Artikel
Strategi Mempelajari Perbendaharaan Kata
oleh Helmi pada 20 Jul 2004
PENGAJARAN perbendaharaan kata sangat penting sama ada kepada pelajar-pelajar bahasa pertama ataupun bahasa kedua. Penguasaan perbendaharaan kata yang baik akan membantu pelajar menguasai kemahiran bahasa yang lain seperti kemahiran lisan, membaca dan menulis. Bagi pelajar-pelajar bahasa pertama, penguasaan perbendaharaan kata yang sukar sering menjadi masalah terutama bagi tujuan memahami teks yang dibaca. Kelemahan penguasaan aspek perbendaharaan kata ini juga akan mempengaruhi tugasan menulis karangan yang memerlukan mereka menguasai perbendaharaan kata yang baik.
Seseorang pelajar tidak akan dapat bertutur, memahami, membaca, atau menulis dengan baik jika tidak menguasai banyak perbendaharaan kata. Terdapat dua pendekatan pengajaran yang umum cara pelajar belajar perbendaharaan kata terutama bagi pelajar-pelajar bukan Melayu iaitu menggunakan pendekatan terus dan pendekatan tidak langsung.
Melalui pendekatan terus, pelajar akan mempelajari perkataan dalam senarai atau melengkapkan latihan perbendaharaan kata yang pelbagai. Pendekatan ini bertujuan supaya pelajar menggunakan perkataan yang diperlukan bagi mengukuhkan penguasaan kemahiran bahasa.
Strategi Belajar Secara Terus
Pembelajaran perbendaharaan kata secara terus memerlukan pelajar mempelajari banyak perkataan yang perlu difahami melalui aktiviti pembacaan dan pendengaran. Terdapat beberapa saranan yang boleh diikuti semasa menggunakan pendekatan ini.
1. Berusaha menguasai tatabahasa
Pelajar perlu menunjukkan usaha ke arah penguasaan tatabahasa yang baik. Mereka akan merasakan kekurangan apabila menggunakan tatabahasa yang salah sama ada secara lisan atau tulisan. Oleh itu, usaha tersebut perlu menggunakan teknik yang sesuai. Pelajar perlu berusaha ke arah mencapai tahap penguasaan bahasa yang tinggi. Mereka perlu menguji diri sendiri bagi melihat sama ada tahap penguasaan tersebut dapat dicapai. Bagi mengingat perbendaharaan kata yang baru, pelajar akan sering terlupa perkataan-perkataan baru yang sudah dipelajari.
2. Menggunakan kad perbendaharaan kata
Dengan menggunakan kad catatan yang sesuai, pelajar boleh menuliskan perkataan baru yang dipelajari berserta penggunaannya dalam ayat. Perkataan ini juga boleh disediakan dalam bentuk katalog yang mudah dirujuk. Pelajar juga perlu mengkaji penggunaan perkataan tersebut dalam contoh ayat yang berbeza. Pelajar boleh menyemak sama ada mereka dapat mengekalkan ingatannya terhadap perkataan yang baru dipelajari.
3. Menyebut perkataan dengan jelas atau menuliskannya semula
Pelajar boleh menggunakan teknik latih tubi melalui penyebutan bagi membantu aspek sebutan. Dengan cara tersebut perkataan yang sukar disebut dapat dikuasai dengan baik. Oleh itu, melalui teknik latih tubi serta menuliskan semula perkataan baru atau sukar, mereka dapat mengingat dengan lebih baik lagi.
4. Mengarang ayat dengan menggunakan perkataan yang dipelajari
Perkataan yang dipelajari akan lebih mudah diingat dan tepat penggunaannya dengan cara cuba mengarang ayat dalam konteks yang berlainan. Mereka juga boleh meminta guru menyemak sama ada ayat yang dibina betul atau salah penggunaannya.
5. Merakamkan perkataan dan definisinya
Jika pelajar suka belajar melalui pendengaran, mereka boleh menggunakan alat perakam bagi merakamkan perkataan yang baru dipelajari. Kelebihan rakaman ialah pelajar boleh mengulang sebutan dan makna perkataan berulang kali. Dengan cara ini ingatan pelajar terhadap perkataan tersebut dapat dipertingkatkan serta memudahkan mereka membuat pembetulan kesalahan yang dilakukan dengan membuat ujian kendiri.
