Artikel

Siri Kesatria Ajaib Jadi Kegilaan Kanak-kanak Lelaki

oleh Roziyah pada 22 Oct 2010

PTS Fortuna kini tampil dengan buku Kesatria Ajaib: Kuasa Lobak Kecil yang menampilkan superhero baru yang mampu menjadi igauan pembaca lelaki.

Penulis siri superhero Kesatria Ajaib, Izzat AR berkata, karya ini menampilkan kelainan apabila ideanya diambil daripada diinspirasikan daripada kisah Nabi Adam, Kisah dan Nabi Musa.

"Setiap watak ditampilkan mempunyai identitinya yang tersendiri. Contohnya watak Cikgu Mat Dom dikenali kerana suka menggunakan peribahasa apabila bercakap," jelas Izzat AR.

Izzat AR atau nama sebenarnya Azzah Abdul Rahman berkata, selain memberi hiburan, buku Kesatria Ajaib: Kuasa Lobak Kecil ini menampilkan mesej yang berguna kepada pembaca yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja lelaki.

"Banyak info dan tips yang dimasukkan dalam karya ini seperti tip dan kuasa doa," jelas beliau lagi.

Lebih menarik apabila buku Kesatria Ajaib ini menampilkan pelukis komik, Lavendra yang menghasilkan komik di setiap awal bab buku tersebut.

Bercerita mengenai Kesatria Ajaib: Kuasa Lobak Kecil ini, Izzat AR berkata, lobak dipilih kerana ia berkait dengan kuasa yang dimiliki oleh Salman.

"Dengan menonjolkan lobak sebagai punca kuasa, ia mahu menggalakkan agar kanak-kanak sukakan sayur," jelas beliau lagi. 

Buku menarik ini menceritakan mengenai Salman yang baru menyedari kuasa 'superhero' yang ada padanya. Kuasa yang dimilikinya merupakan warisan daripada susur galur keturunannya. Penceritaan lebih mencabar apabila musuh Salman juga datang daripada susur galur keturunannya sendiri.

Bagaimana Salman mendapat kuasa superheronya? Apakah kuasa Superhero yang dimiliki oleh Salman? Apa yang terjadi kepada Salman? Semuanya terjawab dalam Kesatrian Ajaib: Kuasa Lobak Kecil yang berada di kedai-kedai buku berhampiran tuan dan puan.

Ketika ditanya siri seterusnya, sambil tersenyum penulis siri Kesatria Ajaib ini berkata beliau sedang merancang menghasilkan Kesatria Ajaib: Nenek Pulau Suqutra pula.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025