Artikel

REVIU BUKU : Bersedia Untuk Mati oleh Dr Rozaimi Ramli

oleh Waridah Lothpi pada 19 May 2021

Rasa insaf baca nasihat seorang influencer; “Syarat untuk hidup, ialah bersedia untuk mati. Kalau tak mahu mati, jangan hidup.” Ringkas dan tegas.

Kata Dr Rozaimi Ramli selaku penulis buku, “Ia merupakan satu buku yang ringkas. Sekadar bacaan kecil dan santai untuk mereka yang mahu mengambil manfaat daripadanya.”

Saya sukakan konsep buku yang kecil tetapi padat sebegini. Ada sesetengah orang ‘berselera’ dengan buku tebal. Namun untuk topik seberat ‘kematian’, moleklah disampaikan dengan perkataan yang sedikit, kerana matlamatnya ialah kita mahu orang baca dan guna.

Bersedia untuk Mati cuma setebal 103 mukasurat, dan ajaib sekali ilmu penting begini hanya rm10 sahaja. Bersungguh benar nampaknya tim penulis dan penerbitan mahu berdakwah. Dijual dengan harga mampu beli, dan ditulis dengan gaya yang tidak membebankan pembaca. Penulisnya pula ialah pakar dalam bidang hadith, insha-Allah kita boleh yakin beramal dengan ilmu yang dikongsikan.

Ada 12 bab;

1. Rahsia di sebalik kematian

2. Dua sifat dalam beramal

3. Penipuan syaitan

4. Bertaubatlah

5. Banyakkan mengingati mati

6. Adab menziarahi pesakit

7. Ujian kesakitan

8. Muhasabah diri

9. Tanda-tanda kematian

10. Apabila berlaku kematian

11. Memandikan jenazah

12. Mengkafankan jenazah

Kita biasa baca ayat surah Al Mulk ini setiap malam; “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

Kenapa Allah SWT sebut mati dahulu, bukankah ayat ini sedang dibaca oleh hamba-Nya yang masih hidup? Kata Imam Al Qurtubi, “Perkataan kematian didahulukan kerana kematian itu lebih dekat.”

Lalu kita bertanya, apakah amalan yang benar dan diterima Tuhan? Dr Rozaimi kongsikan 2 tips, harus tahu tips ini.

Bab ‘Penipuan syaitan’ juga wajib dibaca. Kadang-kadang kita perasan amalan kita dah elok, rupa-rupanya telah diperdaya syaitan terlaknat. Ibnu Qayyim menyebut bahawa syaitan akan menjadikan manusia terjun antara dua lembah; lembah maksiat, dan lembah melampau dalam beragama. Terus teringat hujah-hujah yang menyarankan amalan tertentu yang dibuat beribu kali, sedangkan tiada sandaran yang sahih. Berpegang pada “benda baik apa salahnya”, tetapi sayang, hanya menyebabkan Tuhan murka.

Setelah tersilap, di manakah jalan keluar? Tidak lain, melainkan taubat.

“Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian berdosa siang dan malam, dan Aku Maha Mengampuni dosa, maka mintalah ampunan kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuni kalian.” (Hadith Riwayat Muslim)

Tidak hanya taubat, jangan dilupa kita juga terikat dengan tali ‘hablumminannas’. Dosa pada Tuhan itu satu perkata, dalam masa sama kesilapan pada makhluk juga tak boleh diringan-ringankan. (Gulp).

Bukankah kita biasa baca tentang orang yang muflis di akhirat?

“Golongan yang muflis di akhirat berasal daripada orang yang memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, semua pahala ibadat mereka itu habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati, dihina, dibunuh atau dizalimi ketika hidup di dunia dahulu. Jika muflis di dunia, masih ada lagi orang bersimpati dan dapat membantu. Tetapi bagaimana pula jika muflis ‘di sana’?

Siapakah yang akan bersimpati?” Seram.

Astaghfirullah wa atu bu ilaih.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024