Artikel

Pengundi Kali Pertama, Anak Muda Turun Padang, Suara Mahasiswa Makin Jelas dan Berdampak Optimis - #PRU15

oleh Aisha Nizam pada 17 Nov 2022

Bermula tarikh 15 Disember 2021, pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun di negara ini dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Maka, secara tidak langsung jumlah pengundi dalam kalangan Generasi Z dijangka akan meningkat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Sudah tentu, saya juga tidak terlepas daripada melaksanakan tanggungjawab tersebut. Namun begitu, artikel ini bukanlah berkisarkan tentang pengalaman mengundi pertama kali (mengundi pun belum lagi) namun lebih kepada perkongsian umum tentang PRU15 yang sedang rancak berlangsung dan berkempen sehingga 19 November 2022, Sabtu ini, yang merupakan tarikh rasmi rakyat Malaysia mengundi.

Sebagai anak muda yang tidak tinggal diam dalam mengikuti perkembangan politik negara, saya dapat rasakan ‘aura ke-19’ pada PRU15 kali ini, begitu panas bahangnya dalam kalangan anak muda. Hal ini kerana di platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok, masing-masing menunjukkan minat dan semangat yang luar biasa dalam isu pilihan raya dan politik negara. Suasana PRU15 kali ini juga lebih mempraktikkan berkempen secara matang dan sihat walaupun sudah pasti ada suara-suara sumbang kedengaran di mana-mana pihak.

Suasana PRU15 dikatakan semakin panas apabila baru-baru ini, tular di media sosial TikTok tentang saudara Fahmi Reza yang merupakan seorang aktivis yang aktif dalam memperjuangkan idea-idea politik beliau dan diterjemahkan melalui karikatur. Sesiapa yang sudah lama mengenali dan mengikuti beliau, sudah pasti anda kenal dengan karikatur yang pernah membuahkan sensasi suatu ketika dahulu.

Namun bukan itu isu yang saya mahu kongsikan kepada anda, sebaliknya saya ingin berkongsikan tentang semangat beliau dalam mendidik generasi muda supaya cakna dan membuka mata tentang senario politik negara kita. Beliau kini aktif membuka dan menganjurkan kelas demokrasi di laman media sosial beliau dan membuat kunjungan ke universiti-universiti untuk mengajak anak muda turun padang untuk berhimpun, mendengar dan memahami perkara-perkara yang melibatkan pilihan raya, politik dan sebagainya.

Walaupun begitu, terdapat beberapa isu yang timbul di mana beliau dilarang untuk menganjurkan program tersebut di beberapa buah universiti. Namun begitu, saya sebagai seorang mahasiswa, menyokong idea dan inisiatif beliau untuk mengajak mahasiswa untuk mengambil tahu tentang apa yang berlaku dalam politik negara. Niat beliau bukan untuk menghasut tetapi lebih kepada memberi pengetahuan asas tentang negara demokrasi ini.

Tambahan pula, dalam kempen pilihan raya kali ini, majoriti pengundi muda mahukan calon yang bertanding mengetengahkan agenda dan isu pembangunan yang melibatkan belia. Gelombang PRU15 kali ini dikatakan mampu menunjukkan corak perubahan yang mengubah landskap dan tradisi lama permainan politik negara.

Melalui inisiatif dan aspirasi Astro Awani yang terbaharu, pertubuhan Youth Xtion Movement (YXM) diasaskan pada PRU15 kali ini bagi memastikan idea dan suara golongan tersebut didengari untuk sama-sama menyumbang kepada kemapanan negara. Menurut Ashwad Ismail, Ketua Pengarang Astro Awani, dengan adanya pertubuhan ini, kesemua idea dan garapan suara mereka yang datang daripada pelbagai sudut dapat didengari dan diketengahkan sebagai aspirasi anak muda untuk pembangunan negara dan diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.

Suara mahasiswa pada PRU15 menunjukkan dampak positif kerana corak pulang mengundi dalam kalangan anak muda jelas menunjukkan peningkatan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Tambahan pula terdapat satu kaji selidik turut menunjukkan mahasiswa bersemangat untuk pulang mengundi walaupun terdapat segelintir yang tidak dapat pulang akibat kekangan yang tidak dapat dielakkan.


Buat pilihan bijak. Kita yang memilih.


Sebagai anak muda yang pertama kali akan turun mengundi, pasti ada antara kita masih tidak tahu atau kurang pasti parti manakah yang akan bertanding pada PRU15 kali ini. Di sini, saya kongsikan secara ringkas senarai parti-parti yang bertanding dan siapakah kawan-kawan mereka. PRU15 pada tahun 2022 kali ini agak berlainan kerana terdapat 4 gabungan parti yang bertanding iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Barisan Nasional dianggotai oleh parti UMNO, MCA, MIC, PBRS dan PBM. Perikatan Nasional pula disertai oleh parti BERSATU, PAS, STAR, SAPP, GERAKAN dan PDP. Pakatan Harapan pula adalah gabungan antara parti DAP, PKR, AMANAH dan MUDA. Gabungan yang terbaharu pula adalah Gerakan Tanah Air yang disertai oleh PEJUANG, BERJASA, PUTRA dan IMAN.

Sebagai penutup bicara, hanya secebis luahan dan pendapat sebagai anak muda yang akan turun pertama kali untuk mengundi. Pilihan itu di tangan kita, sebagaimana anda harapkan acuan kerajaan dan negara ke hadapan itu terbentuk dan terbina, inilah permulaannya. Acuan itu bermula dengan kita, iaitu generasi muda.

Oleh yang demikian, pandanglah ke hadapan dan lakukan pilihan yang tepat! Jangan hanya seperti tin kosong, pandai berbunyi tetapi kosong. Pandai berdebat di alam maya tetapi hakikatnya cakap tidak serupa bikin. Tidak patutlah sebegitu.

Jadi, buat anda semua, jangan lupa mengundi dan selamat mengundi!

#UndiMuda #Pertamakali #Undi18 #suarasiswa #PRU15

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024