Artikel

Saya Tak Biasa Bahagikan Kerja kepada Orang Lain

oleh Helmi pada 23 Jul 2004

Ini adalah alasan yang biasa kita dengar apabila ditanya kenapa tidak agihkan tugasan saudara kepada yang sepatutnya. ‘Tak biasa’. Satu alasan yang biasa dan tidak konkrit. Saudara tak biasa kerana saudara tidak pernah mencuba. Mike Tyson juga tidak biasa bertinju kalau dia tidak cuba bertumbuk. Bill Gates tidak biasa dengan komputer kalau tidak berani belajar. Dan sudah tentu Siti Nurhaliza tidak biasa merakam album kalau dia tidak berani mencuba!
Jadi apa yang saudara perlu lakukan adalah, keluarkan diri saudara dari ketakutan untuk mencuba. Mulakan langkah baru bagi mendapatkan hasil yang lebih baik. Mungkin saudara rasa gaya kerja saudara sudah begitu baik sekarang, tapi saudara tidak tahu ada lagi yang lebih baik. Saudara tidak tahu kerana saudara tidak pernah mencubanya. Ia seperti orang yang hanya makan nasi berlaukkan ikan kering. Sudah pasti dia merasakan ikan keringlah masakan yang paling sedap di dunia. Kenapa? Kerana dia tidak pernah mencuba masakan lain yang jauh lebih sedap. Dia hanya tahu kesedapan masakan lain sekiranya dia mencuba. Begitu juga dengan saudara. Cubalah belajar bagaimana hendak mengagih tugas. Pasti lepas ini saudara akan terpaut dengan ‘kelazatannya’.

Lihatlah rajah 33.1. Bagaimana pada awalnya, saudara terpaksa melakukan empat bebanan tugasan yang dipikul oleh saudara. Tetapi dengan kemahiran mengagihkan tugasan, saudara hanya perlu melakukan satu sahaja! Bayangkan apabila situasi ini berlaku sepuluh kali, seratus kali, ataupun seribu kali. Berapa banyak tenaga dan masa yang saudara dapat jimatkan dengan kemahiran mengagihkan tugasan? Banyak bukan?

Tip dalam Mengagihkan Tugas
Ada beberapa peraturan yang mesti saudara amalkan dalam pembahagian tugas. Ia bermula daripada peringkat awal sebelum saudara menerima tugasan, sehinggalah kepada tugasan itu selesai sempurna seperti yang dikehendaki. Berikut adalah peraturan-peraturan yang mesti saudara semaikan selalu. Ikuti penerangan lanjut peraturan-peraturan ini dalam bab seterusnya. Saudara boleh cetak besar-besar dan tampal dalam bilik saudara:
Sebelum menerima sesuatu kerja dan tugasan, gunalah kaedah Siapa lagi?
Selepas mendapat tugasan, gunalah kaedah Memotong Kek Harijadi”

Semasa membuat kerja, gunalah kaedah Mencari bayang-bayang
Apabila selesai, gunalah kaedah Merenjis Air Mawar

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024