Artikel
Siapa Fasilitator?
oleh Helmi pada 27 Aug 2004
Fasilitator atau pemudah cara adalah seorang insan yang istimewa yang diberi kepercayaan dan tanggungjawab menjalankan tugasnya dengan rajin dan amanah. Keprihatinannya juga sangat tinggi. Dia memerhati dan menganalisis setiap perbuatan dan tingkah laku ahli kumpulannya. Dia mampu berinteraksi dengan baik dan berfikiran terbuka dan peka terhadap sebarang perubahan peribadi dan reaksi. Dia pandai melayan kumpulannya. Melalui air mukanya dan gayanya dia sentiasa menggalakkan kliennya supaya terus bercerita dengan cara bersahaja.
‘Pemudah cara atau fasilitator bermaksud menjadikan sesuatu supaya jadi mudah. Memudah cara juga bermaksud menggalakkan individu lain berusaha dan mengawal bagi mencapai sesuatu. Proses memudah cara memerlukan kemahiran kepemimpinan dalam pencerapan klinikal, menimbulkan persoalan, bertindak, membuat ulang kaji, menerima pakai pendapat dan menganalisis maklumat.’ (Hashim Fauzy: 2000).
Pemudah cara atau fasilitator akan bertindak sebagai pemangkin dalam proses kumpulan LDK. Dia menjadi penggerak, merangsang dan mendorong kumpulan yang ditanganinya. Sesiapa pun boleh menjadi seorang fasilitator asal saja dia komited dengan tugasnya. Umur atau usia bukan ukuran, begitu juga dengan jantina dan kelulusannya. Perkara yang penting ialah, seorang fasilitator sudah dilatih dengan selok-belok kefasilitatoran. Terdapat ramai fasilitator lelaki dan wanita yang baik. Ciri-ciri sebagai seorang fasilitator yang berkesan harus dimiliki oleh seorang fasilitator yang berwibawa.