Artikel
Tips Mudah Untuk Mendapatkan Haji Mabrur
oleh Fathin Hani pada 25 Jul 2017
“Haji Mabrur!”. Ia nampak ringan untuk disebut oleh lidah tetapi terlalu berat untuk meraihnya. Apa yang dimaksudkan dengan haji mabrur? Haji mabrur bukanlah sekadar haji yang sah tetapi haji mabrur adalah ibadah haji yang diterima oleh Allah swt dan akan mendapat ganjaran syurga. Apabila kita menjalani ibadah haji ,pasti kita berharap supaya dapat haji yang mabrur dan ia merupakan matlamat utama bagi setiap Muslim yang mengerjakan haji.

Seseorang yang mendapat haji mabrur diibaratkan pulang dalam keadaan yang baru dilahirkan ibunya:
“Satu umrah kepada umrah yang lain akan menjadi penghapus dosa antara kedua - duanya. Dan haji mabrur itu, tiada balasan baginya melainkan syurga” (Hadith direkodkan dalam Sahih Al-Bukhari)Syurga diperolehi atas rahmat dan kasih sayang Allah swt yang mengambil kira kesungguhan serta keikhlasan kita apabila melakukan ibadah. Oleh kerana mahalnya syurga sebagai ganjaran kepada haji mabrur, sudah pasti ia mempunyai syarat yang perlu dipatuhi serta dijaga.
Syarat haji mabrur yang dikongsikan oleh Ustaz Abdullah Bukhari dan Ustaz Dr. Abdul Basit bin Hj. Abdul Rahman dalam bukunya Ceritera Haji Wartawan Al-Quran, merangkumi beberapa perkara, iaitu;
Sebelum Menunaikan Haji
-
Niat semata-mata kerana Allah swt dan bukannya kerana ia salah satu rukun Islam yang perlu dipenuhi sebelum mati. Ia juga bukan kerana kesungguhan mencari gelaran haji yang akan menaikkan nama dan darjat pada mata manusia.
-
Wang perbelanjaan daripada sumber dan harta yang halal.
-
Melakukan amal ibadah dengan sempurna.
-
Menjauhi segala maksiat.
Semasa Melakukan Haji
-
Menyempurnakan segala rukun dan wajib haji.
-
Membayar segala jenis dam yang berkaitan.
-
Tidak melakukan perkara larangan ketika dalam ihram.
Selepas Menunaikan Haji
-
Menjauhkan diri daripada melakukan dosa dan perkara mungkar.
-
Memperbanyakkan amal soleh bagi meningkat iman dan ketakwaan.
-
Memperbaiki diri ke arah yang lebih sempurna dari segi akhlak dan kelakuan secara berterusan.
Apabila segala syarat dipenuhi, insyaAllah ibadah haji yang kita kerjakan akan beroleh haji yang mabrur.
"Mereka yang mendapat haji mabrur akan berubah ke arah kebaikan dan menjadi insan yang lebih baik daripda sebelumnya. Dia tidak akan lagi mengulangi kesilapan dan dosa yang dilakukan sebelum ini."