Artikel

Ustaz Wan Ji terbit buku baru- Penunggang Agama?

oleh Asri Yussof pada 31 Jan 2019

Ustaz Wan Ji yang pernah kontroversi dengan beberapa isu keagamaan di Malaysia dan beberapa buah buku beliau sebelum ini antaranya Ulamak yang bukan pewaris Nabi dan Aku Bukan Kafir kini sudah terbitkan satu lagi buku baru bersama dibawah penerbitan Puteh Press.

penunggang agama

Beliau adalah seorang ustaz yang lantang bersuara dan pernah ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 pada 10 September 2014. Beliau dilaporkan mengeluarkan beberapa kenyataan kontroversi berkaitan agama Islam dan institusi diraja.

Beliau juga pernah mengkritik tindakan Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Buku yang berjudul Penunggang Agama? : Menjual untuk Islam atau Menjual Islam, itu baru sahaja diterbitkan pada 25 Januari yang lalu dan sudah berada di kedai-kedai buku seluruh Malaysia dan juga boleh didapat secara atas talian di bookcafe.com.my.

Setahun dua ini banyak isu-isu salah guna makna agama oleh para agamawan yang ingin berniaga berlegar-legar di media sosial. Antara yang menjadi persoalan oleh para netizen adalah air minuman yang dibacakan ayat al-Quran dijual dengan harga yang sangat mahal dan tidak munasabah serta ditulis kebaikan-kebaikan yang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.

air

Selain itu juga, beberapa syarikat yang menggunakan tagline berunsur keagamaan, adakah dikira sebagai penunggang agama atau mereka betul-betul ingn menyampaikan mesej dakwah melalui perniagaan. Banyak perkara yang dirungkaikan oleh Ustaz Wan Ji di dalam buku ini.

Dalam bab yang pertama, Ustaz Wan Ji mengulas tentang fitnah yang boleh terpalit kepada agama Islam. Beliau menulis bagaiman ayat-ayat al-Quran boleh disalah guna sebagai pelaris untuk berniaga.

“Dalam era ini, ayat al-Quran dan hadis, bukan sekadar diperalatkan bagi melakukan kerosakan, malahan terdapat keadaan di mana wahyu tuhan itu digunakan bagi melariskan barang jualan. Makanya, kedengaran berbagai-bagai jenama agama pada barang jualan; yang semua itu kadangkala tidak munasabah langsung.”

“Tidak kurang juga beberapa perkara yang ramai muslim menganggap ia datang pada zaman Nabi, walhal itu tidak benar sama sekali. Kewujudan itu sekadar rekacipta sahaja, tetapi ramai menganggap bahawa ia bersumberkan wahyu- Al-Quran dan al-Sunnah.”

Buku ini mengandungi 10 bab kesemuanya yang rata-rata memberi fokus kepada tajuk utama- Penunggang Agama. 1. Fitnah Adalah Dosa, 2. Apabila Fitnah Dijadikan Perniagaan, 3. Penjenamaan Sunnah untuk Perniagaan, 4. Makanan Sunnah, 5. Air Jampi, 6. Politik Jenama Agama, 7. Kesan Politik Berjenama Islam, 8. Penjenamaan Negatif Atas Nama Agama, 9. Berniaga Dengan Ibadat, dan ke-10. Ambil Upah Baca Al-Quran Kepada Si Mati.

Selamat membaca!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024