Artikel
PTS Beri Sokongan Penuh Program Adik-Adikku Musim Kedua
oleh Roziyah pada 03 Dec 2010
Rancangan 'Adik-Adikku" telah mencetuskan fenomena baru dalam dunia penerbitan program realiti TV tempatan. Program yang mencatatkan jumlah hampir sejuta penonton ini meletakkan 'Adik-Adikku" sebagai program paling popular di TV1 bagi minggu ke 11, 2010. Jakim dengan kerjasama RTM kini meneruskan pencarian bakat "Adik-Adikku" bagi musim kedua.
Program ini dilihat sebagai program alternatif kepada kanak-kanak yang tidak berkonsepkan hiburan semata-mata. Ia terbukti mampu mencungkil bakat, karisma, kepimpinan dan membentuk keyakinan diri peserta melalui persembahan mereka di atas pentas.
PTS selaku penerbit yang aktif menghasilkan buku bagi memandaikan bangsa menyokong penuh usaha RTM dan JAKIM dalam melahirkan generasi yang berkualiti.
PTS yang diwakili oleh pengurus pemasarannya, Puan Nor Hazizam Abdul Rahman turut hadir dalam majlis pelancaran rancangan realiti "Adik-Adikku" musim ke-2 pada 27 November lalu.
Melalui majlis itu, PTS turut menyumbangkan sejumlah buku kepada peserta-peserta yang menyertai program realiti "Adik-Adikku" ini.
Menurut Puan Nor Hazizam, PTS menyumbangkan buku kepada 16 peserta yang terpilih menyertai program realiti "Adik-Adikku" ini. Selain itu, PTS juga memberikan sumbangan istimewa khas kepada 7 orang pelajar daripada program "Adik-Adikku" ini yang mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR lalu.
Bagi program kali ini, peserta yang terpilih ke Akademi Adik-adikku di Institusi Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi bermula 27 November 2010 hingga 25 Disember 2010. Mereka akan dikumpulkan selama hampir sebulan dengan kelengkapan penuh dan wajib mengikuti kelas pembelajaran melalui kurikulum yang diwajibkan sehingga mereka mampu lahir sebagai pemimpin kecil. Hasil ujiba di 14 lokasi seluruh negara, seramai 16 orang peserta yang berbakat dipilih sebagai "Adik-Adikku" musim kedua ini.