Artikel

8 Buku Untuk Bacaan Ketika Perintah Kawalan Pergerakan

oleh Hidaya Arshad pada 16 Mar 2020

​Kerajaan baru-baru ini telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara Malaysia bermula 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 sebagai tindakan pencegahan penularan wabak COVID-19. Sebelum kerajaan memutuskan perintah ini, dilihat masyarakat sudah berpusu-pusu memenuhi kedai-kedai runcit dan pasaraya untuk membeli barang makanan. Si ulat buku pula sedang ligat merangka senarai buku yang hendak dibaca sepanjang tempoh sekatan. Berikut kami kongsikan beberapa tajuk buku yang sesuai untuk anda:

1- The Speed Reading Book - Tony Buzan

Potensi kita untuk memperbaiki kadar kepantasan membaca kepada dua kali ganda lebih pantas berbanding sekarang, dan kemudian mencapai kadar 1000 perkataan seminit, sama sahaja dengan mereka yang berada pada tempat 10 teratas dunia. Setiap orang daripada mereka adalah pembaca, yang sama seperti pembaca dan saya, yang pada mulanya tidak berpuas hati dengan kadar kecepatan membaca biasa mereka dan membuat keputusan memperuntukkan masa dan usaha bagi membangunkan kemahiran manusia yang paling berkuasa ini. Buku The Speed Reading Book memberi pembaca peluang baik untuk mengikuti jejak langkah mata mereka. Ia adalah hasil latihan dan kajian selama lebih 50 tahun dalam bidang ini.

2- 7 Formula Individu Cemerlang - Dr. Danial Zainal Abidin

“Buku ini menghuraikan formula atau cara-cara untuk menjadi individu berdasarkan al-Quran dan sunnah. Kemudian dipetik contoh-contoh yang dilakukan oleh para sahabat dan imam-imam muktabar untuk menambahkan kefahaman pembaca. Juga diselitkan kajian, statistik dan huraian dari kajian Barat moden untuk membuktikan formula berasaskan al-Quran tidak bercanggah dengan ilmu moden walaupun al-Quran itu diturunkan lebih 1400 tahun dahulu. Sememangnya bacaan yang bermakna untuk mereka yang ingin menjadi individu cemerlang berlandaskan ajaran al-Quran yang diredhai Allah s.w.t.” - Zul, Goodreads

3- Ultra Smart Study: Kuasa Masa - Osman Affan

Ultra Smart Study ialah buku motivasi belajar yang menggabungkan Smart Study Tools dan watak komik popular iaitu Ultra Qalif. Ultra Smart Study: Kuasa Masa akan mengajar tentang dua kemahiran belajar yang penting tetapi jarang dikuasai oleh pelajar. Teknik-teknik itu adalah:

  1. Teknik Pengurusan Masa
  2. Teknik Pembacaan Pantas


4- Hikmah Saintifik - Dr. Ku Mastura Ku Mohd Noor & Dr Robiatul Adawiyah Mohd

Gabungan doktor falsafah bidang I’jaz Quran dan doktor falsafah bidang perubatan, membahaskan malam dan siang dalam Al-Quran and As-Sunnah. Ia mengandungi pelbagai petunjuk yang signifikan bagi meningkatkan kualiti kehidupan fizikal dan spiritual manusia dalam melalui aktiviti seharian. Rentak sirkadian pula adalah ilmu yang mengkaji hubungan kehidupan manusia dengan kitaran malam dan siang.

5- 77 Resipi Bakar & Kukus - Chef Hanieliza

Chef Hanieliza menyajikan hidangan yang dimasak dengan cara membakar dan mengukus, cara memasak yang lebih sihat kerana tidak menggunakan minyak yang banyak. Pada era yang mana kesedaran tentang kesihatan meningkat, cara penyediaan makanan juga turut berubah. Namun ada yang berkata, masakan yang dibakar ataupun dikukus tidak seenak yang digoreng ataupun ditumis. Ini adalah tidak benar. Dengan resipi dan panduan memasak yang betul, kita boleh menjamukan hidangan bakar dan kukus yang sedap sehingga menjilat jari. Chef Hanieliza berharap supaya buku ini dapat membantu pembaca semua merealisasikan impian memasak secara sihat.

6- Anda Bertanya Ustaz Menjawab Mengenai Solat (Edisi Kemas Kini) - Ustaz Rohidzir Rais

“Buku yang berada di tangan pembaca kini adalah gabungan dua metode berbeza yang disatukan. Keistimewaan metode soal jawab disatukan bersama kelebihan panduan bergambar, serta ditambah pula dengan susun letak berkonsepkan majalah. Tidak cukup dengan itu, buku ini dipersembahkan dalam empat warna. Semua kelebihan ini menjadikan buku ini begitu istimewa.Bukan mudah bagi sebuah penerbitan tempatan menerbitkan buku agama seperti fikah semewah ini kerana kos yang tinggi. Namun PTS melangkah dengan berani apabila memutuskan menghasilkan buku agama dengan spesifikasi menyamai buku memasak, majalah hiburan dan buku-buku mewah lain.” - Ustaz Rohidzir

7- Malaikat Bertali Leher - Amirul Azmeer Asmadi

Malaikat Bertali Leher menghimpunkan kisah-kisah benar, anekdot tentang orang biasa yang membuat kebaikan, yang tidak mengharapkan pembalasan. Manusia-manusia yang berlatar belakang biasa-biasa, yang ikhlas, yang membuatkan mereka menjadi luar biasa.

8- The Adventures of Sherlock Holmes (Edisi Bahasa Melayu) - Sir Arthur Conan Doyle

Sir Arthur Conan Doyle mencipta watak Sherlock Holmes pada tahun 1886, dan telah menulis sebanyak 56 cerita pendek dan empat buah novel berkenaan watak penyiasat terkenal di dunia ini. Jilid The Adventures of Sherlock Holmes ini merupakan terbitan ketiga selepas A Study of Scarlet (Penyiasatan Benang Berdarah) dan The Sign of the Four (4 Pemburu Harta). The Adventures of Sherlock Holmes ini pertama kali diterbitkan pada 14 Oktober 1892. Ia mengumpulkan 12 cerita pendek yang sebelum itu pernah diterbitkan dalam The Strand Magazine, bermula dari Julai 1891 hingga Jun 1892.

Semoga dengan buku-buku ini kita dapat mengubah diri kepada yang lebih positif. Kami juga berharap wabak COVID-19 ini terus lenyap dari muka bumi dan semua pesakit diberi kesembuhan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024