6. Mewarnakan kod perkataan
Sesetengah pelajar, penggunaan warna dapat membantu mereka mengingat perkataan yang dituliskan dengan lebih baik. Perkataan yang disenaraikan boleh diwarnakan jika pelajar merasakan kesan warna membantunya mengingat perkataan yang dipelajari. Berikan tumpuan kepada perkataan yang menimbulkan banyak masalah kepada pelajar.
Teknik Mnemonik
Di samping strategi yang dinyatakan di atas, pelajar juga boleh menggunakan teknik mnemonik iaitu teknik yang dapat meningkatkan penguasaan perbendaharaan kata dengan lebih baik lagi. Teknik ini sering digunakan bagi membantu pelajar mengingat dengan cara mengorganisasikan item yang diingati secara terasing ke dalam pola yang bercantum bersama-sama. Terdapat banyak jenis alat mnemonik yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Pelajar perlu mencuba menggunakan alat yang berbeza-beza bagi menentukan jenis yang sesuai. Berikut adalah antara jenis mnemonik yang sesuai digunakan.
1. Menggunakan rima perkataan
Pelajar boleh mengingat perkataan yang mempunyai rima yang mudah diingat. Contohnya; kesang, berang, serang, curang. Oleh itu, apabila mengingat perkataan yang mempunyai rima yang senang diingat, pelajar boleh juga menambahkan perkataan yang lain yang mempunyai rima yang sama.
2. Menggunakan aliterasi perkataan
Perkataan yang dimulakan dengan huruf atau bunyi yang sama boleh dipelajari bersama bagi tujuan memudahkan ingatan.
3. Menghubungkan perkataan dengan bentuk fizikal
Imej mental yang boleh membentuk perkataan sangat membantu pelajar menguasai sesuatu perkataan baru. Teknik ini sesuai bagi perkataan yang lebih mudah dipelajari dengan menghubungkannya dengan warna, saiz, bau, rasa, atau beberapa ciri fizikal yang lain. Apabila pelajar cuba mengingati nama sayur-sayuran, mereka boleh mengaitkan dengan warna seperti merah bagi bulat dan bentuk panjang dengan warna hijau. Contohnya bagi perkataan kelat, payau, masam dan sebagainya dapat ditandai dengan buah yang biasa dimakan.
4. Mengaitkan perkataan dengan fungsi
Kadangkala kita boleh mengaitkan sesuatu perkataan dengan fungsi. Sebagai contoh, apabila cuba mengingati perkataan perabot, pelajar boleh mengumpulkan data mengikut kegunaan untuk tempat duduk dan sebagai-nya. Pelajar juga boleh mengorganisasikan perkataan dengan fungsi perbualan. Sebagai contoh, dapatkan suatu senarai perkataan sapaan, perkataan lain bertujuan mengambil bahagian dalam perbualan dan akhirnya bagi tujuan ucapan terima kasih.
5. Menggunakan perkataan antonim
Dalam aktiviti berbahasa, penutur sering kali mengaitkan sesuatu perkataan yang disebut dengan lawan atau antonim bagi perkataan tersebut. Ini menunjukkan wujudnya perkaitan secara semula jadi antara sebutan sesuatu perkataan dengan antonimnya dalam situasi kehidupan sehari-hari. Perkataan yang boleh hadir secara berpasangan seperti abang-kakak, kecil-besar, berdiri-duduk secara automatik dikaitkan dalam minda. Oleh itu, apabila mempelajari perkataan baru, cuba bina pasangan perkataan supaya apabila sesuatu perkataan itu disebut, perkataan yang satu lagi akan hadir dalam minda.
6. Mempelajari kelas perkataan
Terdapat banyak perkataan yang boleh membantu pelajar dalam kemahiran berbahasa. Kadangkala dengan cara mengelaskannya boleh membantu mempelajari perkataan-perkataan baru yang berkaitan seperti warna, buah-buahan, sayur-sayuran, profesion dan sebagainya. Tidak semua perkataan yang dapat dikuasai dengan baik walaupun kita pernah melihat atau membacanya. Contohnya, dengan menamakan jenis-jenis pisang, ikan dan sebagainya.
