Artikel

Sesuci Lebaran Jadi Hidangan Istimewa Buat Tetamu

oleh Roziyah pada 20 Aug 2010

Buku resipi Sesuci Lebaran hasil tulisan chef muda PTS, Chef Maisarah Mohd Nor bakal menjadi menu istimewa majlis bagi meraikan tetamu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Chef Sara memaparkan cara masakan pelbagai menu istimewa buat tetamu bermula daripada makanan berat sehinggalah ke menu pencuci mulut.

Chef muda berusia 27 tahun ini mula mendekati dunia masakan ketika usianya 10 tahun lagi. Sejak berusia 10 tahun beliau telah mengikut ibu bapanya yang membuka perkhidmatan katering dalam pelbagai masjlis.

Beliau banyak memasak bagi masjlis-majlis formal dan tidak formal serta menyediakan makanan beradap buat pengantin.

Menurut Chef Sara, walaupun buku Sesuci Lebaran ini khas buat hari raya namun masakan yang terdapat dalam buku ini juga digunakan bagi majlis-majlis tertentu seperti majlis hari jadi, majlis kenduri kahwin dan sebagainya.

"Buku resipi ini berbeza kerana buku ini tersedia pelbagai hidangan termasuklah hidangan utama, lauk pauk dan sampingan lengkap bagi menyambut hari raya yang bakal menjelma tidak lama lagi,"jelas Chef Sara.

Lebih menarik lagi, buku ini juga menyediakan langkah demi langkah mengayam ketupat bagi melengkapkan juadah raya.

Pelbagai jenis menu dibahagikan kepada 6 kategori menu antaranya menu utama sempena Aidilfitri yang terdiri daripada 7 jenis hidangan berasaskan nasi dan pulut.

Selain itu, turut dihidangkan kombinasi 12 menu daripada daging dan ayam serta 6 jenis lauk-pauk berasaskan makanan laut, daging, hati dan lain-lain.

Terdapat juga menu hidangan sayuran yang mampu menangkap selera tetamu serta gabungan masakan timur dan barat yang menggamit rasa.

Akhir sekali, Chef Sara menghidangkan keenakan 7 jenis desert yang pelbagai rasa bagi melengkapkan selera tetamu yang hadir ke rumah di hari lebaran ini.

Bagi Chef Sara, buku Sesuci Lebaran menjadi buah tangan istimewanya kepada peminat-peminat buku masakan.

Ketika ditanya perancangan terbaru, Chef Sara kini sedang dalam proses menghasilkan novel pertama beliau bersama PTS. Kisah penyiasatan seorang wartawan muda menjadi tema karyanya.

"Mengisahkan seorang wartawan yang gemarkan aktiviti dan karya bebas. Pada asalnya beliau menyiasat sebuah empunya sebuah blog tanpa menyedari beliau juga sedang disiasat. Nantikannya di pasaran anda tidak lama lagi," ujar Chef Sara sambil tersenyum.

Tuan dan puan boleh mendapatkan buku masakan Sesuci Labaran yang sudah berada di kedai-kedai buku berhampiran.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025