Artikel

PTS @ PBAKL 2022

oleh Farah Liana Nordin pada 05 Jul 2022

Masih jelas terasa kemeriahan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang berlangsung pada 3 hingga 12 Jun 2022 baru-baru ini. Baik pengunjung mahupun pempamer, kedua-duanya teruja dengan penganjuran pesta buku kali ini. Manakan tidak, setelah penangguhan demi penangguhan, pesta buku terbesar negara ini kembali diadakan secara fizikal, juga menerusi platform secara dalam talian. Umpama syurga dunia bagi pencinta buku, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menjadi pusat yang mengumpulkan pelbagai genre buku untuk semua golongan bermula daripada kanak-kanak sehingga ke dewasa.

Bagi rumah penerbitan PTS sendiri, kami berada di 3 lokasi berbeza sepanjang PBAKL 2022 berlangsung yang melibatkan 25 buah reruai iaitu Pavilion PTS yang bertempat di Dewan Tun Razak 4, Geng Buku PTS yang bertempat di ruang legar Dewan Tun Razak 3 dan PTS Bookcafe yang bertempat di ruang legar Dewan Tun Hussein Onn. Semua koleksi buku ditawarkan dengan potongan harga bermula 15% sehingga 50% dan ada juga yang berharga hanya RM1 sehingga RM5. Kami turut menawarkan pakej kombo di mana pelanggan boleh mendapatkan koleksi buku kegemaran mereka dengan harga yang lebih jimat.

Meskipun ramai yang menjangkakan penganjuran PBAKL kali ini suram ekoran kebimbangan terhadap penularan Covid-19 namun ia meleset sama sekali bahkan sambutan yang diterima adalah di luar jangkaan. Buktinya, hampir setiap hari kami menambah stok buku di rak pameran dari gudang malah terdapat koleksi buku yang kehabisan stok seperti Puteri Naga Tiberius dan Making Art Out of Pain. Meskipun ada yang sedikit hampa kerana tidak memperoleh buku idaman mereka namun kami memastikan setiap pelanggan yang keluar daripada reruai PTS membawa pulang bersama hadiah percuma seperti penanda buku, kalendar dan banyak lagi.

Selain tawaran potongan harga dan hadiah percuma, kehadiran maskot Book Heist yang diambil daripada drama bersiri Money Heist turut menjadi tarikan bagi pengunjung untuk mengunjungi reruai PTS. Dalam kesibukan menjamu mata melihat koleksi buku-buku di rak pameran, pengunjung tidak melepaskan peluang untuk merakamkan memori bersama maskot PTS ini. Bukan sahaja kanak-kanak malah orang dewasa juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama. Pelbagai ragam dan aksi dirakam serta dikongsikan bersama.

Kehadiran para penulis seperti Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi, Sabrina Ismail, Dr. Saraiza Abu Bakar, Sri Rahayu Mohd Yusop, dan pekomik seperti Ben Wong, Haziq Ajar dan ramai lagi ke reruai PTS menjadi sorotan utama dan dinanti-nantikan oleh peminat yang selama ini hanya mengikuti penulis dan pekomik kegemaran mereka melalui penulisan dan lukisan sahaja. Penganjuran pesta buku ini memberi peluang kepada mereka untuk bertemu secara empat mata, beramah mesra, mengambil tandatangan dan tidak lupa juga merakamkan gambar kenangan bersama.

Acara pentas utama juga tidak kurang meriahnya. Penampilan barisan penulis dan moderator hebat seperti ustazah Asma’ Harun, ustazah Muzayyanah, Dr. Atiyah Azmi, ustaz Ahmad Shukri Yusoff, Tuan Afyan Mat Rawi, Tuan Zamri Mohamad dan ramai lagi berjaya menarik ramai pengunjung untuk ikut serta dalam sesi perkongsian yang dijalankan. Acara pentas utama turut menyaksikan pelancaran buku baru terbit dan panas dari kilang iaitu Glow Inside & Out yang menduduki carta tertinggi jualan buku bukan fiksyen terbitan PTS Media Group.

PBAKL 2022 telah pun melabuhkan tirainya. Jutaan terima kasih diucapkan kepada pencinta buku yang hadir memeriahkan reruai PTS. Tanpa pembaca, tempanglah kami di rumah penerbitan kerana kalian merupakan pembakar semangat buat kami untuk terus menerbitkan lebih banyak lagi buku yang bermanfaat demi memandaikan bangsa. Selamat menikmati dan menelaah buku-buku yang diperoleh sepanjang pesta buku berlangsung dan semoga berjumpa lagi pada pesta buku yang akan datang.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024