Artikel

Menilai Semula Tahun Kelahiran dan Kewafatan Nabi s.a.w

oleh Abdullah pada 18 Nov 2019

Tercipta satu lembaran sejarah

Di tanah suci Kota Mekah

Hari yang mulia penuh syahadah

Bermulalah sebuah kisah

Malam Isnin subuh yang indah

Dua belas Rabiul Awwal yang cerah

Dua puluh April Tahun Gajah

Lahirlah zuriat dan syahadah

Saya rasa semua orang tahu rangkap lirik nasyid ini. Kita pernah nyanyi di sekolah, dan majlis-majlis sambutan Maulidur Rasul. Iaitu sambutan kelahiran baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Tetapi dalam bidang akademik, persoalan besar mula timbul. Adakah 12 Rabiul Awwal adalah tarikh kelahiran yang sebenar baginda s.a.w?

Kita semua di Malaysia, majoritinya menerima kelahiran baginda s.a.w adalah pada 12 Rabiul Awwal. Sejak daripada sekolah rendah lagi, kita ditanam bahawa tarikh ini adalah tarikh bagi meraikan kelahiran Baginda Nabi.

Berbeza bagi Maulana Muhammad Asri Yusoff. Baginya, fakta ini perlu dikaji semula kerana didapati bercanggah dengan fakta sejarah, hadis dan sains. Tulis beliau, “Sekiranya diterima juga tarikh wafat Nabi s.a.w. pada 12hb. Rabiul Awwal (sebagaimana dipercayai umum), ia akan menimbulkan satu konflik di dalam jiwa masyarakat yang mana di satu pihak mereka merayakan kelahiran Nabi s.a.w. sedangkan di pihak lain pula pada hari yang sama sepatutnya mereka bersedih dan tidak boleh merayakan hari tersebut kerana ia juga merupakan hari kewafatan Nabi s.a.w.”

Tambah beliau lagi, “jadi di manakah adanya kewajaran masyarakat merayakan Maulidur Rasul yang juga merupakan hari perkabungannya? (Tanpa mengambil kira perayaan Maulidur Rasul itu sendiri adakah bersesuaian dengan sunnah atau ia satu bid’ah).”

Maulana Asri Yusoff terkenal dengan kehebatan beliau dalam ilmu hadis. Banyak perkara normal yang kita rasa itu adalah sunnah dikritik oleh beliau.

Dalam buku Isrā’īliyyāt, Ḥadīth Mawḍū‘ & Fitnah Sīrah di Alam Melayu yang ditulis oleh Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi, beliau menulis tentang signifikan sumbangan Maulana Asri Yusoff kepada dunia intelek dan kritikan ilmiah.

Tulis Zahiruddin, kritikan ulama kepada sesama ulama adalah tradisi dan tuntutan ilmiah dalam mana-mana tradisi keilmuan. Dan kita sebagai orang awam atau penuntut ilmu pasti akan terdedah kepada pandangan-pandangan ini dan ada kecenderungan bagi memilih mana-mana pandangan.

Naskhah ini menghujahkan - antara punca kerancuan pemikiran beragama orang Islam-Melayu-Nusantara Beli di sini

Dalam buku ini juga, Zahiruddin menghujahkan - antara punca kerancuan pemikiran beragama orang Islam-Melayu-Nusantara ada pada fakta sejarah awal perkembangan Islam dan tradisi penulisan karya-karya berkaitan Islam di Alam Melayu. Ia bermula daripada metodologi penulisan Sastera Hikayat Berunsur Islam, Sastera Kitab, Sastera Ketatanegaraan dan seumpama dengannya pasca Islam berkembang di Nusantara. Ini adalah kerana penulisan karya-karya tersebut tidak menjadikan disiplin yang sudah digarispandukan oleh para ulama Islam sejurus kewafatan Rasulullah s.a.w. sebagai metodologi penyebaran maklumat berkaitan Islam.

Berbalik kepada topik yang asal, menilai semula tahun kelahiran dan kewafatan Nabi s.a.w, pendapat yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. dilahirkan pada 12 Rabiul Awwal itu adalah periwayatan yang datang dari Ibnu Ishaq. Maulana Asri Yusoff menolak perkara ini.

Beliau berhujah, “Walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia berpunca daripada Ibnu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya. Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang Syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya.”

“Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada hari Isnin, 9 Rabiul Awwal Tahun Gajah. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abdul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin `Aini (Al-Bidayah wa An Nihayah, jilid 2, halaman 260-261).”

Kita boleh berdebat panjang tenang hal tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w ini, tetapi jangan kerana terlalu fokus untuk berdebat hal ini sehingga tercicir sunnah-sunnah lain yang baik untuk kita ikuti. Berdebat sangat digalakkan tetapi ia tidak boleh dilakukan dengan cara yang batil atau tanpa ilmu. Dalam satu Hadis Nabi s.a.w bersabda; “Sesungguhnya orang yang paling dimurkai oleh Allah ialah orang yang selalu mendebat.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024