Artikel
Plagiarisme Bawa Penulis Ke Mahkamah
oleh Roziyah pada 01 Mar 2011
Seorang penulis terkenal berhadapan dengan tuduhan plagiarisme apabila beliau dituduh memplagiat 100 halaman daripada 258 halaman buku Along With Youth: Hemingway, The Early karya penulis Amarika, Peter Griffin.
Patrick Poivre d'Arvor yang juga dikenali sebagai PPDA didakwa memasukkan halaman yang diplagiat dan dijadikan sebagai sebahagian daripada manuskrip bukunya yang bertajuk Hemingway, la vie jusqu'q l'exes.
Buku yang dijadualkan terbit pada 17 Januari lalu itu ditangguhkan penerbitannya apabila akhbar mingguan Perancis, 'L'Express membongkar skandal plagiat yang memalukan itu.
L'Express mendedahkan salinan asal buku Griffin bersebelahan dengan manuskrip PPDA yang menunjukkan deskripsi serupa bagi menjelaskan perihal rawatan dan pembedahan yang dialami oleh Hemingway akibat luka ditembak.
Penulis Perancis itu seakan-akan tidak mampu menepis dakwaan terbabit apabila penerangan PPDA mengenai bau antiseptik dan darah di klinik hinggalah kepada watak doktor berbangsa Itali yang menawarkan Hemingway meminum cognac - sejenis wain sebagai antiseptik, juga serupa.
PPDA bagaimanapun menafikan wujudnya plagiarisme, sebaliknya dia tidak menafikan menjadikan buku Griffin itu sebagai rujukan, selain menyifatkan tuduhan itu adalah satu kesilapan kerana dia menghabiskan masa selama setahun untuk membuat penyelidikan.
"Hanya tiga kesalahan, fail yang berkecamuk, tidak membaca pruf yang dihantar editor dan tidak membuka salinan buku yang dihantar," katanya.
Kes terbaru ini sebenarnya menambahkan lagi catatan hitam dalam resume PPDA yang sebelum ini, didapati bersalah memalsukan temubual dengan pemimpin Cuba, Fidel Castro dan mendakwanya sebagai 'berita ekslusif, sedangkan apa yang dilakukan memanipulasikan rakaman sidang akhbar pemimpin itu.
The New York Times, Francenews 24 & timesonline turut mendedahkan, PPDA juga pernah didenda dan dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Perancis kerana menerima hadiah dan cenderamata daripada ahli perniagaan yang berkepentingan.
Syarikat penerbitannya, Atrhaud mendakwa 100 halaman daripada buku Griffin yang terkandung dalam manuskrip PPDA adalah 'draft akhir yang belum diputuskan' yang didedahkan secara tidak sengaja pada Disember lalu, manakala penerbitnya, Oxford University Press, akan melakukan siasatan dan akan mengambil tindakan selepas itu.
Tidak lama selepas skandal plagiat berkenaan, PPDA berhadapan dengan saman oleh bekas kekasihnya Agathe Borne, kerana memplagiat surat-suratnya dengan menerbitkannya sebagai sebahagian daripada isi kandungan novel PPDA yang terbit pada 2009, dan tuduhan itu menyebabkan penulis Perancis itu diheret ke mahkamah, baru-baru ini.
Undang-undang Hak Cipta di Perancis atau disebut ' droit d'auteur' mencatatkan jika didapati bersalah, penalti 300,000 euro (RM1.2juta) akan dikenakan dan penjara tiga tahun, manakala kesalahan secara berkumpulan akan menyebabkan pelakunya didenda 500,000 euro (RM2.07juta) dan penjara lima tahun.
Bagi kes PPDA, tindakan undang-undang mungkin dibuat di Amerika Syarikat dan mengikut undang-undang negara itu, kesalahan plagiat menyebabkan pesalah didenda tidak lebih 500,000 dolar US (RM1.5juta) atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duannya untuk kesalahan pertama atau denda tidak melebihi 1 juta dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berulang.
Perancis adalah negara yang menerima pakai Konvensyen Berne bagi Perlindungan Karya Sastera dan Seni 1886, selain kesedaran masyarakat di Eropah berkaitan dengan isu plagiarism sangat tinggi berbanding di Malaysia, tetapi hal terbabit tetap berlaku.
Tidak ramai penulis Malaysia yang berjuang di mahkamah apabila karya mereka diplagiat, meskipun kes plagiat karya kreatif seperti cerpen kerap berlaku, malahan sorotan Akta Hak Cipta 1987 menunjukkan hanya satu peruntukan dalam seksyen 36 (1) berhubung perkara terbabit.
Akta itu antara lain menyebut bahawa pelanggaran hak cipta terjadi apabila seseorang yang tidak memegang hak cipta melakukan atau menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang perlakuannya dikawal oleh hak cipta di bawah akta itu.
Seksyen 41 Akta Hakcipta 1987 pula menggariskan mereka yang melakukan plagiarisme boleh didenda tidak melebihi RM10,000 setiap salinan langgaran atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali (bagi kesalahan pertama).
Walaupun termaktub demikian, kedua-duanya kelihatan sangat longgar, apatah lagi jika dibandingkan dengan penalti kesalahan cetak rompak yang terkandung dalam akta sama, mengenakan denda minimum RM2,000 dan satu denda maksimum RM20,000 bagi setiap salinan.
Di bawah seksyen yang sama, turut menggariskan mereka yang melakukan muat turun daripada internet secara haram boleh dikenakan penalti lebih tinggi dengan denda tidak lebih daripada RM250,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun.
---Sumber http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Plagiarismeisusejagat/Article---