Artikel
Watak Cikgu Zaki Ceriakan Komik-M
oleh Roziyah pada 13 Jun 2011
Seperti biasa, Komik-M mencipta kelainan demi kelainan dalam komik-komik terbitannya bagi menarik minat pembaca setia Komik-M.
Kali ini, Komik-M menampilkan kelainan dengan membawakan watak Cikgu Zaki dalam setiap komik yang diterbitkan. Cikgu Zaki akan bercerita perihal cintai bahasa dalam setiap komik yang dihasilkan.
"Melalui artikel yang dikeluarkan dalam setiap terbitan Komik-M ini, Cikgu Zaki akan bercerita perihal kepentingan mencintai bahasa Melayu," jelas Editor Komik Senior, Tuan Wan Zuhairi Wan Zainuddin kepada wakil media PTS.
Beliau menjelaskan, sebelum ini setiap keluaran Komik-M sudah menekankan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi dalam setiap karya Komik-M. Ini adalah kali pertama Komik-M menyediakan ruangan Cikgu Zaki bagi menambahkan pengetahuan pembaca perihal kepentingan bahasa dalam kehidupan mereka. Setiap artikel yang dihasilkan juga berkait dengan tajuk dan isi cerita komik yang diterbitkan.
Cikgu Zaki juga dikenali sebagai Zaki Zainol bukan satu nama asing dalam dunia sastera tempatan. Beliau sudah menghasilkan banyak karya sastera seperti puisi, cerpen dan novel. Karya terbaru beliau yang dihasilkan adalah Saga Takluk Jagat yang diterbitkan oleh PTS Pop Sdn Bhd.