Artikel

Weil China: Kisah Benar Kekejaman Komunis

oleh Roziyah pada 30 Jul 2010

Weil China, sebuah kisah yang mampu membuatkan air mata pembacanya mengalir. Kisah yang diambil daripada pengalaman sebenar Qan, seorang rakyat Turki yang tinggal di China dalam menghadapi kekejaman komunis ketika itu.

“Kisah menyayat hati ini mendedahkan kepalsuan komunis sehingga China percaya kepada gerakan komunis ini. Buku ini juga mendedahkan bagaimana Komunis boleh meluaskan kekuasaannya dan menjadi sebuah kuasa yang berpengaruh,” kata Editor PTS Islamika Sdn Bhd, Tuan Rohidzir Raiz.

Qan bersama abangnya, Turghut, berjaya melanjutkan pelajaran di bandar. Kerisauan ayahnya terhadap pegangan hidup kedua-dua anaknya sejak mereka mendapat tawaran bersekolah di bandar semakin bertambah apabila gerakan ateis dan komunis semakin mendapat tempat.

Kebimbangannya menjadi realiti apabila Qan dan abangnya mula terpengaruh dan menyertai gerakan komunis menghapuskan masyarakat Islam. Mereka terlupa asal usul dan janji terhadap keluarga. Namun penglibatan Qan dalam gerakan komunis tidak bertahan lama apabila dia sedar keburukan fahaman itu. Tetapi tidak bagi abangnya yang semakin bangga dengan komunisme.

Pelbagai peristiwa berlaku sejak abangnya meninggalkan keluarga. Segala-galanya berlaku di depan matanya. Qan kemudiannya ditangkap, dikurung berpuluh-puluh tahun dan diseksa oleh komunis. Dan dalam kelam penjara itulah, hidayah Allah kembali menemuinya.

Kecekalan hatinya menghadapi semua seksaan akhirnya menemukan dia dengan orang yang dinantikannya selama dikurung, iaitu abang kandungnya yang sudah lama menghilang. Tetapi dia muncul kali ini bukan sebagai seorang abang, tetapi sebagai pengarah penjara yang menentukan setiap seksaan terhadap banduan-banduan, termasuk adiknya.

Buku ini merupakan hasil karya penulis tersohor turki, Emine atau Aminah Uzqan Syenlikoghu yang sempat melalui zaman-zaman perubahan Turki.

Beliau yang pernah menjadi pengarah umum Majalah Mektup dari tahun 1985 ini bergiat aktif dalam kegiatan Islam dan kesusasteraan antarabangsa. Beliau banyak menghasilkan karya-karya bermutu dan pernah dipenjarakan beberapa kali kerana karya-karyanya.

Weil China yang telah diterjemahkan oleh Tuan Mohd Rofizi Dollah ini diterbitkan oleh PTS Islamika Sdn Bhd. Karya terjemahan dari timur tengah ini menjadi pelengkap dalam karya penterjemahan di Malaysia.

“Di Malaysia, buku-buku terjemahan dari Timur Tengah sangat kurang berbanding karya dari barat dan kita cuba membuka ruang dalam penterjemahan buku Islamik ini,” kata Tuan Rohidzir lanjut.

Buku terbitan PTS Islamika ini mampu menjadi santapan minda dan memberi keinsafan kepada pembaca di bulan Ramadan ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024