Buku

Anda Bertanya Ustaz Menjawab Mengenai Solat (Edisi Kemas Kini)

oleh Rohidzir Rais

RM 40.00 / RM 43.00Sabah/Sarawak
Beli Versi Cetak
Bookcafe Shopee Lazada
Beli Versi Ebook
 

ISBN: 978-967-481-394-9

Muka Surat: 432

Saiz: 6x9

Tarikh Terbit: 20 Dec 2019

Kategori: Agama

MUKADIMAH SOLAT SEMPURNA

Solat adalah ibadah utama selepas kesaksian terhadap keesaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad. Membandingkan ibadah solat dengan ibadah-ibadah lain mungkin dapat menjelaskan keunikan dan keutamaannya.

Solat untuk Semua

Ibadah zakat memerlukan material berupa harta kekayaan yang mencukupi jumlahnya dan sebahagiannya perlu cukup kiraan setahun tempoh pemilikannya. Beruntung mereka yang dikurniakan limpahan harta kekayaan hingga berpeluang mengerjakan ibadah yang mulia ini. Namun bagaimana pula mereka yang tidak berharta atau tidak mampu mengeluarkan zakat? Pasti timbul rasa terkilan bagi mereka yang berpendapatan rendah atas kegagalan melaksanakan tuntutan Allah ini. Namun, berbeza dengan solat, ia diwajibkan ke atas siapa sahaja yang mencapai usia matang tanpa mengira status kehidupan mahu pun kekayaan. Kelayakan minima solat ini membolehkan ibadah ini dilakukan oleh semua orang Islam.Solat, Pelerai Status Sosial amat mengharukan apabila melihat jemaah di dalam masjid yang menunaikan solat bersama tanpa mengira pangkat dan darjat. Seorang kaya yang berjubah mahal bersolat di samping seorang tukang kasut berbaju lusuh. Seorang menteri berpangkat tinggi sujud di sebelah seorang penganggur entah dari mana. Walau berbeza darjat dan kasta, namun mereka menyembah Tuhan yang sama, bersujud kepada seorang Pencipta yang satu. Menakjubkan, bagaimana ibadah solat ini merungkai segala ikatan egonisme dan melerai tembok materialis yang memisahkan seorang manusia dengan manusia yang lain. Namun dalam solat, mereka hanya hamba-hamba Allah yang bersujud kepada-Nya. Membezakan kedudukan mereka, hanya ketakwaan.

Solat, Perniagaan Tanpa Modal

Ibadah haji yang dikerjakan berpuluh ribu manusia di Makkah setiap tahun adalah syiar global Islam di dunia. Ia simbol universal agama Islam dan umatnya. Namun, ibadah haji menuntut keperluan yang tinggi dari segi kos perjalanan yang meningkat setiap tahun dan peruntukan masa yang sukar dipenuhi. Malah kepadatan kuato jemaah haji yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi juga menjadi penghalang kepada seorang Islam menunaikan ibadah teragung ini. Natijahnya tidak ramai yang berpeluang mengerjakan haji, dan kalau pun berpeluang, tiada jaminan ibadahnya sempurna. Justeru, ibadah haji adalah tuntutan yang memerlukan modal terlalu besar untuk dilakukan, sekali gus menyekat penyertaan ramai individu Muslim.Tetapi sebaliknya bagi solat. Ia adalah satu-satunya ibadah berganjaran besar tanpa memerlukan modal besar. Solat tidak menuntut kos pengangkutan yang tinggi kerana ia boleh dilakukan di mana sahaja. Justeru, ia juga tidak perlu dihadkan dengan kuato tertentu kerana tempat solat tidak ditentukan pada suatu negeri tertentu. Rasulullah pernah menceritakan mengenai kelebihan baginda dan umatnya dibandingkan dengan para nabi dan umat mereka yang lain. Antara kelebihan itu ialah Allah menjadikan seluruh muka bumi ini tempat bagi orang Islam menunaikan solat.

Solat, Pintu Pertama ke Syurga

Ibadah yang diwajibkan ke atas orang Islam adalah anak kunci bagi mereka membuka pintu-pintu syurga dan mengunci pintu-pintu neraka. Setiap ibadah yang dilakukan dengan sempurna melayakkan seorang hamba bergerak hampir kepada Allah dan syurga-Nya. Pada ibadah zakat terdapat pintu untuk dibuka, pada ibadah haji dan umrah juga terdapat pintu untuk ke syurga. Begitu juga dengan ibadah-ibadah yang lain. Namun begitu, solat mempunyai kedudukan istimewa kerana ia adalah pintu pertama yang perlu dibuka sebelum sampai kepada pintu-pintu lain.Rasulullah pernah berpesan bahawa amalan pertama yang dihitung ialah solat. Sekiranya solatnya baik, dia akan berbahagia dan beruntung. Sekiranya rosak, dia pasti menyesal dan rugi. Ini memberikan gambaran jelas mengenai keutamaan solat dibandingkan dengan ibadah-ibadah yang lain. Tidak kira berapa juta ringgit disumbangkan sebagai sedekah atau zakat, tidak kisah berapa kali seorang itu menunaikan haji dan umrah, sekiranya dia meninggalkan solat, semua ibadah yang lain tidak berguna.Ironiknya, ibadah paling tidak eksklusif, tanpa modal dan kelihatan terlalu mudah inilah yang paling bernilai di sisi Allah. Mengapa tidak, semua orang boleh membayar zakat, menunaikan haji, berpuasa dan mengucapkan syahadah.

