Artikel

Petikan Media: 5,000 Membaca ‘di Awan’

oleh Harian Metro pada 05 Dec 2012

Petikan berita dari Harian Metro yang disiarkan pada 1 Disember 2012.

KUALA LUMPUR: Seramai 5,000 peminat buku dijangka berkumpul untuk membaca buku sempena program Membaca Setinggi Awan di Menara Kuala Lumpur (MKL) bermula semalam hingga hari ini.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media , Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Jamaluddin Abd Rashid berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan padu kepada kempen membaca anjuran kerajaan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan membaca.

“Walaupun bermula dengan membaca majalah, ia suatu yang positif kerana minat itu boleh berkembang untuk mereka mendapatkan bahan bacaan ilmiah.

Sokongan orang ramai terhadap kempen ini boleh meningkatkan industri penerbitan Malaysia dengan lebih banyak pengeluaran buku sebagai rujukan terutama kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang rata-ratanya remaja serta kanak-kanak sekolah,” katanya selepas pelancaran Fiesta Seronoknya Cuti! di sini, Semalam.

Menurutnya, program yang pertama kali diadakan mencipta sejarah tersendiri apabila lebih 500 peserta membaca buku serentak pada ketinggian 288 meter sambil melihat panorama ibu kota dari menara itu.

Katanya, jalinan kerjasama penganjuran pihak penerbitan dengan university akan memberi peluang kepada pelajar untuk bergiat secara lansung dengan industry percetakan secara lebih dekat bagi pendedahan langsung berkenaan realitinya.

Pengerusi PTS Media Group Sdn Bhd (PTS), Ainon Mohd berkata, pengunjung diberikan sijil penyertaan disamping menikmati promosi menarik harga tiket ke pelantar pemerhati MKL dengan haraga serendah RM10 berbanding harga asal.

“Ia peluang terbaik untuk penjaga membawa anak mereka ke sini di samping dapat meningkatkan minat membaca kepada mereka dengan pelbagai aktiviti menarik yang akan dijalankan di sini selama tiga hari.

“Pengunjung berpeluang mendapatkan potongan harga bagi buku keluaran PTS sejajar dengan misi kami ‘memandaikan bangsa melalui buku yang menggunakan Bahasa Melayu Tinggi’,” katanya.   

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024