Artikel

Apa Yang Membezakan Antara Sous les Tilleuls, Majdulin, dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 26 Sep 2016

Menghampiri tahun ke-80, novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya HAMKA masih tetap menjuarai hati pengulit karya-karya sastera nusantara.

Novel malar segar ini sempat mengundang kontroversi pada tahun 1962, kononnya dicedok dari novel sasterawan Mesir Mustafa Luthfi Al-Manfaluthi iaitu Majdulin.

Mesti Baca: Benarkah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck Sama Dengan Karya Al-Majdulin?

Mesti Baca: Benarkah Hamka Seorang Yang Plagiat?

Novel itu pula sebenarnya adalah terjemahan dari karya asal seorang sasterawan Perancis Alphonse Karr iaitu Sous les Tilleuls.

Penulis yang berkesempatan membaca terjemahan Majdulin dalam bahasa Indonesia (alih bahasa menjadi Magdalena, terjemah oleh AS Alatas pada tahun 1963), merasakan ada kemungkinan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini adalah karya plagiat.

Perbezaan yang ada mungkin dari segi nuansa penceritaan masing-masing cerita. Bagaimanapun, mari kita perhatikan sisi-sisi menarik antara ketiga-tiga novel ini.


Alphonse Karr dan Sous les Tilleuls

Nama penuh beliau adalah Jean-Baptiste Alphonse Karr. Anak kelahiran Perancis ini adalah seorang pengkritik, penulis novel, dan wartawan. Karr juga pernah menjadi seorang guru ganti di Collège Bourbon, tempat beliau menimba ilmu.

Pada tahun 1830, beliau mula menjalani kehidupan secara bohemian, hidup secara bebas dengan jiwa yang penuh kesenian. Ketika inilah, beliau mula menulis beberapa puisi, menghasilkan gubahan-gubahan karya sastera yang terhasil dari petikan karangan yang pelbagai, dan pementasan teater.

Ketika ini, Karr mula berfikir untuk memperoleh pendapatan melalui jualan puisi-puisi ciptaan beliau. Karr pernah menghantar beberapa puisi ke akhbar Le Figaro. Sayang sekali, puisi beliau tidak dapat diterbitkan, dan Karr dinasihatkan untuk menulis prosa.

Sous Les TilleulsDari situlah - tahun 1832 - lahirnya karya ulung Karr bertajuk Sous les Tilleuls. Karya popular ini menjadi langkah sulung dunia kesusasteraan beliau yang ketika itu berusia 24 tahun.

Ada yang mengatakan, penghasilan novel ini tercetus melalui sebuah kisah cinta menyayat hati.

Inilah permulaan kepada karya-karya Karr dengan roman percintaan, antara novel penerus kejayaan beliau dalam dunia kesusasteraan adalah Une heure trop tard (1833), Vendredi soir (1835) dan Le Chemin le plus court (1836).

Tahun 1839 hingga 1849 menjadi kejayaan fenomena yang kedua Karr dalam dunia sastera selepas menerbitkan sebuah majalah satira Les Guêpes, dimana beliau adalah satu-satunya penulis yang mencemuh kebanyakan tokoh terkenal pada zamannya.

Tahun 1843, Karr menceritakan tentang kematian Léopoldine Hugo dan suaminya Charles Vacquerie dalam kejadian kapal karam di Seine. Melalui penulisan artikel inilah, Victor Hugo - yang kemudiannya mengembara di Pyrenees - mempelajari kematian anak perempuan dan anak lelaki beliau.

Rampasan kuasa Napoleon Bonaparte pada tahun 1851, memaksa Karr bersara di French Riviera atau tepatnya Nice. Pada tahun 1853 hingga 1867, beliau mula membangunkan perniagaan perladangan bunga.

Oleh kerana kecintaan Karr kepada tumbuh-tumbuhan selain pengetahuan yang mendalam dalam bidang berkenaan, salah satu jenis buluh dinamakan atas nama beliau sebagai memperingati jasa-jasanya.

Buluh itu dikenali sebagai jenis Bambusa Multiplex Alphonse Karr.  Buluh rumpun berwarna kekuningan ini boleh didapati di sekitar Eropah dan Amerika Syarikat.

 

Mustafa Luthfi Al-Manfaluthi dan Majdulin

Ini pula kisah anak jati Mesir. Al-Manfaluthi dikatakan berdarah separuh Turki separuh Arab, dimana salasilah keluarga beliau pula didakwa bersambung dengan Hussin cucu Nabi Muhammad SAW.

Al-Manfaluthi mengikuti jejak orang tua dan moyangnya dalam belajar dan menimba pengetahuan.

Jika disandarkan pada sejarah seperti yang ditulis oleh Nouran Maamoun di portal Daily News Egypt, Al-Manfaluthi mendapat pendidikan teologi Islam tradisional di Universiti Al-Azhar namun sangat dipengaruhi oleh Pan-Islamisme, nasionalisme Mesir dan pusat pengajian penulis Syria.

Ketika inilah, Al-Manfaluthi terdedah kepada pendidikan Barat, terutama Perancis.

Tidak dapat dipastikan sama ada Al-Manfaluthi mempelajari bahasa Perancis atau tidak, namun kumpulan-kumpulan karangan, puisi, dan cerpen beliau kebanyakannya diadaptasi atau diterjemahkan dari karya-karya Perancis atau kawasan Eropah lain.

Sasterawan Mesir ini sangat terkenal dengan gaya bahasa yang indah dan romantis. Penulisan beliau tertumpu kepada emosi dan perasaan.

