Artikel

Mengenali Budaya dan Seni Korea di MOKKOJI KOREA 2022

oleh Aina Fasihah pada 25 Nov 2022

Pergi konsert K-POP tanpa perlu bayar?

Sebuah program kesenian dan kebudayaan Korea, MOKKOJI telah diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC). Program ini berlangsung sepanjang dua hari, iaitu pada 12 dan 13 November 2022. Program ini dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan (MCST) dan MOKKOJI bermaksud orang ramai berkumpul melalui permainan, pesta dan acara lain. Tajuk program ini amat bertepatan dengan apa yang dianjurkan.

Penganjur menyediakan pelbagai jenis booth termasuk MOKKOJI Kitchen yang menyediakan makanan-makanan Korea dan MOKKOJI Market yang menyediakan produk-produk Korea. Bukan itu sahaja, penganjur juga menyediakan berbagai-bagai zon menarik seperti zon drama, zon webtoon, zon sekolah dan zon permainan yang amat disukai peminat-peminat budaya dan seni Korea. Di zon drama, mereka mempamerkan drama terkenal seperti Extraordinary Attorney Woo, The Red Sleeve dan Mystic Pop-Up Bar. Di zon drama The Red Sleeve yang merupakan drama bertemakan zaman sejarah Korea, penganjur menyediakan pakaian-pakaian tradisional Korea, hanbok yang boleh dipakai oleh para pengunjung.



Di zon komuniti pula dipenuhi dengan peminat-peminat K-POP yang menjual barangan idola kegemaran mereka seperti BTS dan ENHYPEN. Di sini, komuniti peminat K-POP dapat berkumpul bersama kenalan atas talian yang biasa disebut sebagai moots. Pada hari Sabtu, program dimeriahkan oleh kumpulan tarian Malaysia yang mempersembahkan tarian kumpulan idola K-POP dan pada hari Ahad pula dimeriahkan oleh kehadiran artis-artis jemputan dari Korea, iaitu Blank2y, Moonbin & Sanha dan Somi.



Apa yang menarik di program ini adalah setiap pengunjung tidak perlu membayar satu sen pun untuk berjumpa dengan artis-artis ini. Peminat-peminat bertuah sahaja yang dapat menyertai sesi tepuk tangan bersama artis jemputan secara percuma. Peluang menyertai sesi ini dapat dikejar dengan memenangi permainan tradisional Korea yang diadakan di tengah dewan. Penganjur juga memberi tiket konsert kepada peminat bertuah yang mengisi maklumat di portal rasmi MOKKOJI pada tarikh yang ditetapkan.


Walaupun ramai yang hadir merupakan peminat-peminat K-POP, program percuma ini berjaya mengajak pengunjung untuk belajar tentang seni dan budaya Korea dan mereka dapat berjumpa komuniti yang memiliki minat yang sama.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024