Artikel

PTS Terbang Ke Bumi Kenyalang Untuk Pesta Buku Kuching 2022

oleh Aina Fasihah pada 16 Nov 2022

Berita gembira buat warga Sarawak yang selalu sabar menanti pesta buku berlangsung di bumi kenyalang ini. Pesta Buku Kuching bagi tahun 2022 bakal berlangsung selama empat hari bermula pada 24 November dan akan melabuhkan tirai pada 27 November 2022. Lokasi yang menjadi pilihan penganjur adalah di Pustaka Negeri Sarawak, Kuching sendiri. Lokasi yang akan berlangsungnya pesta buku ini terletak berhampiran Stadium Negeri Sarawak dan Wisma Sesco. Pesta Buku Kuching akan membuka gerbang pintu masuk seawal jam 10 pagi hingga 6 petang dan disertai oleh 14 peserta daripada syarikat-syarikat buku dan penerbitan. Antara syarikat penerbitan yang menyertai pesta buku ini ialah PTS Media Group, Iman Publication, Fixi dan banyak lagi.

Pihak penganjur turut mengisi acara dengan beberapa program yang menarik seperti Kitak Maok Jadi Pustakawan, Secangkir Teh Setapak Bandong dan Hari Terbuka Keperluan Khas. Pihak PTS Media Group turut menganjurkan aktiviti bersama penulis komik tersohor Komik-M dalam sesi Temu dan Tegur iaitu Tuan Ben Wong pada 26 dan 27 November 2022.

Sesi bertemu artis Komik-M ini akan bermula pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung semula usai waktu solat dan makan tengah hari iaitu pada jam 2 petang hingga 4 petang pada kedua-dua hari Sabtu dan Ahad. Bagi anda yang akan hadir ke sesi Temu dan Tegur nanti jangan lupa untuk bawa bersama komik-komik anda seperti komik Silat Boy, Aku, Kau dan Meow, dan Atan untuk ditandatangani oleh Tuan Ben Wong. Jika belum ada, anda bolehlah membeli komik baharu di pesta buku ini sebelum kehabisan stok.

Keterujaan ini juga akan dibawa ke hari terakhir Pesta Buku Kuching 2022. Pada Ahad 27 November 2022, Artis Komik-M, Tuan Ben Wong akan berada di galeri Pustaka Negeri Sarawak bersama Tuan Jimi, Ketua Jabatan Kreatif Komik-M dan Tuan Arief Hakim Sani selaku Presiden MABOPA bagi acara forum dengan topik “Sembang: Komik Masuk Perpustakaan”. Sesi forum ini akan berlangsung selama satu jam bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah hari. Bagi anda yang ingin mendapatkan aturcara penuh bagi program yang akan berlangsung sepanjang Pesta Buku Kuching boleh layari portal rasmi Pustaka Negeri Sarawak.

Orang ramai dijemput hadir ke Pesta Buku Kuching 2022 ini kerana ini merupakan peluang buat warga Sarawak mendapatkan lebih daripada 1000 tajuk buku di bawah satu bumbung dan sekali gus menyokong industri buku dan dunia penerbitan. Di samping itu, dengan menghadiri pesta buku bersama anak-anak dapat memupuk minat dan rasa cinta mereka terhadap buku. Jadi, kosongkan jadual anda dan meriahkan Pesta Buku Kuching 2022 di Pustaka Negeri Sarawak pada hujung bulan ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024