Artikel

Produk Komik-M Makin Bertambah

oleh Roziyah pada 14 Jul 2010

PTS mula aktif dalam menambahkan produk untuk komik-M yang kini mendapat sambutan yang memberangsangkan dari pembaca di Malaysia.

Menurut Tuan Alif Firdaus Azis, Editor untuk Komik-M berkata akan wujud lebih banyak pertambahan produk hasil daripada kerjasama dengan anak-anak syarikat PTS yang lain.

Beliau berkata antara buku yang bakal dijadikan komik termasuklah buku motivasi, buku sastera dan novel.

“Kita telah komikkan Dear Yayah dan sambuatannya juga menggalakan. Selepas ini kita juga merancang untuk mempelbagaikan genre dalam komik-M ini.

Tuan Alif berkata, pihak editorial telah menumpukan kepada komik yang berbentuk motivasi contohnya seperti Misi 8A.

“Kita juga akan menambah tenaga kerja yang berkemahiran dan berpengalaman dalam menghasilkan komik.

“Dengan adanya tenaga kerja baharu yang berpengalaman ini akan menguatkan lagi kualiti komik yang ada,” kata beliau lagi.

Tuan Alif berkata, pihak editorial amat teliti dalam menilai manuskrip yang sampai ke meja editorial kerana walaupun menghasilkan komik namun pihak editorial menekankan komik-M yang dihasilkan haruslah mempunyai identiti dan kesopanannya.

“Walaupun kita menghasilkan komik namun jalan ceritanya tetap dijaga sesuai dengan matlamat dan dasar syarikat. Namun dalam masa yang sama kita juga memastikan isi ceritanya menarik,” jelas beliau.

Bagi Tuan Alif, komik ini lebih dekat dengan pembaca kerana suasana ceritanya lebih berkaitan dengan persekitaran di Malaysia.

Tuan Alif yakin Komik-M yang perlu dijaga kualitinya dan mempunyai identiti yang tersendiri mampu menarik minat pembaca komik di Malaysia kerana jalan ceritanya yang lebih dekat dengan suasana di Malaysia.

Menurut Alif juga, Komik-M akan menampilkan kelainannya pada hujung tahun ini.

“Komik M akan mencipta kelainan pada hujung tahun ini dan pastinya ia akan mengujakan peminat-peminat komik di Malaysia. Nantikan,” ujar Tuan Alif teruja.

Bagi yang berminat untuk menghantar manuskrip boleh terus menghubungi Tuan Alif Firdaus di wanzu @pts.com.my.

Selain itu, peminat komik juga boleh mengikuti aktiviti dan perkembangan komik-M melalui Facebook Komik-M.

“Facebook Komik-M juga telah mencipta peminat-peminat yang taksub kepada Komik Malaysia. Ramai antara mereka yang aktif dan memberi maklumat mengenai komik-M di Facebook Komik-M,” jelas beliau lagi.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024