Artikel
Penulis Perlu Bijak Jalankan Promosi - Ain Maisarah
oleh Roziyah pada 30 Sep 2010
PTS semakin berkembang dari hari ke hari. Semakin hari semakin ramai penulis yang tertarik menerbitkan hasil karya mereka di PTS.
Menurut penulis besar PTS, Ain Maisarah, penulis harus bijak melakukan promosi bagi menonjolkan buku dan karya penulis sendiri.
"Penulis harus sedar PTS semakin hari semakin berkembang. PTS mempunyai beratus-ratus penulis. Penulis harus mengambil inisiatif sendiri bagi menonjolkan karya yang dihasilkan," jelas Puan Ain Maisara ketika ditemuramah ketika majlis rumah terbuka PTS lalu.
Beliau merupakan salah seorang penulis yang aktif menjalankan promosi karya-karyanya sendiri. Bagi beliau menulis juga merupakan perniagaan.
"Bila sudah menghasilkan buku, ia sudah menjadi produk. Kita kena kembangkan ia sama seperti perniagaan. Semuanya harus dirancang dengan teliti termasuklah dengan mempromosikannya di media baru seperti blog, facebook dan sebagainya agar karya lebih dikenali," jelas beliau lagi.
Puan Ain Maisarah yang popular dengan koleksi buku Aku Mahu... juga aktif menjalankan aktiviti di sekolah-sekolah agar karyanya lebih dekat dengan pembaca sasaran beliau yang terdiri daripada pelajar sekolah.
"Guru dan pelajar gembira apabila dilaksanakan program secara percuma di sekolah mereka kerana sukar mencari orang yang sanggup datang ke sekolah memberi bengkel kepada pelajar secara percuma. Pihak sekolah menerima baik setiap program yang saya anjurkan," jelas Ain Maisarah lagi.
Beliau yang sentiasa manis dengan senyuman mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang menyokong beliau selama ini.
"Doakan Ain Maisarah sentiasa rajin menulis dan teruskan menyokong buku-buku keluaran PTS," ujar beliau kepada peminatnya sebelum mengakhiri perbualan.