Artikel

PTS Jalin Kerjasama Dengan Lembaga Zakat Selangor

oleh Roziyah pada 02 Dec 2010

Sebagai sebuah syarikat penerbitan yang mengamalkan dasar syariah compliant, PTS mengambil langkah menjalin kerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Unit Majikan Swasta, Tuan Mohamed Syahril Haji Zainol berkata, melalui kerjasama yang dijalankan antara PTS dengan pihak LZS, pembayaran zakat melalui potongan gaji dilaksanakan. Selain itu, PTS juga membayar zakat syarikat kepada LZS.
"Bagi memberi maklumat lengkap kepada pembayar zakat, pihak LZS sering mengadakan aktiviti bersama dengan pembayar zakat agar pihak pembayar zakat dapat mengetahui secara jelas ke mana perginya aliran zakat yang telah dibayar," jelas Tuan Syahril.

Terbaru pihak LZS mengadakan program Ziarah Asnaf bersama Koporat dan Media kali ke 2 (ZIKRA 2) yang mengeratkan hubungan di antara pihak mesia, para pembayar dan LZS.

Melalui program yang dianjurkan ini, para peserta akan diberi pendedahan berkenaan aktiviti-aktiviti agihan yang dilaksanakan oleh LZS dengan membawa para peserta ke beberapa lokasi projek asnaf yang mendapat pembiayaan LZS seperti Perkampungan Asnaf (Desa Kasih), Pusat Dialisis LZS, Baitul Hasanah, Darul Salamah dan sebagainya.

Selain itu, LZS juga membuka peluang kepada mana-mana pihak samada individu, NGO ataupun syarikat yang ingin melakukan sebarang sumbangan antaranya buku yang boleh diletakkan diperpustakaan dan diberikan kepada mereka yang memerlukan.

PTS juga tidak melepaskan peluang menyediakan sejumlah buku dalam program ZIKRA 2 ini yang akan diletakkan di Perpustakaan Desa, Sungai Nibong.

Tuan Syahril yang datang sendiri ke ibu pejabat PTS berbesar hati menerima sejumlah buku sumbangan PTS khas untuk program ZIKRA 2.

Beliau juga mengambil kesempatan dengan menyeru kaum muslimin dan muslimat agar menunaikan zakat ke LZS apabila cukup syaratnya.

"Pembayaran boleh dilaksanakan menerusi pelbagai jenis kemudahan zakat baik melalui skim potongan gaji melalui 23 buah kaunter seluruh Selangor," ujar beliau.

Sebarang maklumat boleh menghubungi LZS melalui www.e-zakat.com.my atau menghubungi terus ke 03-55227777. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan maklumat daripada facebook LZS di Lembaga Zakat Selangor.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025