7. Mempelajari perkataan yang berkaitan
Terdapat beberapa jenis perkataan yang mempunyai kata dasar yang sama dan boleh membentuk kata terbitan. Contohnya kata dasar tanam boleh dibina perkataan yang lain seperti tanaman, tanamkan, penanaman, menanam dan sebagainya. Oleh itu, jika pelajar mempunyai senarai perkataan untuk diingati, cuba organisasikan perkataan tersebut ke dalam kumpulan yang mempunyai kata dasar yang sama atau mengaitkan dengan perkataan baru dengan perkataan lalu yang sama kata dasarnya.
8. Kumpulkan perkataan dalam kelas gramatikal
Ini akan membantu pelajar mengorganisasikan senarai perkataan mengikut golongan kata. Secara umumnya, kata nama mudah diingati dibandingkan dengan kata kerja. Oleh itu, pelajar mungkin mahu memperuntukkan masa yang lebih bagi kelas perkataan yang sukar.
9. Mengaitkan perkataan dengan konteks
Pelajar juga boleh mengaitkan perkataan baru dengan konteks penggunaannya. Oleh itu, bagi mengingati sesuatu perkataan, pelajar boleh fikirkan konteks penggunaannya dan perkataan akan hadir pula wujud dalam fikirannya. Sebagai contoh, pelajar boleh me-mikirkan dialog atau teks berkaitan makanan yang sudah dipelajari apabila mengingat istilah berkaitan makanan yang terdapat di sesebuah restoran atau hotel.
Belajar Secara Tidak Langsung
Pendekatan lain yang boleh digunakan semasa mempelajari tatabahasa yang melibatkan penguasaan perbendaharaan kata ialah pendekatan tidak langsung. Dalam pembelajaran perbendaharaan kata secara tidak langsung, perhatian pelajar ditumpukan kepada pencapaian ke atas beberapa aktiviti atau tugasan bahasa yang pelbagai, seperti cuba memahami mesej secara lisan atau bertulis.
Melalui proses tersebut, pelajar berpeluang memulakan pembelajarannya dengan berhadapan banyak perbendaharaan kata yang baru. Melalui pendekatan ini, pelajar akan diperkenalkan dengan beberapa teknik pembelajaran perbendaharaan kata yang didapati berkesan. Pelajar juga perlu mencuba dan mengadaptasi mana-mana strategi pembelajaran yang sesuai. Berikut ialah beberapa strategi yang boleh digunakan melalui pendekatan ini.
1. Membaca teks berkaitan topik
Bagi mendapatkan kesan yang positif terhadap penguasaan perbendaharaan kata, pelajar perlu membaca beberapa buah teks berdasarkan topik yang berkaitan. Jika pelajar sudah membaca suatu siri teks atau artikel yang berkaitan, pelajar akan berpeluang bertemu dengan perbendaharaan kata yang kerap diulang. Dengan cara tersebut, pelajar dapat membaca secara bersama sesuatu perbendaharaan kata daripada satu teks kepada teks yang lain dan ini akan membantu pelajar mengenali perkataan dengan lebih mudah apabila melihatnya pada masa akan datang. Oleh itu, melihat perkataan yang sama dalam konteks yang berlainan, akan membantu pelajar mempelajari pelbagai makna yang boleh dikaitkan dengan perkataan tersebut.
2. Membuat inferens makna perkataan berdasarkan konteks
Semasa membaca teks, terdapat beberapa perkataan yang maknanya boleh diinferensikan berdasarkan konteks. Oleh itu, melalui inferens pelajar dapat membuat pertimbangan klu bagi perkataan yang berkaitan.
3. Mengasingkan perkataan mengikut komponennya
Dengan memecahkan perkataan kepada kata dasar, kata imbuhan awalan dan akhiran, pelajar dapat membuat inferens makna perkataan tersebut walaupun mereka tidak pernah mendengarnya sebelum ini.
Kesimpulan
Kesimpulannya, penguasaan perbendaharaan kata sangat penting kepada pelajar ketika mempelajari Bahasa Melayu. Kesukaran menguasai aspek tersebut banyak berlaku kepada pelajar bukan Melayu serta pelajar pada tahap pencapaian rendah. Oleh itu, strategi yang dicadangkan diharap akan dapat membantu pelajar tersebut terutama memudahkan penguasaan kemahiran berbahasa dengan lebih baik lagi.