Artikel
Penulis Berentap dalam Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2011
oleh Roziyah pada 14 Jun 2011
Buku kategori fiksyen dan bukan fiksyen yang laris di pasaran akan berentap sesama sendiri bagi merebut carta buku popular menerusi Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2011.
Anugerah besar bagi penulis buku ini adalah sempena Pesta Buku Popular, Bookfest@Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada minggu terakhir Ramadan dan menginjak hingga berakhirnya minggu pertama Aidilfitri, 27 Ogos hingga 4 September 2011.
Popular menjelaskan tarikh itu dipilih bagi meraikan bulan Ramadan dan Syawal. 10 peratus daripada jualan buku kategori agama, motivasi dan masakan yang terlibat dalam kempen terbabit akan disumbangkan kepada lima rumah anak yatim.
Sepuluh buku fiksyen yang akan berentap bagi merebut carta buku popular dalam Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2011 adalah berdasarkan statistik jualan sepanjang 2010.
Sepuluh buku itu ialah Lafazkan Kalimah Cintamu (Siti Rosmizah), 2x5 (Areila Sahimi), Cinta Sufi (Ramlee Awang Murshid), Cinta 3 Suku (Herna Diana), Pergilah Air Mata (Hanni Ramsul), Masih Setia (Aisya Sofea), Coke & Sundae (Ilya Abdullah), Sepupuku Suamiku (Lynn Allyna), Saat Kau Kata Cinta (Anis Ayuni) dan Bukan Tak Sudi (Mimie Affinie).
Pembaca boleh memulakan undian untuk setiap buku kegemaran mereka menerusi undian yang akan bermula pada 3 Jun hingga 17 Julai ini dengan menggunakan borang undian dalam laman Sastera, Dunia Buku yang terbit setiap Jumaat, selain boleh mendapatkan borang undian di semua 64 Rangkaian Kedai Buku Popular di seluruh negara.
Bagi kategori bukan fiksyen pula, 10 yang bertanding ialah Agenda Yahudi Menakluk Dunia (Sabaruddin Hussein), Menyangkal Kiamat (Mohd Nizam), 10 Terminal Syurga Rumah Tangga (Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood), Jejak Bisnes Rasul (Alzuddinur Zakri & Mohd Sulaiman), Murabbi Cinta (Hasrizal Abdul Jamil), Nasib Melayu Di Bumi Melayu (Dr Ridhuan Tee), Mengemudi Bahtera Perubahan Minda (Dr Mohd Asri Zainul Abidin), Secangkir Teh Pengubat Letih (Hasrizal Abdul Jamil), Berbunga Cinta Aisyah Di Hati Rasulullah (Zamri Mohamad & Imran Yusof) dan Indahnya Amalan Doa (Datuk Ismail Kamus).
Turut memeriahkan lagi Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2011 ialah pembaca berpeluang menikmati potongan harga 20 peratus bagi pembelian buku yang disenaraikan untuk anugerah ini, bermula 3 Jun sehingga 2 Oktober.
Potongan harga 10 peratus juga diberikan kepada buku pilihan daripada kategori agama, motivasi dan masakan sempena Ramadan@Popular bermula 3 Jun dan berakhir pada 14 Ogos ini.
Borang undian boleh diperolehi dalam akhbar Berita Harian, Kedai Buku Popular atau mendapatkan terus dari website rasmi Popular.