Artikel
PTS Fortuna Anjurkan Bengkel Sastera Pahlawan, Cari Bakat Baru
oleh Roziyah pada 29 Jul 2010
PTS Fortuna bakal mengadakan bengkel kepada penulis-penulis yang berminat menghasilkan karya genre sastera pahlawan.
Menurut Pengurus PTS Fortuna Sdn Bhd, Tuan Faizal Mukhtar, bengkel yang diadakan pada 31 Julai ini bertujuan mendedahkan dan memberi penerangan kepada bakal penulis tentang rasional mewujudkan buku berkaitan sastera kepahlawanan ini.
Pengurus PTS Fortuna Sdn Bhd, Tuan Faizal Mukhtar
"Melalui bengkel tersebut, kita akan mendedahkan kepada persuratan dunia Melayu tentang pentingnya cereka-cereka kepahlawanan ini," jelas Tuan Faizal.
Tuan Faizal berkata, bengkel ini juga bakal menerangkan perjuangan PTS Fortuna bagi separa masa tahun 2010 hingga 2011.
"Diharapkan dengan perkenalan genre Sastera Kepahlawanan di bawah PTS Fortuna, kita dapat secara langsung memartabatkan cereka-cereka sejarah yang diperkayakan unsur-unsur keperwiraan sejagat.
"Hal ini kerana maruah sesebuah ras atau bangsa itu terletak pada khazanah serta bahan sejarahnya yang kuat.
"Di bumi Nusantara yang bertuah dan perkasa ini, ternyata kita mempunyai nilai-nilai dan kualiti tersebut," jelas Tuan Faizal lanjut.
Bengkel tersebut akan dikendalikan oleh Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd dan Tuan Faizal Mukhtar sendiri.
Tuan dan Puan yang berminat menghasilkan karya penulisan sastera kepahlawanan ini dijemput menghadiri bengkel Penulisan Sastera Pahlawan yang diadakan di Bilik Latihan, Ibu Pejabat PTS, Dolomite Business Park, Batu Caves, Kuala Lumpur pada 31 Julai ini dari jam 10 pagi hingga 12 tengahari.