Artikel

Rindukah Kita kepada Rasulullah SAW?

oleh Hajjar Hamzah pada 11 Aug 2020

Bait lagu Kasih Padamu dendangan Hafiz Hamidun barangkali selalu kedengaran di telinga kita. Tumpukan seluruh fokus, rasa, dan jiwa pada setiap bait lirik pada lagu ini. Tidak mustahil ia boleh menjentik hati menjadi sayu, hiba, dan tersentuh. Lantas, terbitlah persoalan, rindukah kita kepada Rasulullah SAW?

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita seharusnya memiliki perasaan rindu kepada baginda SAW. Rindu ingin bertemu, rindu ingin menatap wajah yang dimuliakan oleh Allah SWT, rindu ingin mendengar suara indah serta seruannya, rindu bagi mencium tangan baginda, dan rindu pada segala-galanya tentang diri insan yang disanjung lagi dihormati ini.

Namun, bagaimana caranya untuk kita mengetahui benarkah perasaan rindu itu wujud dalam hati dan diri kita, ataupun hanya sekadar kata-kata yang boleh luput begitu sahaja bila-bila masa? Kita mudah menyatakan rindu kepada Rasulullah SAW. Kita juga boleh berkata, “Aku rindu kepada Rasulullah SAW,” dengan bersahaja. Adakah kata-kata yang keluar daripada mulut kita itu, menunjukkan yang kita benar-benar rindu kepada Rasulullah SAW? Bagaimanakah rasa rindu yang sebenarnya? Bagaimana mungkin kita mampu merindui seseorang yang langsung tiada bayang wajahnya dalam kehidupan kita? Wajah itu pula tidak pernah dilihat dan disentuh. Mampukah rindu itu wujud?

Rindu itu suatu perasaan. Keinginan rasa dalam diri bagi menemui atau berjumpa dengan seseorang. Kita mulakan dengan mengenali Rasulullah SAW. Kita pelajari kisah baginda dan sunah-sunahnya. Kita terus menelusuri kisah hidup, ahli keluarga, para sahabat serta muamalat cara baginda Rasulullah SAW. Semua ini kita lakukan tanpa melihat rupa paras dan susuk tubuh baginda.

Kisah demi kisah diperturunkan melalui medium pembelajaran, penceritaan, pembacaan, dan juga perkongsian ilmu. Lalu selepas benar-benar mengenali Rasulullah SAW, tanpa dipaksa akan terbit dalam hati kita rasa rindu kepada baginda. Penuh mekar sehingga ke tahap apabila setiap kali kita mengingati baginda, pasti mengundang perasaan ingin bertemu dengan baginda di syurga.

Kita terlalu ingin mendapatkan syafaat daripada baginda. Kita terlalu ingin memeluk baginda dan menyentuh wajah baginda yang sangat dikasihi oleh Allah SWT. Itulah asas pada sebuah rasa rindu. Apabila kita sudah memiliki perasaan itu, lalu beruntunglah kita kerana sudah menjadi umat yang mengingati baginda Rasulullah SAW. Rindu inilah yang membawa kita ke arah mencintai Rasulullah SAW. Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri mencintai dan merindui kita sebagai umatnya, yang tidak pernah dilihat dan ditemui oleh baginda sendiri sepertimana yang direkodkan dalam sebuah hadis oleh Ibnu Majah, an-Nasaie, Muslim, dan Imam Malik.

Subhanallah. Betapa agungnya baginda Rasulullah SAW yang sering menyatakan kecintaan dan kerinduan kepada umat yang lahir selepas kewafatan baginda. Kita adalah umat yang dirindui dan dicintai oleh Rasulullah SAW. Kita adalah umat yang paling dirisaukan dan difikirkan oleh baginda sehingga ke hujung nafasnya. Lalu, adalah mustahil untuk kita tidak membalas cinta dan rindunya itu. Justeru, apakah amalan yang boleh kita lakukan bagi mebuntikan kerinduan kita kepada Rasulullah SAW? Antara yang disebutkan oleh para alim ulama adalah:

Sentiasa terbitkan rasa rindu kepada baginda Rasulullah SAW kerana rasa rindu itu akan meluruskan jalan kita menuju kepada Allah SWTdan rasul-Nya. Rindu itu akan mencetuskan rasa cinta. Rindu itu mampu membawa kita ke sebuah pengakhiran syurga yang kita damba. Mulakan rasa rindu kepada baginda Rasulullah SAW kerana sesungguhnya kita juga amat dirindui oleh baginda. Kerinduan ini membuatkan apabila kita berbicara mengenai Rasulullah SAW, hati kita pasti tersentuh, dan air mata pasti deras mengalir. Sebuah kerinduan yang sungguh tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Semoga kita tergolong dalam mereka yang mendapat syafaat baginda, insya-Allah.

