Artikel
PTS Media Group: 25 Tahun Mencorak Landskap Literasi Malaysia
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 01 Jan 2025
Tahun 2025 menjadi tahun yang bermakna bagi PTS Media Group. Di balik saat meraikan ulang tahun ke-25, pasukan kami turut memanjatkan rasa syukur dan bangga di atas perjalanan panjang yang telah dilalui sehingga kini. Bermula dengan visi sederhana untuk menerbitkan buku-buku berkualiti yang mendidik dan menginspirasi, kini PTS telah menjadi nama yang sinonim dengan kualiti, inovasi, dan dedikasi dalam industri penerbitan Malaysia.
Masih terpahat di fikiran ketika hari pertama PTS mengorak langkahnya ke dalam dunia perbukuan dan penerbitan yang penuh dengan cabaran, tetapi juga penuh dengan potensi. Penerbitan buku bukan sekadar perniagaan,namun sebuah perjuangan kepada bangsa. Perjuangan untuk memastikan setiap individu di Malaysia mendapat akses kepada ilmu, cerita, dan panduan hidup yang mampu mencetuskan perubahan ke arah kehidupan yang positif.
Dalam tempoh 25 tahun ini, kami melihat sendiri bagaimana PTS berkembang dan berproses—daripada hanya sebuah syarikat kecil sehingga menjadi sebuah kumpulan yang mempelopori industri penerbitan di Malaysia. PTS juga berjaya membawa karya-karya tempatan ke tahap yang lebih tinggi, memupuk bakat penulis baharu, dan memberikan peluang kepada pembaca untuk menikmati hasil kreativiti anak bangsa.
Namun, kejayaan ini bukan hanya milik kami sahaja. Ia adalah hasil kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh pembaca, penulis, dan rakan kongsi sepanjang perjalanan 25 tahun ini. Ketika kita melangkah ke masa depan, matlamat kami adalah untuk terus memacu perubahan positif dalam industri buku dan literasi. Kami percaya bahawa buku adalah jambatan kepada ilmu, harapan, dan masa depan yang lebih cerah. Oleh itu, PTS akan terus menjadi peneraju dalam menyediakan bahan bacaan yang bukan sahaja relevan tetapi juga meninggalkan impak yang berkekalan.
Sempena ulang tahun ke-25 ini, pasukan PTS Media Group ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah bersama-sama menyokong usaha kami sehingga detik ini—penulis, editor, pembaca, pencetak, dan seluruh ekosistem penerbitan. Anda semua adalah nadi kepada kejayaan PTS.
Selamat ulang tahun ke-25, PTS Media Group. Kita telah melakar sejarah bersama, dan kami yakin perjalanan ini masih jauh daripada selesai. Bersama-sama kita berjuang untuk memandaikan bangsa dan melakar kejayaan yang lebih besar dalam dunia penerbitan.