Artikel

Rumusan Matematik dalam bahasa Melayu lebih mudah

oleh Helmi pada 22 Oct 2004

SAYA tertarik membaca masalah ibu risau Saishah (19 Oktober, 2004) dan juga Anak Watan, mengenai isu penguasaan bahasa Inggeris dan usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Sebelum ini saya juga diberitahu banyak ibu bapa berdepan dengan masalah anak mereka yang gagal menguasai pengajaran matematik disampaikan dalam bahasa Inggeris. Tentunya Saishah adalah ibu prihatin yang sentiasa sama-sama menyemak pelajaran anaknya di sekolah.

Jika anaknya di bandar pun sudah agak teruk, apatah lagi murid di luar bandar atau di kampung. Dan jika matematik yang tidak banyak menggunakan ayat kecuali soalan berayat, tentulah lebih teruk lagi bagi mata pelajaran sains yang lebih banyak perlu menerangkan mengenai kejadian, eksperimen dan sebagainya.

Secara mudah apa yang saya faham walaupun tidak bersekolah tinggi, bahasa apa pun atau perkataan berkaitan dengan dua perkara iaitu istilah dan konsep atau proses. Untuk memahami istilah mungkin tidak susah.

Tetapi bagi konsep atau proses, perlu difahami betul-betul apa maksudnya, apa yang berlaku, dan setelah difahami barulah dapat diterangkan konsep dan proses itu. Untuk memahaminya tentunya lebih mudah dalam bahasa yang difahami oleh kanak-kanak atau pelajar itu sendiri iaitu bahasa Melayu yang telah digunakan selama ini berbanding bahasa Inggeris.

Bahasa pun baru nak belajar, konsep dan proses pun nak difahami serentak tentulah menyukarkan mereka. Kata-kata ibu risau iaitu “bangsa lain maju bukan kerana bahasa Inggeris yang digunakan, tetapi kerana kesungguhan dan komitmen terhadap pendidikan yang menyeluruh” tepat sekali.

Saranannya agar pandangan golongan berilmu khususnya ahli bahasa dan pakar pendidikan tidak diketepikan demi memajukan bangsa, di samping pemimpin pula tidak mementingkan diri sendiri perlu direnung.

Lihatlah bangsa Jerman, Perancis, Jepun, Korea dan China misalnya, mereka maju bukan kerana bahasa Inggeris tetapi kerana komitmen mereka di samping menggunakan bahasa sendiri.

Oleh itu saya cadangkan eloklah Matematik dan Sains diajar kembali dalam bahasa Melayu sebelum terlambat dan beribu-ribu anak kita seperti kata ibu risau “satu generasi kecundang dan patah semangat”.

Seperti kata anak watan, kembalilah ke pangkal jalan. Tiada ruginya. Bahan Sains dan Matematik yang telah ada tidak rugi dan boleh digunakan dalam pelajaran bahasa Inggeris yang sebenarnya.

Biarlah guru bahasa Inggeris dan ‘bahasa Inggeris’ yang bertungkus-lumus menebus kelemahan pelajar selama ini. Pelajar kita yang ke Jerman, Perancis, Jepun, Korea pun mahir berbahasa dalam masa yang tidak begitu lama.

Jika tidak nampaknya semakin cemburulah guru lain kepada guru bahasa Inggeris dengan bayaran elaun lebih sedangkan berbelas tahun pelajar tak pandai-pandai juga.

ORANG KAMPUNG,
Sungai Petani, Kedah.

<http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Rencana/20041020001306/Article/>

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024