Artikel

10 Buku Bukan Fiksyen PTS Terlaris Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022

oleh Farah Liana Nordin pada 28 Jun 2022

Alhamdulillah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 telah berlangsung dengan jayanya setelah dua tahun penangguhan. PTS Media Group telah menawarkan lebih 600 judul buku sepanjang 10 hari PBAKL berlangsung dan begitu banyak judul yang menjadi pilihan ramai sehingga diangkat menjadi buku-buku terlaris. Berikut merupakan 10 buah buku yang menduduki carta jualan tertinggi rumah penerbitan PTS bagi kategori buku bukan fiksyen.


1. Glow Inside & Out

Kebahagiaan dan kesejahteraan adalah sebuah nikmat dalam kehidupan yang sementara ini. Ia mengangkat beban di dada ketika kita mengharungi rintangan dan cabaran dalam perjalanan menuju destinasi abadi iaitu akhirat. Walaupun kebahagiaan dalam erti kata sebenar adalah anugerah daripada Pencipta, namun diri kita sendiri memainkan peranan dalam meningkatkan kesejahteraan diri.

Mengambil inspirasi daripada input saintifik, Psikologi Positif dan kefahaman daripada al-Quran dan Sunnah, Glow Inside & Out mempersembahkan kepada pembaca 10 langkah untuk meningkatkan kebahagiaan dan kesejahteraan diri sekaligus menyemarakkan cahaya dalam diri para pembaca.


2. Making Art Out of Pain

Kehidupan tidak selalu berjalan seperti apa yang kita inginkan namun kesukaran itu pula bukanlah penghujung jalan. Sebaliknya ia merupakan permulaan bagi meneroka kekuatan diri yang selama ini tidak pernah kita sedari. Kehidupan yang indah mentafsir pengalaman manusia, melalui lensa iman.

Di samping ayat-ayat ketuhanan yang diwahyukan dan kenangan peribadi yang mendesak, buku ini turut menampilkan karya seni metafora yang menawarkan sepuluh kraf untuk diamati ketika dalam kesusahan; untuk mencabar persepsi kita terhadap kejadian yang berlaku dalam kehidupan, bagaimana bertindak balas terhadap kejadian yang tidak dijangka, tidak biasa dan tidak menyenangkan, dan apa pilihan kita dalam menghadapi rintangan kehidupan.

3. Sun Tzu: Art of Business (2021 Edisi Bahasa Melayu)

Sun Tzu dikenali sebagai Tokoh Ketenteraan Ulung yang lahir semasa negara sedang bergolak. Menyahut cabaran zamannya, beliau mengabdikan diri berlawan dalam pertempuran sengit, memerah keringat dan darah, beradu kebijaksanaan dan kekuatan menentang musuh.

Sun Tzu: Art of Business mengetengahkan kajian kes yang boleh diguna pakai dalam strategi bisnes dan mendemonstrasi cara usahawan dan ahli perniagaan menggunakan prinsip Art of War dalam mengharungi dunia yang pantas berubah dan berdaya saing.

4. Rich Dad Poor Dad – Edisi Ulang Tahun ke-20

Robert Kiyosaki telah mencabar dan mengubah cara berfikir puluhan juta orang di seluruh dunia berkenaan wang. Dengan memiliki perspektif berkenaan wang dan pelaburan yang kerap kali bertentangan dengan cara pemikiran biasa, Robert telah berjaya meraih reputasi antarabangsa sebagai seorang yang telus, tegas dan berani.

Buku Rich Dad Poor Dad membantu pembaca dalam membina kekayaan berasaskan kewangan yang kukuh, membezakan antara aset yang menambah kekayaan dengan liabiliti yang menghabiskan wang serta mencapai kebebasan kewangan dan kepuasan bekerja.

5. Minimalis

Ketenangan merupakan nikmat terindah yang menjadi impian setiap insan. Namun begitu, bukan mudah untuk kita memperolehnya. Seringkali gaya hidup dan pola pemikiran menggugat ketenangan yang kita dambakan. Sekiranya mahu ke hadapan, kita perlu bergerak, perlu berubah. Ada kesabaran diperlukan. Kejayaan dalam memiliki ketenangan dan kebahagiaan bermula dengan menghargai sekecil-kecil perkara.

Naskhah ini memandu pembaca dalam membebaskan diri daripada kecanduan kebendaan, pemilikan, pemikiran dan emosi negatif yang membawa kepada kehidupan yang lebih lapang, fikiran lebih tenang dan jiwa lebih bahagia dengan mempraktikkan minimalisme dalam kehidupan.