Tidak hairanlah jika Al-Manfaluthi dinobatkan sebagai perintis penulisan prosa bebas tanpa penghiasan kata yang tidak perlu dalam aliran sastera prosa konservatif.

Lebih unik lagi, Al-Manfaluthi dalam kekurangan dari segi penguasaan bahasa asing, mampu menterjemah karya luar dengan penggunaan bahasa yang membuai tanpa mengenepikan mesej dari karya asal.

Dalam menterjemahkan sastera-sastera dari Perancis, lahirlah karya agung Majdulin, 60 tahun selepas kemunculan Sous les Tilleuls. Disebabkan gaya bahasa yang indah dan bersifat mengalir, tidak terasa bahawa ini adalah karya terjemahan.

Magdalena

Malah, karya Al-Manfaluthi ini digambarkan sebagai karya asal Arab yang sangat asli, kuat, dan indah.

Latarbelakang kawasan luar bandar Perancis pada abad ke-19 yang penuh nilai-nilai keindahan, kejujuran, kesopanan, kesederhanaan, dan penghormatan, mungkin adalah penyebab utama Al-Manfaluthi tertarik dengan Sous les Tilleuls.

Ada yang mengkritik novel Majdulin kerana perincian yang terlalu teliti terhadap pemandangan, alam semulajadi, rumah-rumah, dan tumbuh-tumbuhan dimana ia membuat pembaca yang kemalu-maluan merasa bosan. Namun ia tetap tidak dapat menafikan kehalusan bahasa Al-Manfaluthi.

Kebanyakan karya Al-Manfaluthi mengangkat masalah sosial kemasyarakatan seperti kebodohan, kesengsaraan, kepedihan, dan dedikasi moral.

 Ia tercipta berikutan keadaan Mesir yang dijajah Inggeris pada waktu itu.

Al-Manfaluthi merupakan salah satu sasterawan besar dalam kesusasteraan Arab antara tahun 1876 hingga 1942.


Hamka dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

HAMKA atau nama penuh beliau, Haji Abdul Malik bin Haji Abdul Karim Amrullah adalah penulis novel ini. Sosok yang tidak asing dalam dunia sastera Melayu.

Beliau bukan sahaja digelar sebagai seorang ulama, tetapi juga seorang pemimpin dan sasterawan yang mendepani zaman.

Anak kelahiran Maninjau ini sangat unik perjalanan hidupnya kerana pada zaman kanak-kanak beliau digambarkan sebagai seorang yang nakal.

Siapa sangka, akhirnya beliau menjadi seorang ulama yang disanjung tinggi malah sehingga sekarang, walaupun sudah meninggalkan kita lama dahulu.

Bapanya, Haji Abdul Karim telah menghantar HAMKA untuk menuntut ilmu berteraskan agama ke merata tempat di sekitar Indonesia. Dari Maninjau ke Padang Panjang, kemudian ke Bukit Tinggi, sampailah ke Makkah pada usia 19 tahun.

HAMKA lebih tertarik untuk membaca buku secara persendirian dan berkelana di kampung-kampung berbanding berada di bangku kelas.

HAMKA turut bergaul bersama-sama anak-anak kampung untuk belajar silat. Adakalanya, beliau pergi melihat adu balam atau perlawanan burung tekukur usai mengaji.

Sedari awal, HAMKA memang minat menulis. Beliau mula mengirimkan tulisan-tulisannya ke pelbagai media cetak sekembali dari Makkah pada tahun 1927.

Kegiatan HAMKA di Muhammadiyah turut menggilap bakatnya. Ketika HAMKA kembali ke Medan pada 1936, beliau menubuhkan majalah Pedoman Masyarakat (1936-1943).

Ketika inilah HAMKA terilham untuk menghasilkan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Karya yang asalnya berbentuk siri di dalam majalah Pedoman Masyarakat, kemudian dibukukan atas saranan seorang penerbit.

Hamka

Mesti Baca: Cinta Yang Terlarang dalam Tenggelmnya Kapal Van Der Wijck

Mesti Baca; Sejarah Yang Tidak Lapuk Ditelan Zaman

Pada awalnya, ada sesetengah pihak yang mengkritik karya ini. Sebagai seorang yang digelar ulama dan bijak pandai agama, adalah menjadi satu kesalahan untuk mereka menghasilkan roman percintaan seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Bagaimanapun, setelah beberapa tahun, masyarakat seakan mengerti tentang kesenian sastera dan keindahan dalam hidup.

Tentangan terhadap Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck jelas terasa pada tahun 1962. Ia disebabkan kontroversi karya plagiat dari novel Majdulin oleh sasterawan Mesir Mustafa Al-Manfaluthi.

Ada akhbar yang menyokong karya itu adalah plagiat, dan ada juga yang membela HAMKA.

Begitulah sedikit sebanyak kisah-kisah yang mewarnai hasil dari ketiga-tiga novel kontroversi ini. Walaupun ketiga-tiga novel ini - Sous les Tilleuls, Majdulin dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck - dilihat sama dari segi jalan cerita, tetapi mesej yang dibawa adalah berdasarkan konteks kehidupan si pengkarya.

Mesti Baca: 11 Persamaan Antara Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Magdalena (Majdulin)

Beli Sekarang Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck di Bookcafe Sempena #MyCyberSale2016

“Sesudah itu menutup mata, barulah orang akan insaf siapa sebetulnya dia…” - Hamka

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024