Artikel
Terlaris Sepanjang 2022, 10 Buku Fiksyen
oleh Aina Fasihah pada 31 Jan 2023
“Fiksyen memberi kita kebolehan untuk berasa empati terhadap orang yang kita tidak pernah bertemu dan melalui kehidupan yang kita tidak dapat rasai sendiri,” - Ann Patchett
Fiksyen mengajar kita untuk memahami perspektif lain walaupun ia adalah karya buatan atau imaginasi penulis semata-mata. Dengan membaca karya fiksyen juga dapat membantu kita untuk meluaskan imaginasi dan proses berfikir pembaca. Bukan itu sahaja, kita juga dapat mengeksplorasi dunia lain melalui imaginasi yang penulis sampaikan dalam karya penulisan mereka. Dengan itu, mari kita imbas kembali karya-karya fiksyen terlaris PTS sepanjang tahun 2022.
1. Komik-M: Misi Solat Lima Waktu #3: Diari Akhlak Imran (2021)
“Nenek kata Allah dan Nabi suka orang yang berakhlak mulia. Tapi, apakah maksud akhlak yang mulia? Hmm… siapa boleh ajar saya, ya?”
Betapa pentingnya bagi setiap manusia untuk memiliki akhlak yang mulia agar dikasihi Allah SWT dan disenangi orang lain. Judul ini dipenuhi dengan nilai murni yang mengajar kita untuk menjaga tutur kata dan perbuatan.
2. Komik-M: Misi Budak Tahfiz - Dua Dilema (2019)
Komik ini menceritakan cabaran yang dihadapi Wajid ketika memasuki sekolah tahfiz. Antara cabaran yang dihadapinya ialah kelemahannya dalam menyebut makhraj huruf dengan tepat. Tambahan pula, dia mengalami dilema apabila saudara dan rakan-rakannya memperlekehkan hasratnya untuk meneruskan pembelajaran di sekolah tahfiz.
3. Komik-M: Aku, Kau & Robot #3: Nusantara (2022)
Mengumpulkan 10 komik pendek bertemakan robot di nusantara oleh artis-artis Komik-M yang handal. Lihat bagaimana 10 pekomik ini menggunakan tema yang sama namun jalan cerita mengikut kreativiti dan imaginasi masing-masing.
4. Komik-M: Aku, Kau & Meow #3 (Tiga Nyawa) (2022)
Antologi ketiga dalam siri Aku, Kau & Meow. Menampilkan lapan komik pendek bertemakan kucing oleh artis-artis Komik-M, iaitu Drimzt, Ben Wong, Jiwazuro, Danial Haikal, Ash Kun, Reja, Chai Kazuku dan Ain Hafizah. Menariknya dalam siri ini, Tuan Ben Wong menghasilkan komik kesinambungan siri pertama dan kedua Aku, Kau & Meow. Bukan itu sahaja, watak pada kaver utama siri ini juga merupakan watak-watak dalam komik pendek beliau.
5. Komik-M: Aku, Kau & Hantu #3 - Asrama (2019)
Bagi yang pernah atau sedang menetap di asrama pasti kerap kali dengar akan kisah-kisah hantu di asrama. Antara kisah hantu yang biasa didengari ialah hantu di bilik basuh baju di mana pelajar ingat dia sedang basuh baju dengan pelajar lain, kemudian bajunya terjatuh ke atas lantai. Ketika dia mengangkat baju tersebut, dia perasan bahawa pelajar itu tidak mempunyai kaki! Ada juga kisah dorm berhantu kerana pernah ada pelajar terdahulu bermain “spirit of the coin” di dalam dorm itu.
Siri ini mengumpulkan tujuh komik pendek daripada artis-artis Komik-M. Ketahui bagaimana artis-artis ini menghasilkan kisah-kisah hantu di asrama.
6. Komik-M: Tempur Nombor #2: Gempur Ukur (2021)
Pengembaraan misteri Pulau Tempur bersambung dengan konflik, watak dan permainan baru! Ia merupakan judul kedua dalam siri Tempur Nombor oleh Tuan Haziq Ajar.
Dalam jilid ini, Aziq kembali ke dalam permainan Pulau Tempur demi menyiasat tentang kem Matematik di pulau tersebut. Terdapat juga slot Pot Pet Peah yang mengajar pembaca tentang ukuran dan masalah yang dihadapi ketika menukarkan unit ukuran.
7. Komik-M: Silat Boy #3 -Tiga Penjuru (2021)
Mari berpencak!
Boy, seorang budak lelaki yang kerap dibuli kerana tubuhnya yang kecil kemudian dia belajar mengenali seni silat.
Ben Wong kembali dengan jilid ketiga Silat Boy dengan tajuk, Tiga Penjuru. Seekor raksasa misteri muncul di sekolah Boy. Dia cuba untuk menyelamatkan keadaan namun dia bimbang kebolehannya untuk bersilat diketahui ramai.
8. Komik-M: Misi Solat Lima Waktu #2: Diari Doa Imran (2019)
Komik yang mengumpulkan bacaan-bacaan doa harian secara kreatif yang mana pembaca dapat merasakan mereka sedang menyelak diari seorang budak bernama Imran.
Diselitkan juga jenaka-jenaka dengan kartun yang comel. Komik ini sangat sesuai untuk diberikan kepada kanak-kanak kerana mereka bukan sahaja dapat belajar doa-doa, mereka juga akan mencintai doa-doa tersebut kerana cara penyampaian ilmu fikah yang menarik ini.
9. Komik-M: Ultra Qalif x Silat Boy (2020)
Satu dunia alternatif di mana watak Silat Boy dan Ultra Qalif bertembung!
Boy merasakan bahaya akan berlaku apabila sebuah ‘gauntlet’ misteri muncul di rumahnya. Dia menyiasat dan ingin mencari dalang di sebalik kejadian itu lalu menemukan dia dengan jaguh handalan, termasuk Ultra Qalif.
10. Komik-M: Coffee Break & Koleksi Komik Terbaik Lavendra (2019)
Mengumpulkan enam komik pendek oleh Cik Ain Lavendra dan disertakan dengan beberapa slot bonus seperti temu bual, petua berkomik, stesen kerja dan galeri beliau. Cik Ain Lavendra telah bekerjasama dengan Komik-M semenjak beliau masih berada di bangku sekolah lagi, yang mana beliau sering menghasilkan komik-komik pendek untuk antologi terbitan Komik-M.