Artikel

Tidak Datang Kerja?

oleh Helmi pada 22 Oct 2004

Ada ketikanya anda tidak perlu bekerja. Contohnya ketika anda mendapat penyakit berjangkit, sakit yang menyebabkan anda sukar untuk bergerak, ada urusan kecemasan dan darurat. Dan jika anda berada dalam situasi itu, jangan pergi kerja! Jika anda pergi juga, ia bukan sahaja akan menyukarkan kehidupan anda, bahkan anda akan memudaratkan orang lain.

Jika sakit, dapatkan surat pengesahan doktor. Jangan sahkan penyakit anda sendiri. Biarpun jika majikan tidak meminta surat sakit (jika ada majikan yang begitu), anda janganlah mengambil kesempatan dengan berpura-pura sakit. Ada kriteria dan tahap tertentu apabila seseorang itu perlu diberikan pelepasan kerja. Itu tugas doktor, serahkanlah kepada mereka.

Jangan tipu surat sakit. Ada orang yang menipu majikannya dengan memberikan surat cuti sakit yang palsu. Ada juga yang membeli daripada doktor dengan harga yang tertentu. Ada juga yang menyuruh rakan atau saudara mereka yang bekerja sebagai doktor supaya memberikan beberapa surat sakit yang sudah ditandatangani untuk digunakan ketika waktu kecemasan. Anda mungkin selamat untuk beberapa kali. Tetapi ingat, berbohong adalah suatu dosa yang sangat terkutuk!

Jaga kesihatan anda. Gunakan masa cuti bagi menenangkan diri dan menyembuhkan penyakit yang anda hidapi itu. Jangan ambil peluang melakukan perkara-perkara lain; seperti membersihkan karpet rumah yang sudah setahun berhabuk, atau pergi menghantar kereta untuk diservis, atau memongkes rumput-rumput di sekitar rumah yang sudah lama terbiar. Mungkin anda tidak punyai masa sebelum ini, tetapi cuti sakit bukanlah waktu yang sesuai untuk itu.
Lebih baik lewat daripada tidak datang langsung. Ada kalanya anda terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Ada orang yang rasa bengang lalu berpatah balik ke rumah. Akhirnya, peruntukan cuti hanya habis hanya untuk itu sahaja. Kawallah rasa bengang anda itu. Biarlah lewat sedikit sekali-sekala; ia lebih baik daripada tidak datang langsung.

Rancang cuti lebih awal. Jumlah hari cuti anda terhad. Jangan bercuti tanpa ada perancangan. Senaraikan waktu-waktu yang anda perlu cuti. Contohnya seperti Hari Raya, kenduri ahli keluarga, ataupun mungkin kenduri sendiri! Adakah anda ingin kehabisan cuti ketika meraikan hari perkahwinan anda? Mahu kenduri di pejabat?

Agihkan tugasan. Jika ada kerja yang mesti diselesaikan segera, minta rakan sekerja membantu anda. Anda boleh menelefon dan meminta pertolongan daripadanya. Berikan arahan dengan jelas dan mudah; dan beri dorongan supaya dia sudi membantu anda.

Berterima kasih kepada majikan. Ucapkan terima kasih kepada majikan atas kelonggaran yang diberikan. Ingat, anda masih menerima gaji walaupun tidak hadir ke pejabat atau tempat kerja. Anda boleh menghantar SMS atau menelefonnya bagi menyatakan rasa terima kasih anda tersebut.

Elakkan ketagihan ponteng. Bahkan ponteng sahaja sudah patut dielakkan, apatah lagi ketagihan. Jadilah pekerja yang berdedikasi. Pekerja yang selalu tidak hadir ke tempat kerja akan dianggap sebagai tidak berdedikasi oleh majikan. Anda mesti tahu apakah risiko yang perlu anda ambil jika ini berlaku.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024