Artikel

10 Terlaris Bookiut 2022

oleh Aina Fasihah pada 01 Feb 2023

Tahun 2022 ini merupakan tahun yang bermakna buat Bookiut. Ikuti 10 buku Bookiut terlaris sepanjang 2022 dan keistimewaan setiap judul.


1. Silat Warrior (2022) - Sharina Elisa

Meen, seorang yang memilih untuk menjadi pendiam kerana dituduh biadap apabila dia melontarkan kata-kata. Trauma untuk meneruskan persilatan akibat cedera parah yang dialami oleh pihak lawan menyebabkan Meen berhenti meskipun dia seorang pesilat yang handal. Biarlah dirinya dibuli, asalkan dia tidak menyakiti orang lain lagi. Kamarul pula ingin membawa Meen kembali ke gelanggang silat semula.


2. Miss Genius Matematik (2021) - Haryani Kamilan

Lily Si Genius Matematik mempunyai kelemahan, iaitu menghafal. Subjek Matematik sahaja dia handal, subjek lain pula selalu gagal. Bapanya pula seorang yang garang dan sentiasa merotannya membuatkan dia tertekan hingga sanggup membuat idea gila untuk menggodam komputer sekolah demi mendapatkan soalan bocor.


3. K-Pop Girl: iKONIC Yang Berbakat (2022) - Husna Azman

Yuna ialah seorang iKONIC, iaitu nama khas bagi peminat kumpulan iKON. Sebuah pertandingan yang memberi kesempatan untuk berkolaborasi dengan kumpulan tersebut membuka langkah kepada Yuna untuk menggunakan bakatnya dalam penulisan lirik lagu. Dorongan bapanya dan rakan baiknya, Hana memberikan Yuna semangat untuk mencapai impiannya untuk bertemu dengan iKON.


4. Miss Makeover (2022) - Izanor Sharif

Ozelyn berperwatakan ganas, pemarah dan antisosial ingin mengubah personalitinya. Pada awal perubahannya menjadi feminin, Ozelyn diperlekehkan namun Leia memberanikan diri untuk membantunya walaupun perwatakan mereka berdua jauh berbeza.


5. K-Pop Girl: Blink Yang Bersinar (2022) - Rashiela Nurain

Elsi menjadi pelatih di bawah YG Entertainment bersama pelatih-pelatih lain termasuk ahli Blackpink. Elsi bukannya seorang penggemar hiburan seperti kembarnya, Anni namun disebabkan pertelingkahan besar antara dua kembar ini, Elsi dibawa ke Korea pada 10 tahun lepas, seolah-olah berada di dimensi yang lain.


6. Miss Baker (2022) - Sabrina Ismail

Pandemik coronavirus melanda menyebabkan ibu bapa Nadine hilang punca pendapatan. Nadine yang merupakan pembeli tegar di Shopee berniat untuk memulakan perniagaan kek buah klasik secara atas talian dengan bantuan Ilham sebagai penghantar makanan. Oleh kerana konflik antara ibu Ilham dan Nadine, mereka tidak dapat berurusan bersama lagi.


7. Elite Bunian 2: Tragedi Sungai Kim Chi (2021) - Sabrina Ismail

Sekuel kepada Elite Bunian: Api Bukit Tengkorak. Daniel hilang di Bukit Tengkorak kerana diculik oleh bunian. Raed yang merupakan seorang kadet Elite Bunian mendapat tahu bahawa Sungai Kim Chi dicemari dengan toksik dan akan membahayakan orang ramai. Raed berjuang sedaya upaya untuk menghentikan tragedi itu.


8. K-Pop Girl: ARMY Yang Bertuah (2020) - Husna Rosli

Yana menjadi peminat BTS setelah dipengaruhi oleh rakannya. Oleh kerana minat tersebut, dia membuat keputusan untuk menyertai konsert BTS Love Yourself. Dia berkeras untuk ke Seoul sendirian walaupun konflik melanda keluarganya. Takdir menemukannya dengan seorang nenek di sebuah kedai magis, mengubah realitinya yang mana dia menjadi stylist kepada Jungkook di realiti baru.


9. Hello, My Twin! (2021) - Sharina Elisa

Hana dan Risya merupakan kembar yang tidak seiras dan memiliki perwatakan yang sangat berbeza. Risya merupakan pelajar harapan sekolah dan menduduki kelas atas manakala Hana pula seorang yang dungu dan ditempatkan di kelas bawah. Hana dicemuh oleh rakan-rakan Risya yang tidak tahu akan hakikat yang mereka berdua adalah pasangan kembar.


10. Penjejak Kristal (2019) - Simon Malik

Alzroc dan Balder terjumpa sebiji batu dengan ukiran yang aneh semasa mereka menyusup keluar daripada rombongan akademi. Mereka mendapat tahu bahawa usia ukiran batu itu mungkin sudah mencecah beribu-ribu tahun. Oleh sebab itu, mereka berdua memulakan pencarian asal usul ukiran tersebut lalu menemui lambakan kristal di dalam gua, tempat mereka terjumpa batu itu saban hari.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024