Artikel

Review Buku: Seni Berfikir Kreatif Untuk Bisnes dan Hidup

oleh Kakchik Asha pada 30 Jun 2022

“Pemikir yang hebat berbual mengenai idea. Pemikir sederhana membincangkan peristiwa. Pemikir kecil bercakap mengenai orang.” - Henry Thomas Buckle

Sudah lama sebenarnya saya selesai menelaah buku SENI BERFIKIR KREATIF UNTUK BISNES DAN HIDUP gabungan mantap dua persona yang sangat aku kagumi iaitu Puan Ainon Mohd dan Tuan Zamri Mohamad. Cuma mengambil sedikit masa untuk menyiapkan ulasan ketika itu kerana rasa ‘nervous’ yang bukan sedikit, risau ia tidak setanding dengan nilai sebenar buku ini.

Usai sahaja bacaan pada mukasurat terakhir aku terfikir alangkah bagusnya jika satu hari nanti aku mampu menghasilkan buku yang sangat baik seumpamanya.

Berapa ramai antara kita punya ilmu berfikir? Terus terang aku katakan, aku sendiri pernah beranggapan bahawa aku tidak punya kemahiran berfikir sama ada secara kreatif atau kritis.

Aku tolak setiap kali ada perkara yang memerlukan aku berfikir. Dahi sendiri sudah dicop ‘AKU TAK PANDAI FIKIR’. Dan ini telah menyebabkan keyakinan diri semakin hari semakin merudum.

Takut mahu melontarkan sebarang idea.

Takut dikatakan bodoh.

Takut yang entah apa-apa.

“Boleh jadi setiap orang di setiap ceruk bumi mempunyai rasa takut antara satu sama lain.” - John Steinbeck, Of Mice and Man

Dahulu aku selalu mencari alasan untuk membaca buku. Namun, ada satu kejadian yang menjadi ‘turning point’ atau titik perubahan dalam hidup, menjadi asbab aku mula paksa diri membaca.

Ya. Aku mula membaca buku dan aku mencari bahan bacaan yang sesuai terutamanya yang mendidik ilmu berfikir.

Sehinggalah sampai kepada buku ini yang mengubah terus perspektif terhadap SENI BERFIKIR dalam hidup. Baru aku tahu dan faham rupa-rupanya kita boleh belajar proses berfikir dengan betul. Belajar bertanya soalan yang betul dan kita akan mendapat jawapan yang kita perlukan.

Melalui buku ini aku belajar;

Beza antara kreatif dan kritis.

Membina yakin diri dalam proses berfikir.

Menanam benih idea.

Menguatkan prinsip berfikir.

Paling seronok, penulis ada masukkan juga ilmu gaya berfikir dalam Al Quran dan berfikir menggunakan enam jenis warna topi. Sangat menarik.

Bacaan yang santai, namun penuh dengan ilmu yang tidak ternilai harganya. Berkisarkan perbualan antara dua orang sahabat, seorang punya permasalahan bisnes manakala seorang lagi tidak lokek berkongsi ilmu.

Ilmu yang bukan untuk dipraktikkan dalam dunia bisnes semata-mata, malah lebih dari itu untuk kehidupan manusia seharian.

Sebenarnya membaca buku bisnes ini banyak membuat aku belajar menjadi manusia.

Buku ini akan aku simpan untuk generasi yang seterusnya iaitu anak-anak. Mereka wajib baca naskah seperti ini sebagai salah satu kompas asas hidup.

#seniberfikirkreatifuntukbisnesdanhidup

#NotaBukuKakchik

#TribeKakchik

#WeEatBooks

Sumber: Twitter @kakchikAshaKC

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024