Artikel

Perlancaran buku di Alpha Angle meriah

oleh Helmi pada 27 Jul 2005

Majlis yang julung-julung kali dianjurkan ini adalah anjuran bersama Kumpulan PTS dan MPH Bookstore Sdn Bhd cawangan Alpha Angle.

Majlis dianjurkan secara ringkas ini bermula pada jam 3.00 ptg dan dimulai dengan bacaan doa oleh Sdr Nazrul Shamsudin, Pengurus PTS Professional Publishing Sdn Bhd.

Dalam ucapan aluan dari penulis, Sdr Aripin Said yang mewakili penulis yang lain (Prof Abdullah Hassan, Pn Ainon Mohd) memberikan sedikit maklumat tentang kedua-dua buku tersebut dan bagaimana pembaca boleh menggunakannya serta apa manfaat yang boleh diperolehi dari buku tersebut.

Majlis seterusnya dilancarkan oleh Sasterwan Negara, Dato’ A. Samad Said. Dalam ucapan pelancarannya Dato’ Samad menekankan perlunya generasi yang ada sekarang menghidupkan kembali budaya pantun dan gurindam ini yang semakin lama semakin dilupakan.

Bahasa pantun dan gurindam ini adalah salah satu cara orang Melayu menyampaikan mesej dalam penuh adab dan sopan tanpa menyentuh batang tubuh mana-mana individu.

Generasi muda kini tidak dapat menghayati Pantun dan Gurindam kerana mereka tidak didedahkan majlis-majlis seperti ini. Pada masa yang sama penggunaan pantun dalam majlis juga amat berkurangan dan ditambah dengan kurangnya di pasaran buku yang menghimpunkan rangkap-rangkap pantun dan gurindam bagi panduan orang ramai.

Oleh yang demikian menurut Dato Samad lagi, Buku Pantun & Gurindam Untuk Majlis Rasmi dan buku Koleksi Pantun untuk Istiadat Persandingan Melayu ini dilancarkan tepat pada masanya ketika masyarakat mula ingin kembali kepada adat dan budaya kesopanan yang kian terpinggir ini.

Sesudah berucap, Dato A Samad Said memukul gong sebanyak tiga kali sebagai tanda kedua-dua buku itu dilancarkan. Sebaik gong ke tiga dipukul, pukulan kompang bergema di Jusco Alpha Angle. Kira-kira sepuluh orang kanak-kanak dari Kelab Kompang Sekolah Rendah Islam Al-Amin Gombak mengiringi perarakan membawa bunga manggar dan cenderamata untuk Dato A Samad Said dari arah ruang legar Kompleks menghala ke majlis berlangsung. Cenderamata adalah berupa sebuah buku ‘Pantun & Gurindam Untuk Majlis Rasmi’ dan sebuah buku ‘Koleksi Pantun untuk Istiadat Persandingan Melayu’ yang dihias atas dua dulang hantaran.

Majlis pantun juga diserikan dengan nyanyian gurindam yang di lagukan oleh Aripin Said. Beliau menyampaikan 4 buah lagu gurindam yang bertemakan kekeluargaan, dan budi baik itu dikarangnya sendiri. Walaupun hanya bertemankan sebuah kompang, beliau berjaya menarik perhatian dan menghiburkan ramai pengunjung. Rata-rata pengujung mengatakan iniah pertama kali mereka mendengar gurindam dinyanyikan.

Majlis kemudian diserikan dengan deklamasi sajak oleh Dato A Samad Said. Beliau menyampaikan tiga buah sajak karangan beliau yang dipetik dari buku beliau yang terbaru.

Majlis di akhiri dengan persembahan Nasyid dari pelajar-pelajar kelab Naysid SRI Al-Amin Gombak.

Majlis yang berlangsung kira-kira sejam setengah itu terasa amat pendek. Pengunjung dan tetamu bukan sahaja terhibur dengan persembahan yang disediakan bahkan mereka turut terhibur dengan bahasa yang di gunakan oleh pengacara majlis. Dari mula hingga ke penutup majlis, dua orang pembawa merangkap pengacara majlis menggunakan bahasa yang berbunga. Ucapan dan kata-kata mereka di selang selikan dengan pantun dan gurindam yang diambil dari buku yang dilancarkan.

Secara tidak langsung para tetamu dapat melihat secara praktikal bagaimana menggunakan buku tersebut dan menjadikan majlis lebih menarik, berseri dan bersopan. Tahniah diucapkan kepada kedua-dua pembawa majlis iaitu Cik Hasmariza dari PTS dan Cikgu Puan Aida.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025