meluahkan rasa sedih dan kecewa terhadap penangguhan PBAKL kali ini kerana rata-rata sudah teruja untuk bertemu dan membeli-belah di PWTC.

Sejajar dengan pengumuman penangguhan ini, beberapa pihak penerbit seperti Jejak Tarbiah, The Patriots Publishing dan Buku Fixi telah mengambil inisiatif bagi mengadakan alternatif kepada pesta buku untuk memenuhi kelompongan pada bulan Februari. Pihak-pihak ini telah menganjurkan Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) 2022 pada 24 hingga 27 Februari 2022 yang lalu bertempat di Pasar Seni, Kuala Lumpur. Acara ini disertai oleh 56 pempamer yang memasarkan pelbagai buku baharu daripada pelbagai genre untuk para pembaca terutamanya generasi anak muda. Pesta buku ini sedikit sebanyak merawat kekecewaan pencinta buku dan penerbit yang ternanti-nanti PBAKL pada bulan Februari.

Benarlah sesungguhnya manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Diharapkan perkhabaran penangguhan PBAKL ini tidak melemahkan semangat pencinta buku untuk terus menyokong industri buku dan seterusnya memberikan peluang kepada pemain industri untuk terus menghasilkan karya-karya hebat untuk dipersembahkan pada PBAKL 2022 nanti. Semoga PBAKL pada bulan Jun 2022 nanti akan meriah dan dapat mengubat kerinduan para pencinta buku serta menarik para pembaca baharu. Semoga kita bertemu semula di PBAKL 2022 nanti, insyaAllah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024