Artikel
TCC Berjaya Kumpul Hampri 100 Penerbit Asia
oleh Roziyah pada 23 Apr 2011
Trade Copyright Centre (TCC) yang melabuhkan tirainya hari ini berjaya menghimpunkan hampir 100 penerbit Asia dalam usaha menjalankan urusan hak cipta, lesen terjemahan dan jual beli hak cipta.
TCC yang diadakan seiring dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala lumpur (PBAKL) ini berjaya membawakan penerbit-penerbit dari negara Asia dan berhimpun bagi membincangkan perihal hak cipta dan terjemahan. Antara negara yang telibat dalam TCC kali ini termasuklah Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, China, Iran, dan Turki.
Menurut Tuan Arief hakim Sani Rahmat, Pengerusi Jawatankuasa TCC, nilai transaksi yang berlaku melalui TCC ini mencecah hampir 1 juta ringgit.
Sebagai maklumat, antara produk yang terlibat dalam transaksi ini termasuklah Al-Quran, buku kanak-kanak, buku Islam dan buku umum dari serata negara Asia.
"Para penerbit yang hadir merasakan TCC ini adalah pelengkap kepada PBAKL 2011 kerana TCC ini perlu dilaksanakan," jelas Tuan Arief lagi.
Beliau juga menjelaskan melalui TCC ini, penerbit dari serata negara dapat berkumpul dan membincangkan hal-hal berkaitan. Antara isu yang dihadapi adalah mendapatkan penterjemah terutamanya daripada bahasa Thailand ke bahasa Melayu dan sebaliknya.
"Tahun depan TCC ini akan diadakan di tempat yang sama. Kita juga menjangkakan lebih banyak agensi timur tengah, korea, jepun, Taiwan dan China terlibat dalam TCC ini.
TCC yang disokong oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) ini menjadi landasan terbaik kepada penerbit-penerbit Asia bagi memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa.
"Selama ini belum pernah ada tempat bagi penerbit-penerbit berkumpul. Malaysia yang menganjurkan TCC ini merupakan landasan terbaik bagi mereka berkumpul. Ini adalah peluang kepada penerbit-penerbit antarabangsa memasarkan produk mereka.