Artikel

Persatuan Editor Jadi Payung Editor di Malaysia

oleh Roziyah pada 18 Feb 2011

Sebelum ini, masyarakat umumnya kurang mengetahui individu yang bergelar editor dengan lebih jelas. Profesion sebagai editor juga kurang diperhatikan dan tidak diiktiraf di sesetengah sektor.
Melalui kesedaran ini, beberapa pihak yang menyedari pentingnya editor dalam penghasilan sesebuah karya berusaha keras dengan mewujudkan Persatuan Editor Malaysia (PEM) yang bermatlamatkan bagi mengembangkan profesion editor khususnya di Malaysia.

Melalui PEM yang ditubuhkan oleh beberapa orang penggiat dalam bidang penerbitan ini, pelbagai usaha secara kolektif dapat dilakukan demi meningkatkan keterampilan dan profesionalisme editor di Malaysia.

Menurut pengerusi PEM, Prof. Madya Dr Hamedi Mohd Adnan, PEM ditubuhkan bagi menjaga kebajikan semua editor di Malaysia selain menyatukan editor-editor di Malaysia di bawah satu payung dan menjadi sebuah keluarga yang besar.


"PEM ditubuhkan bagi menjaga dan memperjuangkan kepentingan editor di Malaysia. Kita mahu jawatan ini diiktiraf terutamanya di sektor kerajaan. Sebelum ini, tiada lagi jawatan editor yang disediakan di sektor kerajaan," ujar Dr Hamedi.

Beliau menjelaskan, PEM juga akan menjadi badan yang mewakili semua editor dalam negara.

"Kita juga akan menjelaskan kepada umum sumbangan dan kepentingan editor dalam bidang penerbitan agar masyarakat mengetahui siapa sebenarnya editor.

"PEM juga menjadi sebuah pertubuhan yang menjadi payung panas dan hujan kepada editor di Malaysia" jelas beliau lanjut.

PEM juga akan berusaha meningkatkan taraf profesionalisme editor di Malaysia dengan mengadakan program-program profesion melalui penganjuran latihan, seminar, forum, simposium, pesidangan, kongres dan dialog.

Sempena pesta buku ini juga, PEM merancang mengadakan seminar editor Malaysia di hotel Lagend pada 24 hingga 25 april ini. Seminar ini akan menampilkan tokoh-tokoh terkemuka dalam bidang penulisan editorial. Antara pembentang dalam seminar ini termasuklah Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd serta penasihat PTS, Prof. Abdullah Hassan selain menjemput sasterawa negara dalam seminar ini.

PEM membuka keahlian kepada semua editor sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam proses penerbitan media cetak, media elektronik dan media baharu. Kategori keahlian ialah individu, ahli seumur hidup dan ahli bersekutu koporat serta ahli institusi. Layari www.editormalaysia.com bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai PEM.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025