Artikel

Puteh Press, Inspirasi Gaya Hidup

oleh Maisarah Hanim Afandi, Nadirah Hanis pada 13 Jul 2022

Gaya hidup bermaksud bagaimana kita seimbangkan rohani, jasmani, fizikal dan mental. Untuk menjadikan gaya hidup lebih baik dari semasa ke semasa, seseorang perlu mencari inspirasi untuk membantu melaksanakan perubahan tersebut. Kini, dapat kita lihat banyak buku yang bertemakan gaya hidup menjadi pilihan masyarakat moden. Ya, membaca demi inspirasi - trend terkini untuk seseorang mula membaca. Melalui pembacaan, pengetahuan mula bercambah dan membantu proses transformasi diri agar menjadi lebih baik.

Puteh Press menyajikan kepada anda buku-buku yang bertemakan gaya hidup seperti motivasi diri, bisnes, mitos berkaitan kesihatan, tip pengurusan rumah, agama, pengembaraan, penjagaan imej, dan hubungan sosial. Buku-buku ini secara langsung menyentuh pelbagai aspek kehidupan untuk membantu anda mencari jawapan kerana dunia ini tiada jaminan melainkan hanya satu peluang. Puteh Press adalah imprint di bawah Open Bridge Publications Sdn Bhd yang menerbitkan buku umum dalam bahasa Melayu dan Inggeris bagi khalayak pembaca belia antara usia 15 hingga 35 tahun.

Membaca Sambil Berhibur

Membaca sambil berhibur merupakan elemen utama Puteh Press untuk menerbitkan buku-buku gaya hidup yang mengetengahkan pengisian santai menggunakan bahasa Melayu tinggi. Huraian dan infografik menjadikan buku Puteh Press padat dengan ilmu dan membantu pembaca untuk lebih memahami konteks yang dibincangkan. Bacaan ringan ini menjadikan perkongsian gaya hidup lebih berkesan dan mudah untuk diterima pembaca.

Inspirasi Kulit Buku

Lumrah bagi manusia untuk tertarik dengan sesuatu yang cantik. Begitu juga dengan buku, kulit luaran buku merupakan faktor utama bagi menarik perhatian pembaca. Seiring dengan aspirasi menjadi inspirasi gaya hidup masyarakat Malaysia, Puteh Press memilih kulit buku yang menggunakan ilustrasi sederhana dan berwarna pastel. Warna pastel menjadi trend terkini dalam kehidupan moden. Serba-serbi semuanya menawarkan warna pastel sebagai pilihan. Jika kita melihat alam semula jadi di sekeliling kita, banyak warna-warna pastel yang memberikan ketenangan dengan kelembutan warnanya.

Berlandaskan Syariat

Perubahan gaya hidup perlu berlandaskan agama dan syariat. Untuk memastikan perkara itu, ilmu yang ditimba harus kita selusuri sumbernya. Oleh itu, Puteh Press mengambil inisiatif dengan menyelitkan potongan ayat suci Al-Quran dan hadith sebagai rujukan sahih dalam buku-buku yang diterbitkan. Ini menguatkan lagi hujah yang dikemukakan oleh penulis. Janganlah kita lupa bahawa agama sebenarnya menjadi kunci cara hidup sempurna kerana meliputi seluruh aspek kehidupan manusia baik daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara.

Solusi Dalam Kehidupan

Bukankah buku mampu mengubah karakter dan corak pemikiran individu? Sebelum ini, jika diri ditimpa musibah, kita mungkin buntu mencari solusinya. Ada waktu mungkin kita gagal mengawal emosi dan kurang pertimbangan. Keadaan menjadi lebih teruk. Kendatipun, semuanya berubah setelah kita lebih banyak membaca buku. Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk. Ilmu yang diperolehi menjadi pembimbing untuk kita ubah gaya hidup kita menjadi lebih baik dan tempiasnya juga kepada orang sekeliling.

Terlaris di Pasaran

Jika anda sedar, buku-buku Puteh Press sering menduduki tangga teratas dalam carta buku terlaris di kedai-kedai buku seperti MPH, SMO, Bookcafe dan lain-lain. Buku-buku yang terlaris antaranya Minimalis, Making Art Out of Pain, The Art of Storytelling, The Art of Copywriting, Don’t Worry Allah Lebih Tahu Yang Terbaik, dan banyak lagi. Judul-judul terbitan Puteh Press seringkali menjadi pilihan pembaca kerana tema-temanya terkait dengan gaya hidup masyarakat zaman kini yang dapat menjadi solusi kepada permasalahan dan rasa ingin tahu yang dihadapi.

Mulakan langkah anda mencari inspirasi gaya hidup dengan membaca. Mulakan langkah kecil ini bersama buku-buku Puteh Press. Pembacaan yang berkesan adalah apabila idea daripada buku meresap ke dalam jiwa pembaca dan seterusnya dapat mempengaruhi perilaku pembaca. “Membeli buku adalah suatu pelaburan yang bijak; tidak rugi jika menghabiskan duit untuk membeli buku yang dapat menerangi jiwa dan memberi manfaat kepada diri kita sendiri.

Oleh yang demikian, gunakan masa yang ada untuk terus menggali ilmu kerana manusia memerlukan ilmu untuk membantu mereka menjadi lebih baik dan keluar dari kepompong masalah. Bacalah buku untuk mencari inspirasi hidup. Dapatkan buku-buku Puteh Press untuk inspirasi gaya hidup anda di kedai-kedai buku berhampiran, laman web bookcafe.com.my atau Shopee BukuPTS.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024