6. Sun Tzu: Art of War (2021 Edisi Bahasa Melayu)

Sun Tzu: Art of War meliputi subjek strategi secara meluas yang mengandungi pelbagai ilmu, membincangkan dengan mendalam serta dianggap sebagai buah kebijaksanaan manusia yang mempunyai potensi mengubah hala tuju dunia. Hari ini kita dapat melihat bagaimana strategi diterapkan melangkaui medan perang dan mula meresap ke dalam kehidupan sehari-harian, lantas membawa perubahan dalam apa yang selama ini kita pandang enteng dalam perjuangan meneruskan kelangsungan hidup. Pengaruhnya bukan sahaja terasa dalam pentadbiran kerajaan, malah kepada pengurusan bisnes, perhubungan awam, diplomasi dan sukan.

Melalui buku ini, kita dapat lihat bagaimana fleksibiliti prinsip-prinsip strategi yang diajar oleh Sun Tzu dapat diterapkan, menjadikannya rujukan bagi sesiapa yang mahu menyahut apa sahaja cabaran.

7. The Art of Copywriting

Siapa sangka dengan menulis sahaja kita mampu menjana wang berjuta-juta? Ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Namun begitu, penulisan copywriting bukan sekadar “asal ada” dan dibuat dengan “membuta tuli” tetapi perlu menggunakan teknik yang betul agar dapat menghasilkan copywriting yang power.

Menerusi buku The Art of Copywriting, pembaca akan mendapat panduan mengenai teknik-teknik menghasilkan copywriting yang power. Bukan itu sahaja, setiap teknik didatangkan sekali dengan contoh yang boleh dibuat terus dan dapat disesuaikan pada semua jenis perniagaan.

8. Seni Berfikir Kreatif untuk Bisnes dan Hidup

Berfikir secara kreatif dapat dibentuk melalui rangsangan dan latihan yang betul. Apabila kita menguasai cara berfikir, kita membantu menggerakkan, mengembangkan dan mengekalkan bisnes sendiri. Seterusnya, ia mempengaruhi cara mengatur kehidupan peribadi secara tidak langsung.

Menerusi buku Seni Berfikir Kreatif untuk Bisnes dan Hidup ini, pembaca akan dipandu dalam menguasai kemahiran berfikir secara bertahap berdasarkan situasi yang dihadapi. Pembaca akan mengetahui cara berfikir secara kreatif dan dapat melakukan apa yang difikirkan.

9. The Art of Storytelling

Ramai orang suka akan perhatian, lagi-lagi para peniaga. Anda perlu ‘membina’ perhatian supaya lebih ramai orang berminat dengan produk atau servis yang anda hasilkan. Tidak lengkap rasanya apabila sudah mempunyai jenama tetapi masih ramai yang tidak mengenalinya.

Buku ini sesuai untuk mereka yang ingin mengetahui teknik dalam membina perhatian terhadap produk atau servis yang ditawarkan daripada ‘biasa-biasa’ menjadi ‘hebat’ dan ‘luar biasa’, seterusnya menjadi daya penarik orang untuk membacanya sehingga akhirnya berjaya mengubah pembaca itu menjadi pembeli.

10. Hijrahku Ini Sebenarnya Untuk Siapa?

Setiap orang mempunyai jalan cerita yang berbeza namun tujuan kita tetap sama, iaitu menuju Tuhan yang Esa. Kita akan melalui satu fasa yang menjadi titik perubahan untuk kembali kepada fitrah, hidup bertuhan. Namun begitu, jalannya tidak mudah. Hijrah itu sukar namun untuk terus istiqamah itu jauh lebih sukar. Ada air mata yang akan tumpah. Pendirian pula akan goyah.

Buku Hijrahku Ini Sebenarnya Untuk Siapa? membuka mata kita untuk merenung kembali apakah hijrah kita benar-benar tulus dan ikhlas atau penuh dengan tipu daya dan atas dorongan nafsu dunia semata sehingga hijrah kita tersasar daripada tujuan sebenar.

Adakah anda antara pengunjung reruai PTS yang telah mendapatkan buku-buku ini? Terima kasih kami ucapkan atas sokongan anda. Jika anda berminat untuk mendapatkan buku-buku ini, klik pautan di bawah atau dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran anda. Tambahkan buku-buku bermanfaat ini ke dalam koleksi bacaan anda sekarang.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024