Artikel

Tim Editorial ‘Berkampung’ di Gudang PTS

oleh Helmi pada 09 Sep 2009

Batu Caves - Selama 3 hari berturut-turut bermula 9 - 11 September 2009, Tim Editorial PTS seramai 20 orang 'berkampung' di gudang buku PTS bagi membantu Tim Warehouse PTS mempercepatkan proses membungkus dan menghantar buku-buku PTS ke kedai-kedai buku seluruh Malaysia.

Aktiviti 'berkampung' di gudang PTS ini dilakukan setiap tahun terutamanya menjelang satu-satu musim perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Biasanya, perayaan besar begini melibatkan cuti yang panjang. Syarikat pengangkutan dan servis penghantaran turut bercuti panjang. Oleh itu, PTS yang banyak bergantung pada khidmat syarikat pengangkutan dan penghantaran bagi menghantar buku, perlu merangka strategi bagi memastikan proses menghantar buku tidak terganggu.

Tim Editorial ini dibahagikan kepada 4 kumpulan sepanjang 3 hari bertugas di gudang buku PTS. Ada yang bertugas mengalih dan menyusun 'bundle' buku baru ke rak, menyusun buku yang dipulangkan oleh kedai buku ke rak, membungkus buku-buku baru dan 'replenish' menggunakan kotak bagi dihantar ke kedai-kedai buku.

Menurut En. Zaharin Mohd Zain, Pengurus Jualan PTS, bagi memastikan buku-buku baru dan buku-buku sedia ada yang dipesan berada di kedai-kedai buku seluruh Malaysia pada 1 Syawal, ianya perlu diproses dan dihantar sebelum ataupun pada 15 September 2009. Oleh itu, kesemua Tim Editorial, Tim Jualan dan Tim Warehouse bermula hari ini bertungkus lumus memproses buku-buku yang akan dihantar ke kedai buku.


 

 

 

 

 

Walaupun cabarannya besar kerana terpaksa bermandi peluh di dalam gudang PTS, mereka rela berkorban bagi memastikan buku-buku penulis PTS tetap menemui peminat mereka pada hari raya nanti. Seperti cuti raya tahun-tahun yang sudah, jualan musim cuti hari raya aidilfitri dijangka meningkat terutamanya di bahagian utara, selatan dan pantai timur Semenanjung Malaysia.

PTS akan mula bercuti sempena hari raya aidilfitri pada 19 September sehingga 27 September 2009. Sebarang pesanan buku yang dibuat oleh para pelanggan selepas 11 September 2009 hanya akan diproses dan dihantar bermula 28 September 2009.

Pihak pengurusan PTS mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha dan kerjasama daripada Tim Editorial, Sales dan Warehouse PTS bagi memastikan peminat-peminat buku PTS di seluruh Malaysia tidak terlepas menatap dan membeli buku PTS terutamanya terbitan terbaru pada 1 Syawal nanti.

 

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025