Artikel

Rahim Terbalik

oleh Helmi pada 24 Nov 2004

Soalan
Saya mengalami senggugut yang agak teruk dan bahagian rahim saya sangat sakit. Berikutan itu, saya berjumpa doktor dan selepas diperiksa saya mendapat tahu rahim saya berkeadaan terbalik. Saya terkejut dengan berita itu dan ingin tahu bagai-mana keadaan ini boleh berlaku? Adakah ia mempunyai kesan sampingan? Selepas saya mengalami haid, rahim saya masih terasa sakit walaupun tempoh haid sudah tamat. Apakah puncanya dan apakah yang perlu saya lakukan?

Jawapan
Lazimnya, rahim yang normal terletak di dalam ruang pelvis dan tidak mungkin dapat dirasai semasa pemeriksaan perut dilakukan melainkan saiz rahim membesar melebihi saiz tiga bulan hamil. Rahim menjadi besar apabila wanita itu hamil ataupun mem-punyai ketumbuhan seperti fibroid.

Lazimnya, kedudukan rahim di dalam pelvis iaitu 80% adalah posisi anteversion iaitu rahim terletak di atas pundi kencing dan badan rahim mengunjuk ke hadapan. Sesetengah wanita iaitu kira-kira 20% mempunyai posisi retroversion atau terbalik, yang mana badan rahim menunjuk ke arah belakang iaitu ke arah usus besar. Posisi ini berlaku secara semula jadi bagi kebanyakan wanita dan tidak membawa sebarang kesan pada kemampuan untuk hamil ataupun melahirkan anak.

Sebaliknya, apabila retroversion ini berlaku disebabkan pe-nyakit seperti endometriosis ataupun jangkitan kuman, keadaan ini mungkin membawa kesan pada kemampuan untuk hamil. Dalam kes ini, senggugut yang dialami agak teruk dan berpanjangan. Ada kemungkinan ia disebabkan oleh penyakit endometriosis. Puan dinasihatkan berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Lazimnya, penyakit endometriosis ini dikesan apabila pemeriksaan laparoskopi dilakukan. Semasa pemeriksaan dilaku-kan, sejenis teropong dimasukkan melalui pusat wanita untuk melihat keadaan organ di dalam pelvis. Jika terdapat kumpulan ataupun tompokan darah pada bahagian pelvis dan pesakit mempunyai simptom, rawatan diberikan bagi menghilangkan tompokan darah pada pelvis.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024