Artikel

Prestasi Matematik dalam bahasa Inggeris merisaukan

oleh Helmi pada 22 Oct 2004

ISU pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris mungkin dianggap lapuk oleh sesetengah pihak, saya berpandangan ia tetap segar dan sentiasa perlu dipantau.

Kita jangan alpa dan berasa selesa pada peringkat ini. Persoalan utama dan sangat penting ialah aspek pelaksanaan yang tidak boleh dipandang ringan oleh pelbagai pihak khususnya yang berwajib.

Saya sebagai ibu kepada anak yang menjadi perintis dasar Matematik dalam bahasa Inggeris berasa pengurusan sekolah seolah-oleh menyapu perkara ini ke tepi.

Tidak ada sebarang langkah khusus diambil bagi membantu pelajar menguasai mata pelajaran Matematik dalam bahasa Inggeris.

Setelah setahun berlalu saya perlu memaksa anak saya untuk belajar Matematik, tetapi setelah dua tahun saya dapati dia belum menguasai Matematik Tahun Dua, malah kemahiran Matematiknya masih pada tahap satu!

Saya tidak dapat bayangkan apabila beliau melangkah ke Tahun Tiga dengan penguasaan yang masih pada tahap sekarang.

Prestasi Matematiknya amat tidak memuaskan. Malah, melihat kepada kertas peperiksaan hujung tahun baru baru-baru ini saya berasa soalan yang diberikan terlalu rendah tahap Matematiknya.

Apa sebenarnya berlaku. Kalau anak saya berada dalam kelas kedua hanya mampu mendapat 60 peratus, bagaimana pelajar yang berada pada kelas empat? Jangan salahkan anak jika tanggungjawab ini tidak dapat disempurnakan oleh guru terutama guru besar.

Jika sekolah di bandar mempamerkan prestasi begini, bagaimana sekolah di luar bandar? Saya amat berharap sekolah atau Kementerian Pelajaran tidak sesekali perjudikan masa depan anak kita.

Bercakap dan berdebat pada setiap persidangan yang diakhiri dengan resolusi tercatat pada kertas tidak akan membawa kita ke mana. Sebaliknya kita perlu berpijak di bumi nyata dan turun ke padang mendapatkan maklumat diperlukan.

Kesungguhan semua pihak terbabit tidak boleh berbelah-bagi kerana setiap saat berlalu beribu-ribu anak kita mungkin menjadi mangsanya!

Jangan kita terlalu jahil dan memandang tinggi kepada bangsa lain. Bangsa lain maju bukan kerana bahasa, tetapi kesungguhan dan komitmen mereka terhadap pendidikan secara menyeluruh.

Ramai orang Melayu yang berjaya, tetapi kerana inferiority complexs terlalu tebal kita menjadi buta dengan kekuatan bangsa sendiri. Kita perlu meletakkan orang yang berilmu pada tempatnya dan gunakan kepakaran mereka sebaiknya. Selagi kita bodoh sombong mengetepikan golongan berilmu dan hanya mementingkan diri sendiri hasrat untuk memartabatkan bangsa akan menjadi angan-angan kosong.

Dari pemerhatian saya ingin mencadangkan beberapa langkah yang mungkin boleh diberi perhatian segera demi meningkatkan prestasi anak kita:
Guru hanya berbahasa Inggeris apabila perlu. Penerangan konsep dilakukan dalam bahasa Melayu. Jangan paksa guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sewaktu mengajar. Berikan lebih kelonggaran kepada guru dan murid;
‘Masalah berayat’ menguasai hampir 50 peratus masalah Matematik sekolah rendah. Masalah berayat dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu telah lama dikaji dan terbukti menjadi masalah kepada kebanyakan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Memandangkan pelajar peringkat ini masih belum menguasai bahasa Inggeris pendekatan lebih realistik perlu diambil dengan mengurangkan ‘masalah berayat’ kepada cuma 20 peratus. Tumpuan utama ialah skil Matematik dan hadkan ‘masalah berayat’ supaya pelajar tidak ketinggalan skil Matematik terlalu jauh;
Sekolah kebangsaan khususnya perlu menambah masa mata pelajaran bahasa Inggeris kepada sekurang-kurangnya dua sesi tambahan seminggu. Waktu sekolah dipanjangkan kepada jam 2 petang untuk mengisi keperluan ini.

Guru bahasa Inggeris khususnya yang menerima elaun khas diberi tugas memenuhi sesi ini. Pihak sekolah perlu lebih bertanggungjawab membantu pelajar mereka;
Kumpulan guru/sukarelawan dibentuk oleh Jabatan Pelajaran Negeri untuk membantu pelajar pada cuti sekolah atau hari minggu; dan
Setiap sekolah diwajibkan melaporkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri mengenai prestasi Matematik sekolah mereka khususnya yang membabitkan kumpulan belajar dalam bahasa Inggeris. Sekolah yang di bawah prestasi memuaskan perlu diberi bantuan oleh kumpulan yang dibentuk oleh jabatan.

Kalau anak saya tidak dapat menguasai sebaiknya walaupun sudah hampir dua tahun berlalu, saya pasti masalah ini bukan berlaku kepada beliau saja. Lakukan sesuatu sebelum terlewat kerana jika kita tunggu sehingga prestasi UPSR 2008 bagi kumpulan perintis ini, kita mungkin dikejutkan dengan malapetaka yang amat perit.

Waktu itu beribu-ribu anak kita boleh saya katakan patah semangat.Kita perlu bersiap sedia dari sekarang kerana bak kata pepatah Melayu jangan jadi ‘yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran’.

SAISHAH,
Permatang Pauh, Pulau Pinang.

<http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Rencana/20041019070050/Article/ >

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024