Namun tidak semua orang mampu menjaga waktu solat fardu yang perlu dilakukan setiap hari. Solat adalah connection langsung seorang hamba kepada Penciptanya tanpa perantaraan material atau manusia lain. Hanya takwa dan iman yang mampu menggerakkan seorang hamba menyembah-Nya lima waktu setiap hari. Mencari kesempurnaan dalam solat, pembaca perlu terlebih dahulu memahami, solat adalah ibadah paling istimewa. Ia adalah talian pantas untuk terus berhubung dengan Allah. Solat adalah ibadah unik yang perlu dipelihara dan dikerjakan dengan sempurna. Hanya dengan memahami hakikat ini, seorang hamba dapat berusaha mendirikan solat dengan sempurna.

Catatan Penulis

Buku Solat Kalis Zaman

Buku ini bukan buku pertama saya dalam subjek solat, malah yang ketiga. Sebelum ini saya menulis buku Soal Jawab Remeh Temeh tentang Solat dan Ensiklopedia Solat. Kedua-dua buku ini membahaskan solat dengan cara berbeza. Buku pertama berbentuk soal jawab dan buku kedua pula adalah buku rujukan lengkap bergambar. Melalui konsep soal jawab, saya dapat mengetengahkan pelbagai persoalan yang biasa dialami siapa sahaja dalam solat. Metode ini tidak memerlukan saya menghuraikan satu persatu bab solat dari awal hingga akhir. Sudah tentu pembaca yang sudah mengerjakan solat berpuluh tahun juga tidak berminat mengetahui perkara terlalu asas dalam solat. Tetapi persoalan yang sering dihadapi pembaca adalah perkara yang remeh. Misalnya, kebanyakan pembaca sudah mengetahui semua rukun dalam solat, tetapi masih keliru apa yang perlu dilakukan sekiranya meninggalkan satu atau dua rukun atau terlebih rukun.Justeru, berdasarkan maklum balas pembaca buku ini, saya rumuskan teknik soal jawab berdasarkan senario ini lebih mudah diterima pembaca.Ensiklopedia Solat pula adalah buku rujukan yang padat dengan gambar sebagai panduan pembaca. Pengalaman menulis buku, artikel dan rencana sebelum ini menyedarkan saya betapa sukarnya menggambarkan peristiwa atau perbuatan melalui tulisan. terutama apabila terpaksa menerangkan kadar perbuatan, kadar masa dan jarak. Sudah tentu keadaan ini berlaku kerana pemahaman setiap orang berbeza bagi perkara yang subjektif seperti ini. Namun begitu, melalui Ensiklopedia Solat, semua masalah itu dapat diselesaikan melalui gambar fotografi dan lukisan. Pembaca tidak perlu lagi memeningkan kepala membaca ulasan panjang lebar. Lihat sahaja pada gambar-gambar, dengan mudah ilmu dapat disampaikan. Saya kira ini adalah buku panduan solat terlengkap dan interaktif pernah dihasilkan dalam bahasa Melayu.

Anda Bertanya Ustaz Menjawab mengenai SOLAT…

Berbekalkan pengalaman mendidik dua ‘anak’ yang berbeza kelebihan dan kekurangan, memberikan kelebihan besar bagi mendidik ‘anak’ ke tiga. Buku yang berada di tangan pembaca kini adalah gabungan dua metode berbeza yang disatukan. Keistimewaan metode soal jawab disatukan bersama kelebihan panduan bergambar, serta ditambah pula dengan susun letak berkonsepkan majalah. Tidak cukup dengan itu, buku ini dipersembahkan dalam empat warna. Semua kelebihan ini menjadikan buku ini begitu istimewa.Bukan mudah bagi sebuah penerbitan tempatan menerbitkan buku agama seperti fikah semewah ini kerana kos yang tinggi. Namun PTS melangkah dengan berani apabila memutuskan menghasilkan buku agama dengan spesifikasi menyamai buku memasak, majalah hiburan dan buku-buku mewah lain.

Hilang Separuh Nyawaku

Sejarah penghasilan buku ini dramatik. Pertama kali disusun letak, ia dibuat dalam hitam putih. Namun pihak pengurusan PTS meminta buku ini dihasilkan berwarna. Sudah tentu saya sebagai penulisnya paling teruja. Kerana itu, kerja-kerja susun letak yang terpaksa dilakukan semula, saya lakukan sendiri di pejabat dan di rumah. Lebih dua bulan saya mengorbankan tidur malam semata-mata demi buku ini. Akhirnya ia siap juga.Namun apakan daya, ujian melanda apabila komputer riba yang mengandungi semua fail buku ini dicuri! Hilang separuh nyawaku…Buku pada tangan anda ini adalah rekaan ke tiga selepas kecurian itu. Malah susun letak yang terakhir ini juga terpaksa dilakukan penambahbaikan sebanyak tiga kali bagi menjamin mutu dan kualitinya.Saya mendoakan agar kerja keras saya dan rakan-rakan yang berhempas pulas menyiapkan buku ini diterima sebagai amal kebajikan buat kami di negeri sana nanti.

Selamat Bersolat dengan Sempurna

  1. Pengertian dan Kewajipan Solat
  2. Waktu Solat
  3. Menutup Aurat
  4. Menghadap Kiblat
  5. Suci Tubuh dan Tempat Solat
  6. Azan dan Iqamat
  7. Rukun Solat
  8. Niat
  9. Berdiri Tegak
  10. Takbiratul Ihram
  11. Baca surah al-Fatihah
  12. Iktidal
  13. Rukuk
  14. Duduk antara Dua Sujud
  15. Sujud
  16. Tasyahud Akhir dan Selawat ke atas Nabi Muhammad
  17. Salam
  18. Tertib
  19. Sunat Haiyi’at
  20. Solat Musafir (Jamak dan Qasar)
  21. Solat Qada
  22. Sujud Tilawah
  23. Sujud Syukur
  24. Solat Jumaat
  25. Solat Jemaah
  26. Sapu Khuf

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024