Artikel

Tembakau: Pelukis Komik Lagenda Kembali Beraksi di PTS

oleh Roziyah pada 10 Dec 2010

Pelukis komik lagenda yang satu ketika dahulu terkenal melalui komik Kartini kembali menemui peminat-peminat komik di Malaysia apabila muncul dengan hasil karya terbarunya bersama Komik-M.

Azhar bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tembakau kini kembali beraksi kembali dalam industri komik dan menghasilkan karya yang mampu menggegarkan industri komik di Malaysia.

Beliau kini membuat kemunculan semula melalui komik Aku, Kau dan Facebook yang bercerita mengenai fenomena facebook yang melanda masyarakat di Malaysia.

"Pada saya, fecebook kini menjadi fenomena kepada rakyat di Malaysia. Ini menunjukkan masyarakat Malaysia sememangnya suka bersembang. Aku, Kau dan Facebook merupakan kisah rakyat Malaysia dan facebook," jelas Tuan Tembakau.

Beliau yang dihubungi wakil PTS berkata, melalui Aku, Kau dan Facebook yang dihasilkan bersama Komik-M, membawa beliau lari daripada kisah cinta yang dihasilkan sebelum ini.

"Saya cuba lari daripada imej karya cinta dan menghasilkan sesuatu yang baru serta bersifat lebih umum," jelas beliau lanjut.

Tembakau sebelum ini terkenal melalui komik Kartini yang diterbitkan oleh Multi Triple Vision Sdn. Bhd. Komik-M kini menerbitkan semula naskah Kartini yang dianggap bernilai kemudian disusuli dengan Kartini Kembali yang menjadi kesinambungan kisah Kartini.

Kartini yang dihasilkan pada tahun 1997 dianggap lagenda dalam dunia komik sehingga pernah dianggat menjadi kartun animasi. Selain itu, Tembakau juga pernah menghasilkan storyboard bagi animasi bersiri pertama Malaysia, 'Usop Sontorian' terbitan Karisma Pictures.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025