Daripada Abu Hurairah RA., Rasulullah SAW. bersama dengan sahabatnya pergi ke sebuah kawasan Perkuburan Baqi’ lalu berkata yang bermaksud,

“Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya, kami dengan kehendak Allah SWT akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita.”

Sahabat Baginda bertanya, “Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?”

Baginda kemudian menjawab, “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang Mukmin) yang belum muncul (orang-orang beriman tanpa pernah melihat Rasulullah SAW).”

1. Sentiasa berselawat setiap kali mengingati baginda ataupun mendengar nama baginda disebut. Berselawatlah kerana Allah yang Maha Besar itu, bahkan berselawat kepada baginda. Allah SWT menyatakan dalam Surah al-Ahzab, ayat 56 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w.), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

2. Mengamalkan sunah baginda. Sunah Rasulullah SAW terlalu banyak dan meliputi pelbagai aspek kehidupan. Bermula daripada sekecil-kecil perkara sehingga kepada sebesar-besar perkara, semuanya ditunjukkan dengan baik oleh Rasulullah SAW. Apatah lagi sunah baginda dalam ibadah dan amalannya sebagai hamba Allah SWT.

3. Tidak berhenti belajar tentang Rasulullah SAW. Semakin kita menggali kisah-kisah yang berlaku sepanjang hidup Rasulullah SAW, semakin hati kita tertarik dan terpegun dengan keistimewaan junjungan besar yang hebat ini. Sehinggakan setiap kali mengetahui dan mempelajari tentang kebaikan baginda, amalan baik baginda, kerendahan hati baginda serta kesungguhan pengabdian baginda kepada Allah SWT, kita berasa takjub dan hiba hingga ke dasar hati. Rasulullah SAW yang dijanjikan syurga itu pun sangat taat kepada Pencipta-Nya, inikan pula sekiranya dibandingkan dengan diri kita sebagai makhluk kerdil yang lemah ini.

4. Mengenali ahli keluarga dan para sahabat Rasulullah SAW. Usai mengenali ahli keluarga baginda, pasti kita berasa sayang pula kepada mereka. Contohnya kepada isteri-isteri baginda. Setiap seorang daripada mereka memiliki kelebihan dan kebaikan masing-masing yang patut kita teladani. Begitu juga dengan para sahabat yang mencintai Rasulullah SAW yang melebihi segala-galanya, malahan lebih daripada diri mereka sendiri, selari dengan tuntutan iman dan agama.

5. Sentiasa wujud rasa ingin bertemu dan berjumpa dengan baginda Rasulullah SAW. Kita berazam serta berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi menunaikan umrah dan haji, seterusnya menyempurnakan ziarah dengan mengunjungi makam baginda di Tanah Suci.

6. Mengamalkan hidup yang sederhana. Rasulullah SAW adalah insan yang menjalani kehidupan dengan seadanya. Tidurnya beralaskan pelepah kurma sehingga meninggalkan bekas-bekas pada tubuh badan baginda. Justeru, hiduplah kita dengan bersederhana walaupun kita dilimpahi dengan kekayaan harta benda. Gunakan harta itu pada jalan Allah SWT dengan sebaik-baiknya.

Sentiasa terbitkan rasa rindu kepada baginda Rasulullah SAW kerana rasa rindu itu akan meluruskan jalan kita menuju kepada Allah SWTdan rasul-Nya. Rindu itu akan mencetuskan rasa cinta. Rindu itu mampu membawa kita ke sebuah pengakhiran syurga yang kita damba.

Mulakan rasa rindu kepada baginda Rasulullah SAW kerana sesungguhnya kita juga amat dirindui oleh baginda. Kerinduan ini membuatkan apabila kita berbicara mengenai Rasulullah SAW, hati kita pasti tersentuh, dan air mata pasti deras mengalir. Sebuah kerinduan yang sungguh tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Semoga kita tergolong dalam mereka yang mendapat syafaat baginda, insya-Allah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024