Artikel
PTS Mengiklankan Buku-Bukunya dalam Akhbar Sin Chew Jit Poh
oleh Roziyah pada 03 Dec 2010
Artikel dipetik daripada http://universitipts.com/
Foto menunjukkan iklan PTS yang disiarkan dalam akhbar Cina terbesar, Sin Chew Jit Poh.
Akhbar itu dicetak 400,000 naskhah setiap hari. Pada hujung minggu ia dicetak 450,000 naskhah, menjadikannya akhbar Cina paling besar dan amat berpengaruh di negara ini.
Walaupun yuran iklan dalam Sin Chew Jit Poh amat mahal tetapi akhbar itu diedarkan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. Sekolah-sekolah Cina juga melanggan akhbar itu. Inilah faktor yang menjadi asas PTS memilih Sin Chew Jit Poh.
Sin Chew Jit Poh juga menerbitkan 2 akhbar pendidikan, satu khusus untuk sekolah rendah, dan satu lagi untuk sekolah menengah.
Puan Nor Hazizam Abd. Rahman (foto), pengurus jabatan marketing PTS memberitahu, selepas ini, PTS akan membeli ruang iklan dalam akhbar pendidikan SCJP.
Menurut Puan Nor, jabatan beliau mempunyai bajet RM250,000 bagi aktiviti promosi dalam media Cina.
Matlamat jabatan beliau adalah mendapatkan keyakinan ibu bapa dan guru-guru Cina supaya menggunakan buku kanak-kanak dan remaja PTS sebagai alat bantu belajar menguasai subjek Bahasa Melayu. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku-buku PTS yang menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT).
Promosi dalam Sin Chew Jit Poh akan dijalankan dalam 2 fasa:
FASA 1: Kempen kesedaran brand (brand awareness).
Dalam fasa ini tema kempen adalah memperkenalkan brand "PTS" sebagai penerbit buku terbaik yang semua produknya adalah sesuai dengan keperluan pendidikan pelajar-pelajar Cina.
FASA 2: Kempen kesedaran produk (product awareness).
Dalam fasa ini barulah nanti (a) judul-judul buku PTS dan (b) nama-nama pengarang PTS, mula diperkenalkan kepada pembeli buku kaum Cina.
Puan Nor Hazizam meminta supaya penulis-penulis buku PTS menghasilkan cerita-cerita yang disukai oleh pelajar-pelajar dan remaja Cina. Beliau juga meminta supaya para pelukis ilustrasi PTS menghasilkan lukisan-lukisan dan wajah-wajah yang neutral-bangsa, yakni yang dapat diterima oleh semua bangsa dan kaum.