Artikel

Sengketa dan Damai PRU15

oleh Maisarah Hanim pada 24 Nov 2022

Semuanya bermula pada 10 Oktober 2022, apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Awalnya, saya berasa tidak senang dengan pengumuman ini. Sebab utamanya adalah kerana ini musim banjir bagi negeri-negeri yang terlibat. Sudah tentu fokus yang sepatutnya diberikan oleh kerajaan adalah kepada kesiapsiagaan menghadapi banjir. Ini bukanlah masa yang sesuai untuk merebut kuasa. Kegusaran rakyat ini telah diterjemahkan melalui tanda pagar #undibanjir yang menjadi trending di media sosial terutamanya di Twitter.

19 November telah ditetapkan sebagai tarikh mengundi di seluruh Malaysia. Istimewanya PRU15 kali ini adalah penglibatan anak muda seawal usia 18 tahun sebagai pengundi. Masing-masing teruja berkempen untuk parti politik yang dipilih. Ada juga yang memilih untuk berkongsi ilmu-ilmu penting tentang perlembagaan, undang-undang negara dan memberikan pendapat berkaitan politik Malaysia secara terbuka di platform media sosial mereka. Saya kira ini adalah politik sihat dalam kalangan pengundi muda.

Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan di tengah hari. Ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan isu agama dan perkauman untuk kempen politik mereka. Ini antara cubaan hina untuk mewujudkan api perkauman dalam kalangan masyarakat majmuk. Sehinggakan ada yang menggunakan peristiwa hitam 13 Mei dan memuat naik video parang dan pedang sebagai simbolik tragedi berdarah itu. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa mana-mana pihak yang cuba menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh menyebabkan kegusaran awam akan diambil tindakan tegas.

Siaran Media PDRM
Siaran Media PDRM

Debaran rakyat Malaysia untuk menantikan siapa Perdana Menteri Malaysia ke-10 berlanjutan sehingga lima hari selepas hari mengundi. Pelbagai cerita dan episod yang dramatik berlegar-legar sepanjang tempoh ini. Saya boleh katakan setiap saat rakyat Malaysia menatal media sosial mereka untuk mendapatkan maklumat terkini. Berita-berita yang memutarbalikkan plot juga banyak bertebaran pada saat-saat genting ini kerana parti-parti politik sudah tentu akan sedaya upaya mencuba untuk berkuasa di Putrajaya. Saat-saat seperti inilah sebenarnya menguji seseorang itu. Mereka harus pandai menapis maklumat dan mengawal emosi ketika menerima sesuatu berita itu.

Alhamdulillah, pada 24 November 2022, penantian telah berakhir. Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10. Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.

“Seri Paduka Baginda mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang, tidak menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua. Justeru, bagai biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semua saf antara semua Ahli-Ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta,”

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka yang mana para pemimpin adalah pemegang amanahnya. Harta pusaka ini perlu dijaga kerana ia bakal diwarisi oleh generasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan.”

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut berpesan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Ini antara baris ayat daripada Kenyataan Media Istana Negara yang saya kira cukup mendalam maksudnya buat ahli-ahli politik dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Teguran ini adalah demi kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan negara. Semua pihak harus bersatu padu, berlapang dada dan berganding bahu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih maju dibawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 setelah Wawasan 2020 tidak berjaya dicapai. Bersatu teguh bercerai roboh.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024