Artikel

Perangi Sihir Jawab Persoalan Serangan Halus

oleh Roziyah pada 09 May 2011

PTS Millenia Sdn Bhd tampil dengan buku terbaru berkaitan Perangi Sihir. Buku yang mendedahkan perihal penyakit sihir ditulis oleh dua orang pengamal perubatan yang pakar dalam bidang masing-masing.

Perangi Sihir adalah buku anti-sihir yang ditunggu-tunggu selama ini. Buku yang mendapat sambutan hangat di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 lalu adalah gabungan dua pengamal perubatan; seorang pakar perubatan tradisional dengan pengalaman 40 tahun dan seorang lagi doktor perubatan di salah sebuah hospital terkemuka. Perangi Sihir mengemukakan fakta perihal sihir dan angkara jin, serta kes-kes sebenar daripada pengalaman pesakit.

Penulisnya, Engku Ansarudin Agus adalah anak kepada Engku Mudo Agus dan Jaranah bt Abdullah. Sejak berumur 9 tahun, beliau selalu melihat ayahnya mengubati pesakit dan melakukan rawatan secara ruqyah. Beliau juga sering melihat ayahnya menangani jin, syaitan dan iblis yang merasuk ataupun dihantar kepada orang oleh ahli sihir.

Apabila beliau kerap menyaksikan sistem serta konsep perubatan yang dipraktikkan oleh ayahnya, diri dan fikiran beliau menjadi matang serta mempunyai azam yang kuat bagi mendalami dan mempelajari ilmu perubatan dan rawatan alternatif berlandaskan al-Quran dan sunah. Selepas mencapai umur 19 tahun, beliau meminta izin kepada ayahnya bagi mencuba melakukan rawatan kepada orang yang dirasuk serta orang yang terkena gangguan sihir. Ayah beliau memberi keizinan dan bimbingan supaya pelaksanaan rawatan yang diberikan terarah dan mantap.

Setakat ini, sudah lebih 70 orang guru yang mendidik dan mengajar beliau. Guru-guru beliau terdiri daripada para alim ulama yang mengerti dan pakar dalam ilmu perubatan alternatif. Pada saat ini yang lebih membahagiakan perasaan beliau iaitu dapat mengabungkan pandangan dan pendapat dengan ilmu perubatan moden, saintifik sehingga gabungan kedua-dua pendapat dan pandangan ini dapat dicurahkan pada buku pertama ini yang berjudul “Perangi Sihir”.

Beliau sudah berpengalaman melebihi 40 tahun dalam mejalankan rawatan perubatan spiritual, alternatif dan sudah banyak memberikan pandangan dan nasihat kepada masyarakat yang memerlukannya.

Seorang lagi penulis, Dr. Mohammad Azlee Bin Abdul Mutalib pula bertugas di Hospital Ipoh dan Hospital Teluk Intan. Kini beliau berkhidmat di institusi perubatan swasta di Kuala Lumpur dalam unit bius. Dr. Mohammad Azlee mula belajar dalam aliran perubatan spiritual semenjak 1992 dengan gurunya Tuan Engku Ansaruddin Agus. Beliau juga aktif menimba pengalaman merawat pesakit-pesakit gangguan jin bersama gurunya sejak 5 tahun lalu apabila Pusat Rawatan Yashfien dibuka secara rasmi.

Beliau memulakan usaha penulisan buku bersama Tuan Engku sejak dua tahun lalu demi memperkaya khazanah ilmu dan juga bagi tujuan berdakwah.

Buku Perangi Sihir mendedahkan secara khusus gangguan sihir yang berlaku dalam masyarakat. Menariknya buku ini adalah hasil kajian yang khusus dari Tuan Engku Ansarudin Agus dan Dr. Mohammad Azlee Mutalib.

Perangi Sihir bukan sahaja membuatkan kita lebih faham perihal serangan halus terkutuk ini, bahkan kaedah bagi melindungi dan mempertahankan diri daripadanya.

Dapatkan buku Perangi Sihir yang menjawab segala persoalan yang bermain di minda masyarakat sebelum ini dengan melayari www.bookcafe.com.my atau dapatkannya di kedai-kedai indie berhampiran tuan dan puan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024