Artikel

Polisi dan inisiatif terhadap industri buku perlu dimurnikan lagi

oleh Aisha Nizam pada 07 Feb 2023

Shah Alam, 4 Februari 2023 - Baru-baru ini telah berlangsungnya sebuah Program Krafikir yang bertajuk Buku Kita: Nak Ke Mana Sebenarnya?, yang membicarakan dan mengangkat isu-isu berkaitan dunia penerbitan buku. Sesi forum ini telah berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf sempena Jualan Gudang Karangkraf 2023, menampilkan Pengurus Besar Penerbitan PTS Media Group Sdn Bhd, Mohd Ikram Mohammad Nor Wazir dan Ketua Pegawai Eksekutif Iman Publication, Fatin Syamimy Liana Badaruddin dan Izzat Izahar, Ketua Pegawai Operasi Grup Karangkraf sebagai panelis. Azzah Abdul Rahman sebagai moderator.


Antara isu yang dikupas adalah cadangan agar Pihak Kerajaan menurunkan kadar cukai kertas untuk mengimbangi semula dunia penerbitan buku di Malaysia. Menurut Izzat Izahar, kini syarikat penerbitan sedang menghadapi masalah kos percetakan yang sangat tinggi. Ulas beliau lagi, jika Pihak Kerajaan dapat mempertimbangkan usaha ini, industri buku di negara ini akan turut berkembang.

Tambahan pula, menurut Mohd Ikram Mohammad Nor Wazir, jika kerajaan mengurangkan kadar cukai, ia akan memberi impak positif terhadap industri buku dan syarikat-syarikat penerbitan kerana dapat mengukuhkan kos kewangan mereka. Selain daripada inisiatif ini,  beliau juga turut mengusulkan satu pelaksanaan polisi untuk meningkatkan tahap pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelaksanaan atau idea tersebut tidak memerlukan sebarang kos. Misalnya, seperti polisi kerajaan menggalakkan pemakaian batik pada setiap hari Khamis, Kerajaan juga boleh mempertimbangkan idea atau polisi baharu terhadap industri buku untuk dilaksanakan secara berkesan kerana terdapat sebuah polisi yang menyokong idea tersebut.

Fatin Syamimy Liana Badaruddin pula berkata, kerajaan perlu mewujudkan semula kempen-kempen membaca yang pernah dilakukan dan diamalkan sebelum ini bagi meningkatkan tahap pembacaan rakyat khususnya dalam kalangan anak muda. “Saya berpandangan sebagai sebuah entiti bisnes, kita tidak boleh ambil peranan mendidik rakyat sebab kita dalam bahagian perniagaan. Jadi kerajaan perlu wujudkan permintaan ini, bagaimana nak pastikan buku dekat dengan rakyat”.


Jika aspek ini dapat dilaksanakan dengan efektif, maka permintaan terhadap buku akan meningkat dan akan lebih banyak buku diterbitkan. Secara tidak langsung, ia akan memberi dampak yang meyakinkan terhadap industri buku.



Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024