Artikel
Program Jejak Penulis Pantai Timur 2004
oleh Helmi pada 27 Aug 2004
Bengkel Penulisan JIM Terengganu-PTS
7 Ogos 2004
Sek. Men.Islam Al-Amin, Dungun.
Bengkel Penulisan UiTM Terengganu-PTS dan Majlis Pelancaran Buku
9 Ogos 2004
Residence Resort Paka, Dungun.
Bengkel Penulisan JIM Kelantan-PTS
13 ogos 2004
Sek. Men.Islam Aman, Kota Bharu.
Berita
Usaha PTS menjejaki penulis diteruskan lagi. Kali ini team penyelidikan menjelajah Pantai Timur selama seminggu. Program ini bertujuan mengetengahkan karya para ilmuan ke dalam bentuk penulisan buku. Pelbagai usaha dijalankan termasuklah mengadakan bengkel penulisan sehari dan mengadakan pertemuan serta perbincangan dengan penulis.
Istimewanya jelajah kali ini adalah majlis pelancaran buku penulis PTS anjuran Unit Penulisan Akademik (UPENA) Universiti Teknologi MARA cawangan Terengganu.
Jelajah bermula dengan bengkel penulisan bersama ahli Jamaah Islah Malaysia (JIM) Terengganu. Bengkel sehari ini diadakan di Sekolah Menengah Islam Al-Amin Dungun pada 7 Ogos 2004 mendapat sambutan yang baik dengan kehadiran peserta pelbagai peringkat umur.
Hasil daripada bengkel ini PTS dapati JIM Terengganu mempunyai kumpulan pengarang berkaliber yang tersendiri. Kebanyakan ahli yang hadir terdiri daripada profesional yang mempunyai latar belakang berbeza. Ada jurutera, pengurus, guru, Konsultan IT dan juga tidak ketinggalan remaja.
Seterusnya pada 9 Ogos 2004 bertempat di Residence Resort Paka, Dungun diadakan bengkel kedua anjuran bersama UPENA UiTM cawangan Terengganu. Sambutan yang diterima begitu menggalakkan dengan kehadiran peserta bengkel melebihi kuota yang ditetapkan. Biasanya jumlah peserta bengkel dihadkan kepada 25 hingga 30 orang sahaja. Ini bagi memastikan matlamat bengkel tercapai.
Namun begitu bengkel tetap diteruskan walaupun bilangan yang hadir dua kali ganda jumlahnya. Peserta terdiri daripada tenaga pengajar UiTM Cawangan Terengganu, Kampus Dungun dari pelbagai bidang. Antaranya, pengurusan, bahasa, sains komputer, pendidikan Islam, perakaunan, undang-undang dan lain-lain.
Bengkel di UiTM Dungun ini bermula jam 8.15 pagi dan berakhir jam 4.00 petang bagi memberi laluan kepada majlis pelancaran buku.
Majlis ini mendapat sokongan daripada beberapa badan kerajaan dan bukan kerajaan. Antara yang hadir adalah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), wakil agensi usahawan, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Terengganu), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia ( Kelantan), Kelab Usahawan Muda Terengganu, Persatuan Kraftangan Terengganu dan Persatuan Kraftangan Kelantan.
Antara buku yang dilancarkan adalah Sistem Akaun Praktikal (En. Wan Mohd Nazif Wan Nori), Tip & Teknik Menggunakan Microsoft Office & Internet (En. Wan Mohd Nazif Wan Nori), Mengurus Kos (En. Jamalludin Helmi Hashim), Mengurus Inventori (En. Jamalludin Helmi Hashim), Pengurusan & Teknologi Pejabat (En. Samsudin Wahab) dan Mengurus & Mentadbir Pejabat (En. Samsudin Wahab).
Bengkel terakhir pada jelajah kali ini diadakan pada 13 Ogos 2004 bertempat di Sekolah Menengah Islam Aman, Kota Bharu, Kelantan. Bengkel ini anjuran bersama Jamaah Islah Kelantan (JIM). Seperti JIM Terengganu, JIM Kelantan juga tidak kurang hebatnya dari kumpulan pengarang yang terdiri darikalangan doktor, pakar perubatan, guru dan juga remaja.
Waktu diantara bengkel satu bengkel dengan bengkel yang lain diisi dengan sesi pertemuan bersama penulis yang berminat menerbitkan buku bagi membincangkan dengan lebih lanjut usaha yang boleh dilaksanakan.sesi ini adalah salah satu daripada khidmat nasihat yang PTS sediakan untuk penulis.
Pengisian bengkel
Kebiasaannya bengkel penulisan sehari ini diadakan bermula jam 9.00pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang. Komunikasi dua hala digalakkan supaya peserta mendapat manfaat yang lebih dan PTS dapat menilai sejauh mana keberkesanan sesi yang diadakan.
Antara sesi yang diadakan adalah pengenalan kepada dunia penerbitan, faktor dalam penulisan, motivasi menulis, teknik-teknik menulis buku dan isu-isu dunia penerbitan. Sesi- sesi ini biasanya dikendalikan oleh Pengurus Penerbitan PTS.
Disebelah petang pula adalah sesi bersama Pengurus Editorial PTS yang menyentuh aspek kesalahan tatabahasa yang selalu dikesan, bagaimana menurunkan indeks kebolehbacaan dan berkongsi pengalaman editor semasa mengedit buku.
Daripada maklum balas yang diberi, kebanyakan peserta tertarik dengan pendedahan kepada KJ method. Melalui kaedah ini Pn. Ainon Mohd dan Prof. Abdullah Hassan berjaya menghasilkan banyak buku dalam pasaran. Pn. Ainon mengubahsuai penggunaan KJ Method yang diperkenalkan untuk kegunaan para usahawan ke dalam bidang penulisan dan ini menjadikan bidang penulisan sesuatu bidang yang agak mudah untuk diceburi oleh semua orang.
Apa dia KJ method ?
Apakah indeks kebolehbacaan?
Bagaimana mengurangkan indeks kebolehbacaan?
Sesiapa yang berminat untuk mengetahui jawapan boleh mengadakan kerjasama dengan PTS dalam menganjurkan bengkel penulisan seperti ini supaya idea tokoh-tokoh penulis ataupun sesiapa yang berminat dalam bidang penulisan akan dapat diketengahkan kepada masyarakat serta dapat memperbanyakkan bahan bacaan berilmu dalam Bahasa Melayu.
Diharapkan melalui penganjuran bengkel penulisan ini akan dapat melahirkan bakal-bakal penulis di kalangan ilmuan di luar sana.
Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menulis kepada Eksekutif Penerbitan, Cik Mas Ayu
.